Review Filem A Star Is Born


Filem:
A Star Is Born

Pengarah:
Bradley Cooper

Genre:
Drama, Muzikal & Romantik

Pelakon:
Bradley Cooper, Lady Gaga, Sam Elliott, Andrew Dice Clay,
Rafi Gavron, Anthony Ramos, Dave Chappelle, Alec Baldwin & Etc.

Penilaian:
8/10

Sinopsis:

Filem yang dibuat semula buat kali ketiga daripada filem asal arahan William A. Wellman pada tahun 1937 ini mengisahkan seorang bintang muzik hebat yang terkenal, Jackson Maine jatuh cinta dengan seorang gadis bernama Ally dan cuba membantu wanita tersebut mencapai impiannya untuk menjadi seorang penyanyi muda yang mencapai kemasyhuran dan kejayaan. Namun, Jack mengalami masalah ketagihan alkohol yang serius dan menghadapi kemurungan saat berdepan dengan konflik diri dan kerjaya muziknya yang semakin merudum dimana Ally pula berada pada saat kegemilangannya apabila berjaya menjadi penyanyi pop terkenal. Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui kisah Jack dan Ally yang seterusnya.

Ulasan Hans:

Nampaknya aku terpaksa bersetuju dengan peminat Lady Gaga bahawa filem A Star Is Born sememangnya lebih baik berbanding filem Venom. Berkesempatan menonton filem ini di TGV Cinemas Sunway Pyramid pada tanggal 20 Oktober 2018 yang lepas, aku tidak sangka aku boleh menikmati keindahan karya yang diarahkan oleh Bradley Cooper yang juga merupakan pelakon utama di dalam filem ini bergandingan dengan penyanyi Lady Gaga yang sebelum ini dikenali dengan solekan dan penampilan yang pelik-pelik. Kali ini Lady Gaga tampil dengan personaliti yang sangat menarik tanpa solekan tebal dan juga baju yang diperbuat daripada daging.


Bradley Cooper dan Lady Gaga berjaya memberikan lakonan yang cukup mantap. Keserasian mereka sangat jelas kelihatan dan membuatkan gandingan dua pelakon ini berjaya menyerlahkan ikatan perhubungan watak mereka yang sangat kuat antara satu sama lain dan membuatkan penonton turut terbuai melihat kisah cinta pasangan ini yang ada turun dan naiknya di dalam filem A Star Is Born. Penampilan pertama Lady Gaga di layar perak tanpa solekan tebal sebaliknya Lady Gaga memilih untuk tampil dengan solekan yang lebih tampak asli dan semula jadi menjadi satu daya penarik dan keistimewaan apabila melihat kemunculannya di dalam filem ini. Paling penting lakonannya memang terbaik dan langsung tidak kelihatan kaku mahu pun kayu. Dia seolah-olah seorang bintang yang sudah berpengalaman berbelas tahun di dalam bidang lakonan. Manakala Bradley Cooper pula sangat berjaya menjiwai watak Jack yang merupakan seorang lelaki yang berada dalam dilema antara cinta, kerjaya,ketagihan alkohol dan mengalami masalah kemurungan yang serius. Jiwanya yang terseksa itu berjaya disampaikan melalui pergerakan tubuh, reaksi wajah serta nada suaranya yang membuatkan penonton berasa simpati ke atas watak ini.


Filem ini sebenarnya bukan sebuah filem muzikal tetapi kerana kisahnya berkisarkan tentang dunia penyanyi terkenal maka banyak lagu-lagu yang melatari babak-babak perjalanan kerjaya watak-watak utama di dalam filem A Star Is Born ini. Tetapi, harus diakui lagu-lagu yang wujud di dalam filem ini mempunyai lirik dan melodi yang cukup kuat, merdu dan betul-betul memberi kesan kepada plot ceritanya untuk lebih difahami dan dihayati oleh penonton. Lagu terakhir dendangan Ally di dalam filem ini berjudul I'll Never Love Again pasti akan membuatkan penonton mengalirkan air mata kerana kekuatan lirik ini menggambarkan jiwa dan rasa Jackson Maine yang berjaya sampai tepat ke hati penonton.


Naratif filem ini bergerak dengan sempurna pada permulaannya dengan momentum yang sederhana dan berjaya membuatkan penonton untuk lebih mengenali dan memahami pembinaan watak-watak utamanya. Kemudian, pergerakan plot cerita kelihatan agak terganggu disebabkan oleh beberapa babak yang dipotong namun diselamatkan dengan lagu-lagu yang melatari filem ini dengan cukup baik. Filem yang membuktikan Lady Gaga bukan sekadar mencuba untuk berlakon tetapi sememang merupakan sebuah bintang baru dilahirkan sebagai seorang pelakon yang cukup hebat. Manakala Bradley Cooper pula membuktikan dia bukan sekadar boleh menyanyi tetapi bakatnya di dalam bidang nyanyian begitu mengagumkan dan mengejutkan penonton saat mendengar vokalnya yang lunak.


Aku sukakan isi-isi yang disampaikan di dalam filem ini yang sebenarnya berjaya menunjukkan sisi-sisi gelap bintang seni yang terkenal dan dipuja ramai tetapi akhirnya tewas kerana beberapa faktor seperti ketagihan alkohol, dadah dan juga masalah kemurungan akibat populariti yang mereka tidak mampu hadapi. Ia ditambah baik apabila menunjukkan bagaimana watak Ally lakonan Lady Gaga sendiri yang pada mulanya terlalu ingin tahu tentang bagaimana seorang bintang hebat menjalani hidup mula belajar satu persatu tentang kehidupan artis yang nampak gah dan hebat ini sebenarnya menyekat diri mereka untuk bebas melakukan apa yang mereka mahukan sama ada di dalam kehidupan peribadi mahu pun di dalam kerjaya mereka sendiri sebaliknya segala-galanya ditentukan oleh syarikat pengurusan dan juga peminat mereka. Selain itu, filem ini juga sebenarnya memberi kritikan dan sindiran bukan sahaja terhadap industri hiburan Hollywood malah keseluruhan industri hiburan di seluruh dunia yang sentiasa melebihkan rupa berbanding bakat. Ini dibuktikan dimana watak Ally ini sebenarnya dicorakkan melalui pengalaman hidup Lady Gaga sendiri yang sering kali ditolak oleh syarikat rakaman pada awal kemunculannya dahulu kerana saiz hidungnya yang besar. Sebab itulah ada beberapa babak filem ini yang menyentuh saiz hidung Ally yang besar kerana hakikatnya Lady Gaga pernah diminta syarikat rakaman untuk melakukan pembedahan untuk mengecilkan hidungnya dan barulah dia dibenarkan menjadi penyanyi. Namun, filem A Star Is Born versi 2018 kali ini nampaknya agak gemar mengangkat watak-watak dan membawakan unsur-unsur LGBT tetapi nasib babak-babak ini sekadar tempelan dan tidak terlalu berkait dengan plot cerita secara keseluruhannya. 


Jadi, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem A Star Is Born pada bulan Oktober ini:

1) Lagu-lagu yang terdapat di dalam filem ini serius sangat sedap, terbaik dan mempunyai lirik-lirik yang sangat menyentuh jiwa seperti Shallow, Look What I Found, Is That Alright, Maybe It's Time dan lagu terakhir filem ini berjudul I'll Never Love Again yang memang sangat menusuk kalbu melalui vokal yang sangat mantap daripada Lady Gaga.

2) Lakonan mantap pasangan Bradley Cooper dan Lady Gaga yang mempunyai keserasian yang sungguh baik. Secara jujur, aku sendiri tidak menyangka Lady Gaga boleh mempersembahkan watak Ally dengan cukup bagus. 

3) Topik utama yang dibawakan di dalam filem sangat menarik mengenai kemasyhuran artis yang nampak indah pada luaran tetapi dalamannya bergelut dengan pelbagai masalah seperti kemurungan, dadah dan alkohol.  


Filem A Star Is Born sangat istimewa kerana kekuatan lirik lagu serta melodinya yang sangat indah dan begitu membantu menjadikan plot ceritanya berkembang dengan cara yang menarik. Filem yang membawa mesej yang menarik tentang kemasyhuran artis, masalah dadah dan kemurungan serta dibantu dengan lakonan hebat daripada tiga watak utamanya iaitu Bradley Cooper, Lady Gaga dan Sam Elliott menjadikan filem ini wajib ditonton oleh anda semua. Jadi, selamat menonton filem A Star Is Born di pawagam berhampiran dan kongsikan pandangan anda tentang filem ini di ruangan komen. Sekian!

P/S : Selepas Ini Ulasan Filem Papillon Pula Akan Menemui Para Pembaca. Nantikan! 

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Ulasan Hans tepat sekali! PH sangat terpesona dengan filem ini dan ikutkan hati nak tontan sekali lagi hah..hah..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehee
      layan kan?
      tonton lagi sekali pun mesti boleh layan lagi

      Padam
  2. sedih wey. i nangis malam tadiiiiiiii. i can feels the feeling bila dia rasa looser sangat tuuu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yes....dua2 watak tu mmg berjaya terjemahkan emosi watak mereka dengan sangat bagus sampai kita sendiri boleh rasa feels watak2 tu

      Padam