Review Filem Namaste England


Filem:
Namaste England

Pengarah:
Vipul Shah

Genre:
Komedi & Romantik

Pelakon:
Arjun Kapoor, Parineeti Chopra, Aditya Seal, Hiten Patel, Shreya Mehta & Etc.

Penilaian:
1/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan pasangan Punjabi iaitu Param dan Jasmeet dimana mereka jatuh cinta dan akhirnya berkahwin. Jasmeet berharap perkahwinan mereka akan membuatkan dirinya bebas dan dapat menentukan haluan hidupnya sendiri namun ia tidak seperti yang diharapkannya. Akhirnya Jasmeet mengambil keputusan untuk meninggalkan Param buat sementara dengan melarikan diri ke England bersama seorang lelaki dengan cara dan tindakan yang amat mengejutkan Param. Param yang masih terkejut akhirnya mengambil keputusan untuk pergi ke London. Tetapi, disebabkan visanya tidak diluluskan, Param sanggup mengambil risiko pergi ke London dengan cara haram  bagi mendapatkan semula cinta Jasmeet. Berjayakah Param menyedarkan Jasmeet yang terlalu taksub dengan kebebasan hidup apabila berada luar dari India? Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan Hans:

Filem Namaste England dikatakan sekuel kepada filem Namastey London yang diterbitkan pada tahun 2007 dan dibintangi oleh pelakon hebat Akshay Kumar dan Katrina Kaif. Aku secara jujur merasakan memilih menonton filem ini di panggung wayang merupakan kesilapan paling besar bagi tahun 2018. Dua kesilapan yang dapat dikenal pasti ialah pertama kerana aku telah menonton filem hebat Badhaai Ho sebelum aku menoton filem Namaste England pada hari yang sama. Kedua kerana aku menonton filem ini tanpa melihat atau membaca kritikan daripada penonton-penonton di India terlebih dahulu yang rata-ratanya mengeji filem ini dengan teruk sekali. Alhamdulillah gara-gara kerjasama Maybank dan TGV membuatkan aku tidak berasa terlalu ralat sangat membazir wang tiket aku semata-mata untuk menonton filem yang tidak masuk akal ini di TGV Cinemas Jaya Shopping Centre pada 19 Oktober 2018.


Nampaknya, kejayaan beberapa filem Bollywood yang menyerlah dengan pelbagai faktor menarik seperti filem Stree, Sanju, Padman, Raazi, Hiccup, Andhadhun dan yang terbaru Badhaai Ho tidak dapat diteruskan oleh filem Namaste England yang sememangnya merupakan filem paling 'ngeri' pernah diterbitkan oleh industri Bollywood pada tahun 2018. Ngeri disini meliputi semua perkara. Daripada plot ceritanya yang tidak masuk akal, meleret entah kemana dan sangat membosankan. Konfliknya ada tetapi penyelesaiannya sangat tidak masuk akal. Seolah-olah tiada pilihan lain lagi yang lebih kreatif boleh diletakkan untuk memacu plot cerita ke arah klimaks yang dinantikan. Persembahan pelakon-pelakonnya yang juga sangat mengerikan dimana eksperesi pelakon untuk mewujudkan elemen lucu mahu pun sedih seolah-olah tidak sampai. Keliru kadang-kala melihat emosi dan riak wajah yang tidak selaras dan kesampaian. Dialog-dialog filem ini juga sangat lemah dan tidak ada yang akan dikenang selepas anda keluar dari panggung wayang. Lagu-lagunya juga tidak ada aura yang mampu menangkap hati anda untuk menyukainya. Senang kata, segala-galanya serba tidak kena, tidak menjadi, sangat lemah dan hasil keseluruhannya dapat digambarkan di dalam satu perkataan iaitu 'buruk'.


Jalan ceritanya  juga amat menyedihkan sehinggakan penonton di India menggelarkan filem ini adalah mengenai orang bodoh yang melakukan perkara-perkara yang bodoh gara-gara cinta yang bodoh. Aku sendiri ketawa membacanya dan dalam masa yang sama bersetuju dengan pandangan mereka kerana sememangnya naratif filemnya tersangat lemah. Satu jam yang pertama, aku terpinga-pinga menonton kerana filem ini seperti tiada hala tuju yang tetap. Konflik utama yang cuba disampaikan berkenaan Jasmeet yang ingin bekerja dan memiliki wang sendiri tetapi dihalang oleh datuk dan abangnya yang merupakan keluarga konvesional India yang percaya si lelaki sahaja yang perlu bekerja dan menyara keluarga manakala si wanita tinggal di rumah menjaga makan dan minum suami serta anak-anak. Kemudian plot cerita yang menunjukkan perbuatan Jasmeet berkahwin dengan orang lain di saat dia masih merupakan seorang isteri kepada Param juga untuk mengejar cita-citanya ke England bagi aku sangat lemah dan langsung tidak kuat. Watak pendatang tanpa asing dari Pakistan yang ditimbulkan dan plot ceritanya yang berkaitan dengan isteri dan anaknya juga tidak kuat. Bencana semakin bertambah apabila wujudnya dialog-dialog bersifat patriotik yang tidak kena tempat oleh watak Param dan berjaya melengkapkan filem ini sebagai filem paling ngeri pernah diterbitkan oleh industri Bollywood di tahun 2018. 


Filem ini cuba menggambarkan cinta boleh menyebabkan seseorang melakukan sesuatu perkara yang sangat pelik atau di luar batasan seseorang yang kita tidak boleh bayangkan. Untuk membantu mencapai objektif ini, konflik mula ditimbulkan dimana pasangan Param dan Jasmeet mengalami masalah untuk memperoleh visa kerana satu insiden pergaduhan yang melibatkan Param dan rakannya yang ditunjukkan mempunyai pengaruh yang besar di dalam meluluskan atau menggagalkan permohonan visa Param. Ini sememangnya adalah sesuatu hal yang sangat merepek kerana keluarga Param dan Jasmeet ini bukannya keluarga miskin yang tiada pengaruh langsung. Pada masa yang sama, permohonan visa ini sebenarnya boleh sahaja dilakukan di tempat lain di mana-mana negeri di India. Untuk plot cerita ini sahaja memang sangat tidak masuk akal. Kemudian, muncul lagi plot cerita lemah yang sekali lagi menguji tahap IQ dan EQ anda apabila Param bertekad pergi ke England menggunakan cara haram dimana dia mampu menyeberang sempadan dan terlepas daripada tembakan tentera di kawasan lapang. Kawasan lapang yer! Sangat berbeza sekali terutamanya apabila kita mengaitkan hal tersebut dengan babak yang mempunyai motif yang sama di dalam filem Bajrangi Bhaijaan. Penonton masih lagi boleh menerima plot cerita di dalam filem Bajrangi Bhaijaan kerana olahan ceritanya yang kreatif dan membuatkan penonton memahami logik plot itu diwujudkan. Tetapi, di dalam Namaste England ini nampak gayanya hal ini telah dibakul sampahkan dengan sempurna sekali. Filem ini memang sangat seram kelakarnya!


Lakonan pelakon-pelakon utamanya juga agak menyedihkan. Arjun Kapoor sebagai Param gagal memberikan eksperesi yang sepatutnya dan emosinya juga tidak sampai di dalam beberapa babak yang penting. Jarang untuk melihat pelakon Bollywood gagal di dalam hal-hal sebegini. Lakonan Parineeti Chopra sebagai Jasmeet pula nampaknya gagal menyerlah bukan sahaja kerana eksperesi wajah yang mengelirukan tetapi juga gara-gara skrip dialognya yang sangat lemah dan tidak bermakna. Segala-galanya bagaikan satu bencana besar kepada filem Namaste England ini.


Sebuah filem yang sangat mengecewakan dan aku nasihatkan anda semua berfikir semasak-masaknya dahulu sebelum memilih untuk membazirkan masa kehidupan anda selama dua jam lebih serta wang untuk menontonnya di panggung wayang. Lebih baik nantikan filem ini ditayangkan di saluran televisyen percuma, saluran berbayar atau pun menontonnya di atas talian jika ada. Fikir dahulu sebelum tonton kerana jika tidak anda pasti akan menyesal seperti penulis ulasan ini. Hahaha!

P/S : Selepas Ini Ulasan Filem A Star Is Born Pula Akan Menemui Para Pembaca.  Lady Gaga Dan Bradley Cooper Sangat Membanggakan Di Dalam Filem Ini! Nantikan! 

Catat Ulasan

2 Ulasan