Filem:
Papillon
Pengarah:
Michael Noer
Genre:
Biografi, Jenayah & Drama
Pelakon:
Charlie Hunnam, Rami Malek, Roland Moller, Tommy Flanagan, Eve Hewson,
Michael Socha, Nina Senicar, Christopher Fairbank, Brian Vernel & Etc.
Michael Socha, Nina Senicar, Christopher Fairbank, Brian Vernel & Etc.
Penilaian:
7/10
Filem ini diinspirasikan daripada sebuah kisah benar yang diadaptasi daripada sebuah buku autobiografi terlaris dengan judul yang sama. Ia mengisahkan seorang lelaki bernama Henri 'Papillon' Charriere, seorang pemecah peti besi keselamatan yang bergiat akfit di Paris. Dia telah ditangkap oleh pihak polis selepas diperangkap oleh pembeli barang curinya yang mendakwa Papillon terlibat di dalam satu kes bunuh. Papillon dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan di hantar ke sebuah kem penjara di Amerika Selatan. Untuk kembali bebas, dia merancang untuk melarikan diri dari penjara dan cuba bekerjasama dengan seorang pemalsu barang iaitu Louis Dega. Dega bersetuju untuk membiayai Papillon untuk melarikan diri dari penjara sebagai pertukaran untuk perlindungan keselematannya sewaktu berada dalam tahanan. Namun, mampukah Papillon melarikan diri daripada kem penjara yang terbukti belum pernah menyaksikan mana-mana banduannya dapat melepaskan diri hidup-hidup? Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui kisah Papillon yang cukup menarik ini.
Ulasan Hans:
Melihat trailer filem Papillon sememangnya membuatkan aku tidak sabar untuk menonton karya arahan pengarah Michael Noer ini. Tambahan lagi filem ini diadaptasi daripada kisah sebenar dan ini membuatkan aku semakin berasa teruja untuk menonton filem hebat ini di TGV Cinemas The Mines pada tanggal 21 Oktober 2018 yang lepas. Sememangnya pada pandangan awal, filem ini amat menarik untuk ditonton kerana mempunyai beberapa babak bersifat gore yang meyakinkan dan lebih menyeronokkan apabila kelihatannya seperti tiada sebarang potongan babak kerana beberapa adegan yang menunjukkan punggung para pelakonnya bebas ditayangkan tanpa dikaburkan atau dipotong.
Aku tidak pernah menonton karya asal Papillon yang diterbitkan pada tahun 1973 dimana ramai penonton memuja lakonan Steve McQueen dan Dustin Hoffman yang sedang berada di puncak populariti pada ketika itu. Jadi, ulasan aku disini sememangnya lahir melalui pandangan pertama aku sepanjang menonton Papillon versi 2018 tanpa ada perbandingan dengan filem terdahulu. Bagi aku, Charlie Hunnam berjaya menterjemahkan watak Papi dengan caranya yang tersendiri dan skrip cerita ini banyak membantu watak ini untuk berkembang dengan lebih baik dari masa ke semasa. Sayangnya, momentum positif watak Papi ini tidak dapat disokong oleh watak Louis Dega yang dilakonkan oleh Rami Malek kerana plot cerita ini tidak membantu watak ini berkembang seperti mana watak Papi. Sebaliknya, watak-watak pembantu dan watak sokongan yang diberi perhatian lebih sehingga menjadikan watak Dega ini kelihatan agak tenggelam, terlalu misteri dan tidak kuat untuk menyokong perilaku dan sikap Papi yang sentiasa membelanya. Sebenarnya, permulaan awal filem ini sebenarnya sudah mula menunjukkan perkembangan kisah yang menarik apabila dua watak utama ini bertembung. Papi seorang yang berani dan bersikap rasional manakala Dega seorang yang angkuh, bodoh sombong dan lemah. Namun, sayang sekali apabila watak Dega ini tidak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan menjadikan beberapa babak selepas itu yang melibatkan Papi dan Dega agak berkecamuk dan mengelirukan untuk difahami dengan sebaik mungkin.
Filem yang memaparkan kehidupan watak-wataknya berada di penjara ini sebenarnya sangat menarik bagi aku jika kisahnya dapat digubah dengan baik seperti mana yang anda dapat tonton di dalam filem The Shawshank Redemption yang diterbitkan pada tahun 1994. Faktor-faktor yang menjadikan jalan cerita sesebuah filem yang berkonsepkan kehidupan penjara ini menjadi menarik apabila pada permulaannya plot cerita berjaya menunjukkan bagaimana watak utama ini bersiap sedia dan berhempas pula mencari pelbagai cara untuk menghadapi atau mengelakkan dirinya daripada dibuli, dipukul atau dicederakan oleh banduan lain secara fizikal mahu pun mental. Kemudian, plot diteruskan pula dengan bagaimana langkah seterusnya yang diambil oleh watak utama ini untuk mencari rakan-rakan sekutu serta rakan sebilik yang terbaik dan memenuhi kriteria untuk keselamatan diri dan juga menguntungkan dirinya daripada pelbagai sudut. Seterusnya ialah watak utama ini perlu tahu dan memahami undang-undang yang ditetapkan oleh pihak penjara serta undang-undang ciptaan banduan yang terdapat di dalam kawasan itu sendiri. Melalui kesemua faktor-faktor tersebut, dapat dilihat watak Papi telah berjaya memenuhi kesemuanya tetapi sokongan yang lemah daripada watak Dega pasti sentiasa membuatkan penonton keliru dengan sikap serta tindakan yang dipilih oleh Papillon sepanjang filem ini berlangsung di layar perak.
Filem ini sebenarnya bermula dengan cinta. Papillon ingin merdeka demi mengejar cintanya. Dia sebenarnya bertambah takut apabila mendapat tahu kekasih Dega yang sebelum ini begitu bersungguh-sungguh ingin membebaskan Dega daripada penjara akhirnya berkahwin dengan lelaki lain. Namun lama kelamaan Papillon sedar hidup yang bermakna bukan hanya perlukan cinta tetapi perlukan kebebasan dimana setiap manusia ada hak untuk merasai hari-hari yang menenangkan dan menentukan hala tuju hidup sendiri mengikut apa yang dirancangkan. Papillon sudah tidak sanggup menjadi manusia yang menyerah kepada takdir apabila melihat ramai banduan yang hanya berserah pada nasib dan kemudian menghadapi tekanan sehingga akhirnya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Perkataan Papillon itu datangnya daripada tatu berbentuk rama-rama yang berada di dada Henri Charriere yang menggambarkan sebagai insan yang sukakan kebebasan. Watak Papillon ini digambarkan sebagai seorang yang sangat pintar, degil dan setia kepada persahabatannya. Paling menarik apabila melihat betapa tingginya kekuatan mental dan rohani yang dimiliki watak Papi ini yang mampu bertahan hidup bertahun-tahun di dalam penjara dimana dia langsung tidak dibenarkan membuat sebarang bunyi. Paling tragis makanan dan airnya dicatu oleh pegawai penjaran yang berdendam dengan sikapnya yang setia kepada rakannya yang membantu.
Satu perkara yang menarik apabila melihat pelakon Charlie Hunnam sanggup menghilangkan berat badan dalam jumlah yang banyak untuk tampil dalam keadaan kurus di dalam visual demi menjayakan wataknya sebagai Papi yang ditahan di dalam penjara selama dua tahun tanpa makanan dan minuman yang cukup. Ia didatangkan dengan tiga versi berbeza bermula dengan tubuh yang tegap dan kemudian ditunjukkan penyusutan berat dan saiz badan yang kurus sebelum ia menjadi lebih tragis dimana Charlie Hunnam tampil dalam keadaan seperti manusia yang kebuluran semata-mata untuk memenuhi tuntutan wataknya pada babak itu. Sesuatu yang mengagumkan aku atas usaha gigih yang dilakukannya ini.
Aku cukup sukakan babak-babak gore filem ini yang nampak sangat realistik, mengerikan dan membuatkan watak-watak utamanya kelihatan sangat hebat. Bermula dengan babak pembunuhan awal di atas kapal yang memang mengerikan dan ditambah pula dengan babak-babak pergaduhan di kawasan bilik air sehingga tiba ke babak kepala banduan yang melarikan di penggal kepala dengan alatan pisau besar yang memang membantu menunjukkan betapa kejamnya kehidupan yang perlu dialami oleh mereka di penjara terpencil tersebut.
Permulaan kisah penjara dimulakan dengan cantik sewaktu babak seorang pegawai pemerintah tertinggi penjara membacakan senarai peraturan awal dan hukuman yang bakal dihadapi oleh para banduan andai mereka melarikan diri daripada penjara. Ini merupakan inti pati utama kisah yang membentuk perjalanan filem ini. Percuba pertama melarikan diri akan dimasukkan di dalam penjara secara bersendirian selama dua tahun. Percuba kedua melarikan diri pula akan dikenakan hukuman penjara sendirian selama lima tahun. Manakala jika sekali lagi ditangkap maka akan terus dipindahkan sebuah pulau yang dikenali sebagai Pulau Devil dimana tempat terakhir banduan dan tiada langsung peluang untuk melarikan diri. Selepas itu ditunjukkan babak banduan yang mati ditembak sebelum dipaparkan pula salah seorang rakan Papi mati dipenggal di hadapan banduan-banduan yang lain sehingga membuatkan anda sebagai penonton pasti beranggapan Papi pasti akan berputus asa untuk memasang impian melarikan diri daripada neraka dunia tersebut. Namun plot ceritanya disusun kemas dan cantik dengan memaparkan banyak persoalan dan perubahan plot yang tidak dijangka dimana tindakan ini berjaya menerbitkan simpati yang cukup tinggi daripada penonton buat watak Papi ini. Pasa masa yang sama, anda akan berasa terlalu ingin menyumpah watak-watak pegawai penjara yang sememangnya kejam dan tidak berhati perut semasa mereka melayan Papi seperti binatang sewaktu Papi diseksa di dalam penjara secara sendirian. Bagaimana cantiknya juga kisah ini disusun untuk menunjukkan kepentingan dua watak utama iaitu Papi dan Dega ini saling berhubung kait juga memberi warna tambahan kepada filem ini. Papi memerlukan Dega kerana lelaki itu sahaja peluangnya untuk melepaskan diri kerana Dega mempunyai wang. Manakala Dega memerlukan Papi untuk memberi perlindungan kepadanya daripada banduan-banduan lain.
Jadi, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Papillon pada bulan Oktober ini:
1) Papillon menawarkan sebuah naratif filem yang menarik dimana membuatkan anda sebagai penonton lebih dekat dengan kehidupan banduan yang tidak bersalah. Paling menarik filem ini berjaya menyampaikan penderitaan fizikal dan mental yang dialami oleh watak Papi kepada anda terutamanya pada babak Papi ditahan di sel penjara secara sendirian selama dua tahun tanpa boleh bercakap atau berbuat bising. Serius, anda pasti berasa sangat bersyukur dapat bercakap dengan bebas tanpa halangan selepas menonton filem ini.
2) Beberapa perubahan atau twist plot yang diluar jangkaan juga bakal menjadikan anda makin teruja untuk menyaksikan apakah kesudahan kehidupan yang bakal dilalui Papi pada pengakhirannya. Adakalanya anda akan berasa Papi bakal bebas dan beroleh kebahagiaan yang dicari tetapi dalam waktu yang singkat tanggapan anda direntap dan anda kembali dipaksa menonton penderitaan Papi secara berterusan. Hal ini sentiasa berubah-ubah dan membuatkan filem ini tidak bosan untuk anda tonton sehingga penamatnya.
4) Filem ini juga berjaya memaparkan suasana sebenar kehidupan di dalam penjara yang dipenuhi pelbagai ancaman sama ada dari segi nyawa, seks, maruah serta hak sebenar anda sebagai manusia yang telah diragut seusai anda diberi gelaran banduan.
Ramai penonton dari luar negara yang mengkritik bahawa filem Papillon versi 2018 ini tidak perlu wujud kerana tiada keperluan dan tidak setanding dengan filem Papillon versi 1973. Namun, rasanya tiada masalah buat sesiapa yang baru kali pertama mengetahui kewujudan filem ini untuk menonton karya ini di pawagam. Sebuah filem yang menarik, ada isi yang bernas dan dipenuhi dengan pelbagai elemen persahabatan dan kehidupan yang menjadikan filem ini bermakna dan berbaloi untuk ditonton di pawagam. Jadi, selamat menonton filem Papillon di pawagam berhampiran anda dan jangan lupa kongsikan pandangan atau komen anda berkenaan filem ini di ruangan bawah. Sekian!
P/S : Filem Apa Pula Yang Anda Mahu Baca Ulasannya Di Blog Ini? Kongsikan Di Ruangan Komen :)
P/S : Filem Apa Pula Yang Anda Mahu Baca Ulasannya Di Blog Ini? Kongsikan Di Ruangan Komen :)
4 Ulasan
PH pun tertarik dengan trailer filem ni dan akan tonton kalau ada peluang. Hans dah tonton A Star is Born? Kalau belum, PH rekomen Hans pergi tengok. Lakonan Lady Gaga sangat mantap dan tak sangka pula Bradley Cooper boleh nyanyi dengan begitu hebat sekali.
BalasPadamdah tengok dah.
PadamReview filem A Star Is Born sebelum artikel ini dah siap
hehehe
Oh! Sori tak perasan hah..hah...
Padamhahaha...no problem
Padam