Review Filem Hoore! Hoore!



Filem:
Hoore! Hoore!


Pengarah:
Saw Teong Hin


Genre:
Keluarga, Muzikal, Komedi & Romantik


Pelakon:
Akim AF7, Farah Nazirah, Fauziah Nawi, Kilafairy,
Adibah Noor, Harun Salim Bachik, Shahronizam Noor,
Nur Shazwana, Afi Faris, Shahila Shariff, Syafiqah Md. Jemey,
Mohamad Nabil, Mohd Faiz, Aznil Nawawi  & Etc.


Penilaian:
8 / 10


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang wanita bertubuh besar bernama Nurul Aiman yang mempunyai tubuh yang gempal dan tidak terlalu cantik serta lurus bendul namun berhati baik. Walaupun begitu, ciri-ciri kewanitaannya tetap sama seperti gadis - gadis yang lain. Aiman mempunyai 2 orang sahabat baik iaitu Lana dan Azadan yang merupakan rakan sekampung dan satu sekolah. Hubungan mereka erat dan mesra. Ibunya bernama Lia manakala ayahnya bernama Hairil. Nenek Aiman bernama Nenda Zaimah dan tinggal bersama mereka. Di sekolah Aiman mempunyai seorang kawan bernama Johari yang dikenali sebagai seorang yang tampan dan segak. Dalam diam Johari menyukai Aiman. Dalam pada itu, Lana dan seorang lagi rakan sekolah yang cantik dan popular bernama Rita juga sangat meminati Johari. Rita seorang gadis yang ego dan sentiasa mencari masalah dengan Aiman. Ayah Johari pula ialah seorang Ustaz iaitu Cikgu Murshid. Pada masa yang sama, Aiman tergerak hati untuk menyertai pertandingan Ratu Impian yang di anjurkan oleh sebuah majalah. Rita juga menyertai pertandingan itu. Mengetahui yang Aiman juga menyertai pertandingan itu, Pelbagai rintangan yang dihadapi oleh Aiman bukan saja dari musuh ketatnya Rita tetapi juga dari masyarakat sekitar yang memandang serong akan niatnya itu.


Ulasan Hans:

Usai menonton filem Hoore! Hoore! sebentar tadi dan terasa begitu gembira dengan karya yang punya pelbagai emosi dan kisah tentang kehidupan manusia. Faktor aku tertarik untuk menonton filem ini sebenarnya hanya lah sekadar ingin melihat bakat baru iaitu Farah Nazirah dan juga gara - gara aku merupakan salah seorang daripada jutaan manusia yang amat meminati lagu - lagu nyanyian Allahyarham Sudirman Hj. Arshad. Sebelum menonton aku membuat kesimpulan awal bahawa filem ini kemungkinan besar bakal mengecewakan aku namun jangkaan aku meleset sama sekali. Filem ini memang menghiburkan dengan vokal nyanyian yang cukup mantap daripada kebanyakkan pemain watak utamanya walaupun sebahagian besar daripada mereka bukannya penyanyi dan ini memang cukup membanggakan.




Walaupun jalan ceritanya kelihatan agak klise iaitu tentang seorang remaja perempuan bertubuh gempal yang kurang keyakinan diri lalu cuba meningkatkan keyakinannya dengan menyertai pertandingan Ratu Idola(seakan - akan pertandingan Dewi Remaja) namun kekuatan dialog daripada watak - watak utamanya terutamanya Fauziah Nawi cukup membantu dalam menghidupkan jalan cerita dan pemilihan tepat lagu - lagu Allahyarham Sudirman serta lakonan mantap daripada setiap pelakonnya juga wajar dipuji kerana ini lah kekuatan sebenar filem ini. Mungkin ramai berasa pelik atau hairan memikirkan apakah logiknya watak Nurul Aiman ini mampu diterima menyertai pertandingan Ratu Idola tersebut sedangkan dia dilihat begitu kekok pada kemunculan awalnya di pentas namun ianya terjawab apabila watak Aznil Nawawi yang dari awal lagi berkata bahawa itu sebagai strategi untuk menaikkan rating penonton dan langsung tidak mahu ambil kisah sama ada Nurul Aiman akan dimalukan atau sebaliknya. Jadi, tiada yang pelik pun disini kerana kedua - dua adegan itu ada kesinambungan dan rasionalnya tersendiri dan aku menyukainya.


Farah Nazirah Sebagai Nurul Aiman


Farah Nazirah boleh aku sifatkan sebagai salah seorang bintang baru yang berbakat dan diharapkan kamu bijak memilih filem - filem kamu selepas ini agar sinar kamu lebih berkilau lagi. Sebagai orang baru memang lah ada serba sedikit kekurangannya namun hakikatnya Farah Nazirah telah pun berjaya melangkah keluar daripada zon selesa dengan penampilan sulungnya sebagai Nurul Aiman di dalam filem ini dan telah meletakkan tahap yang agak tinggi untuk dirinya sendiri. Apa - apapun, sekali sekala Farah Nazirah mengingatkan aku pada pengacara rancangan Galaksi iaitu Kiah Propa. Hehe! Akim juga tidak mengecewakan dalam menghidupkan wataknya sebagai Johari walaupun kadang kala ada juga sedikit kelemahan pada babak - babak tertentu terutama dari segi emosi. Paling menarik apabila wujudnya keserasian antara Akim dan Farah Nazirah di dalam filem ini.


Akim AF Sebagai Johari Juga Tidak Mengecewakan


Filem muzikal sememangnya adakala seperti filem Bollywood jadi jangan lah terkejut jika apabila tibanya babak yang melibatkan nyanyian dan melihat dimana - dimana sahaja terdapat manusia yang menari. Kadang - kadang kelihatan lucu namun ia menjadikan filem ini lebih berwarna seperti mana keceriaan poster filemnya sendiri. Namun, ada juga perkara yang sedikit janggal di dalam filem ini terutamanya pada pusingan pemilihan dan pusingan pertama pertandingan Ratu Idola dimana aku merasakan lokasinya seperti tidak sesuai. Hanya sekadar dibuat di dewan(seperti dewan sekolah pula) namun bernasib baik apabila pada pertandingan akhir diadakan di lokasi yang lebih sesuai. Mungkin kelihatan remeh namun sebagai sebuah pertandingan yang ditonjolkan di dalam filem ini dalam suasana yang cukup dikenali dan gah maka aku merasakan memang ada sedikit kecacatan disitu.


Harun Salim Bachik & Adibah Noor


Pertembungan di antara nilai keyakinan diri, halangan keluarga, sikap terlalu melindungi ibu bapa dan juga jiwa memberontak remaja memang menjadi intipati penting filem ini. Babak yang paling aku suka ialah babak di antara Nurul Aiman bersama nenek dan ibu bapanya yang baru pulang dari mengerjakan umrah dimana babak itu memang betul - betul menyentuh jiwa. Antara pegangan, maruah dan kesabaran yang mana satu jadi pilihan? Memang menarik babak tersebut ditambah dengan pula dengan sedikit 'penangan' daripada Fauziah Nawi. Siapa yang tidak kenal Fauziah Nawi yang aku anggap sebagai salah seorang pelakon yang bijak bermain emosi dan  bijak juga mempergunakan air mata selain Wan Maimunah. Tetapi, aku kurang berkenan dengan watak Shahronizam Noor sebagai bapa Akim merangkap guru kepada Nurul Aiman dan Akim sendiri. Aku tidak salahkan Shahronizam langsung namun watak Cikgu Murshid tersebut tidak dicipta dengan baik oleh penulis atau pengarahnya barangkali kerana kelihatan seperti dia seorang guru yang tidak berfikir dan bertindak sepenuhnya sebagai seorang guru yang dipandang tinggi ilmu dan sikap oleh masyarakat terutamanya sewaktu babak Nurul Aiman datang ke rumahnya untuk bertemu Johari. Sedikit terkejut dengan nada serta dialog yang diungkapkan oleh Cikgu Murshid yang bagi aku terlampau kasar dan kurang sahsiahnya pada babak tersebut. Bagi aku watak Cikgu Murshid seharusnya diberi lebih pesona agar lebih dihormati dan secara tidak langsung imej positif akan lahir daripada watak tersebut.


Fauziah Nawi Dalam Kelasnya Yang Tersendiri


Namun, filem bercorak muzikal ini memang cukup menarik. Ada unsur komedinya! Ada riak tangisnya! Ada nilai kekeluargaan yang tinggi! Vokal nyanyian yang merdu dan mantap! Pemilihan lagu yang tepat dan kena dengan setiap adegan filem! Jadi, aku ucapkan selamat menonton filem Hoore! Hoore! dan semoga anda gembira menonton filem ini seperti mana aku gembira menontonnya tadi. Tahniah kepada semua pelakon, krew produksi serta sesiapa yang terlibat di dalam menjayakan filem ini. Sekian!


P/S :  Hoore! Hoore! Hip Hip Hoore! Bergembiraaaa!! Bergembiraaa!!! (^_^)Y

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Hans dah tgk ? wow wow. pantas dan efisiennya. thanks for the review. goo job! :)

    tu laa, tgk trailer, filem ni cam best, sbb filem ni mengetegahkan satu sisi lain dalam industri filem msia.

    nice one :)

    BalasPadam
  2. Ety : hahaha...sebab tadi saya nak beli Pokkit dekat KFC jadi saya tengok filem nih dulu :-)

    BalasPadam