Review Filem Polis Evo 2


Filem:
Polis Evo 2

Penilaian:
9 / 10

Pengarah:
Joel Soh & Andre Chiew 

Genre:
Aksi

Pelakon:
Zizan Razak, Shaheizy Sam, Raline Shah, Hasnul Rahmat,
Erra Fazira, Tanta Ginting, Soffi Jikan, Mike Lucock, Ramdan Misnon,
Syafie Naswip, Hairul Azreen, Riz Amin, Jeff Catz, Dennis Yin & Etc

Tarikh Tayangan:
22 November 2018

Produksi:
Blackflag

Pengedar:
Astro Shaw Sdn Bhd

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Inspektor Sani dan Khai kini terlibat dalam sebuah misi pengintipan di sebuah pulau terpencil. Suasana bertukar keruh apabila sekumpulan ekstremis ajaran sesat yang diketuai oleh Hafsyam Jauhari menyerang dan menawan pulau tersebut. Sani ditahan oleh kumpulan itu bersama dengan 200 orang kampung yang dijadikan tebusan, manakala Khai pula terperangkap di kawasan kampung. Sani cuba melawan ketua kumpulan itu dari tempat tahanan selepas menyaksikan sendiri kacau bilau yang dilakukan oleh kumpulan tersebut. Khai pula berjaya menemui seorang polis perisik dari Indonesia dan empat orang anggota pasukan khas yang dihantar bagi membantu misi ini. Mereka bersama-sama menyahut cabaran yang paling getir dalam kerjaya mereka sebagai polis untuk menangkap Hafsyam Jauhari bersama kumpulannya dan menyelamatkan lebih 200 orang tebusan di pulau itu. Adakah misi mereka akan berjaya? Atau adakah salah seorang daripada mereka akan terkorban di dalam filem kali ini? Saksikan filem yang penuh dengan aksi ini di pawagam berhampiran anda pada 22 November 2018 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah aku bersyukur kerana menjadi antara rakyat Malaysia terawal yang berpeluang menonton filem Polis Evo 2 pada Premiere Night Polis Evo 2 yang berlangsung dengan cukup meriah di Hall Big Screen, MBO Starling Mall pada 14 November 2018 yang lepas. Terima kasih tidak terhingga kepada saudara Hasib, Ajami Hashim dan pihak Astro Shaw di atas bantuan maklumat yang diberikan tentang tayangan perdana filem ini. Jadi, mari kita lihat apakah keistimewaan yang ditawarkan oleh filem Polis Evo 2 kali ini. 


Polis Evo 2 sebenarnya merupakan sebuah filem yang sarat dengan aksi tembak menembak, pertempuran serta letupan bermula sejak awal filem sehingga kepada babak klimaks filem ini. Namun, setiap babak aksi ini yang wujud di dalam filem ini bukan sekadar diada-adakan untuk menarik perhatian penonton yang meminati elemen aksi atau sekadar mengikut jejak filem-filem luar yang mempertaruhkan aksi-aksi tembakan dan letupan ini untuk menutupi plot cerita filem yang lemah. Tetapi, babak-babak ini sebenarnya yang berjaya menyokong logik plot cerita dan memandu momentum filem ini ke satu tahap yang membuatkan anda  bersetuju untuk mengatakan filem aksi ini merupakan sebuah lagi filem aksi terbaik pada tahun ini selain filem PASKAL. Pada sangkaan awal aku, filem Polis Evo 2 ini tiada bezanya dengan filem PASKAL daripada sudut aksi-aksi pertempuran ini namun jangkaan aku sememangnya meleset. Kedua-dua filem ini sememangnya menawarkan aksi-aksi pergerakan yang mengagumkan tetapi kedua-dua karya ini sangat berbeza sama sekali.


Filem Polis Evo 2 baru-baru ini telah digemparkan dengan gerakan untuk memboikot filem ini dengan tuduhan liar menuduh filem ini kononnya menghina agama Islam melalui pandangan awal terhadap trailer filem yang durasinya tidak sampai dua minit. Sepanjang pemerhatian aku menonton filem yang berlangsung selama 125 minit ini, aku tidak nampak langsung sebarang cubaan untuk memburukkan agama Islam atau penganutnya tetapi aku melihat skrip filem ini bijak di dalam menggabungkan beberapa perkara untuk dimuatkan di dalam kisah filem Polis Evo 2 ini.


Dua kisah jenayah di dalam filem ini iaitu sindiket dadah terbesar serta kumpulan ekstremis ajaran sesat berjaya dihubung kaitkan dan membantu mengelakkan plot cerita ini daripada terjebak ke dalam kancah kelompongan perkembangan cerita yang sering menghantui filem-filem aksi tempatan sebelum ini. Jadi, disini tidak ada perkara yang pelik atau menimbulkan tanda tanya apabila melihat bagaimana kumpulan ekstremis ini boleh tampil dengan jumlah ahli yang besar serta kelengkapan senjata yang mengagumkan. Semuanya kerana DUIT dan hal ini yang telah ditekankan dari awal lagi filem ini bermula melalui watak-watak penjenayah yang berdialog dialek Indonesia.  


Watak Rian yang dilakonkan oleh Raline Shah berjaya dikembangkan dengan begitu cantik dan meyakinkan. Dimulakan dengan pengenalan sebagai seorang 'penjenayah' sebelum akhirnya dibongkarkan sebagai salah seorang anggota polis dari Indonesia. Aku tertarik untuk melihat penderitaan yang dialami oleh watak ini yang terpaksa taat kepada arahan ketuanya iaitu Komisaris Adli Apda (Cok Simbara) melalui tontonan babak awal yang melibatkan Rian di dalam bilik tidur yang terletak di atas sebuah kapal mewah bersama Riky Kumolo (Tanta Ginting). Pengorbanan yang ditunjukkan oleh watak anggota polis wanita ini sememangnya satu pengorbanan yang sangat gila dan hal ini telah berjaya membantu membina emosi dan pergerakan tubuh wanita ini dengan begitu baik dan menyokong plot cerita untuk berkembang di atas sebuah landasan yang gemilang. Lebih menarik kerana Raline Shah berjaya memberikan kombo pakej yang berkualiti kepada watak Rian ini. Bukan sekadar cantik tetapi sememangnya lakonannya hidup dan memukau.


Kembali semula kepada watak kontroversi yang telah mencetuskan kekecohan di dalam laman sosial serta arus berita perdana iaitu watak Hafsyam lakonan Hasnul Rahmat. Secara jujurnya, inilah watak ekstremis agama yang sangat aku nanti-nantikan untuk ditonton di dalam filem Malaysia. Watak ini juga telah berjaya membantu aku untuk memberikan lebih kefahaman kepada pembaca tentang mengapa di dalam filem Munafik 2, aku menyatakan watak Abuja lakonan Nasir Bilal Khan adalah watak yang lemah. Lemah yang aku maksudkan disini bukan kerana disebabkan pelakon atau bagaimana watak itu dilakonkan. Lemah dan kuat yang aku maksudkan disini ialah susunan skrip dialog, kekuatan dialog dan kepentingan dialog yang dituturkan oleh watak antagonis terutama watak ekstremis agama seperti Hafsyam dan Abuja ini. Dialog Abuja di dalam filem Munafik 2 tidak meyakinkan kita untuk percaya kenapa manusia ini boleh mendapat kepercayaan ramai orang untuk menjadi pengikutnya. Seperti kita lihat di dalam perdebatan antara Abuja dan Adam tentang Islam dimana dialog perdebatan diakhiri dengan perbualan seakan-akan dua anak kecil yang bertengkar dimana apabila salah seorangnya sedar dia akan tewas maka dia mula mengeluarkan ayat-ayat klise untuk menyokong kehebatan dirinya. Namun, hal ini sangat berbeza apabila aku menonton watak Hafsyam ini. Dialog yang diungkapkan oleh pelakon Hasnul Rahmat ini sangat bijak dan aku melihat ini sebenarnya sebagai satu jawapan kepada diri aku sendiri yang sering mempersoalkan kenapa ramai orang terpelajar atau mempunyai kerjaya yang hebat boleh terjebak, percaya dan terpengaruh dengan ajaran-ajaran sesat yang pernah wujud di Malaysia ini seperti ajaran Ayah Pin dan Kahar. Aku tidak ingat sepenuhnya susunan dialog keramat watak Hafsyam ini cuma maksud dialog tersebut lebih kurang seperti ini,"Jika betul pegangan aku salah dan pegangan kau betul, kenapa Tuhan takdirkan aku untuk berdiri di depan kau manakala kau melutut di depan aku!" Serius aku sangat sukakan dialog berhantu ini dan aku merasakan filem ini bukannya menghina Islam tetapi sebenarnya membuka mata kita untuk lebih memahami tipu daya yang diamalkan oleh ketua serta pengikut ajaran sesat itu sendiri. Aku merasakan ini adalah salah satu bentuk dakwah Islam yang sangat kreatif yang boleh dilihat di dalam sebuah filem yang bukan bergenre Islamik. Jadi, kenapa ramai sangat yang meroyan dengan mengatakan filem ini menghina Islam?


Satu perkara menarik lagi yang menjadi pertikaian dan perdebatan para netizen diluar sana sama ada yang menyokong filem ini atau yang menentangnya ialah tentang pemakaian serban. Aku sangat percaya pemakaian serban tidak melambangkan tahap keimanan seseorang dan pemakaian watak-watak ekstremis agama di dalam filem ini pun bukan lah dipertontonkan kepada khalayak menyerupai seiras seperti alim ulama. Jadi, sekali lagi aku merasakan isu yang cuba diperdebatkan ini sekadar satu bentuk publisiti murahan yang tidak perlu pun diangkat untuk menjadi sebuah isu yang diperbesar-besarkan. Secara logiknya, realiti ekstremis agama di luar sana yang betul-betul mencipta dan mengamalkan ajaran sesat lebih ekstrem daripada segi pemakaiannya. Jadi, tiada sebarang masalah pun disini yang perlu digembar-gemburkan. 


Berbalik semula kepada pelakon-pelakon yang membarisi filem Polis Evo 2 kali ini, aku melihat setiap watak yang ditimbulkan di dalam filem ini berjaya meletakkan satu kepercayaan kepada penonton dimana watak-watak ini berjaya berdiri dengan sendiri dan memberikan sebab kenapa mereka perlu ada di dalam plot cerita Polis Evo 2 ini. Aku tertarik dengan watak Dato' Azizat yang dibawakan oleh Erra Fazira. Kali ini aku gembira apabila dapat melihat Erra telah berjaya keluar daripada bayangan watak polis Gerak Khas dengan membawakan satu identiti baru buat watak polis yang dilakonkannya. Emosinya di dalam filem ini bercampur baur dan hal ini berjaya dirasai dengan jelas oleh aku. Lebih menarik apabila ia melibatkan kematian serta dialog-dialog kotor dan seranah yang berlaku di antara watak lakonannya ini dengan watak Hafsyam lakonan Hasnul Rahmat. Susunan dan kesinambungan dialog yang melibatkan kedua-dua watak ini sememangnya cukup menggembirakan aku saat menonton filem ini.


Filem Polis Evo 2 juga seperti yang aku katakan pada awal penulisan tadi bukan sekadar bergantung harap kepada babak-babak aksi tembakan, letupan atau pertempuran untuk membantu menutup kelemahan jalan cerita kerana filem ini tidak mempunyai masalah daripada segi itu. Filem ini membawa persoalan-persoalan menarik di dalam naratif kisahnya dimana salah satu pegangan atau falsafah yang dipegang oleh Sani (Zizan Razak) di dalam filem ini bijak diolah untuk menjadi senjata yang melindungi dan senjata yang memakan dirinya kembali. Menarik untuk melihat persoalan ini di dalam babak-babak yang melibatkan watak Sani dan Mat Dan (Syafie Naswip) daripada awal filem sehingga kepada pengakhiran pertemuan antara kedua-dua watak ini. Aku menyukai hal ini kerana ia membuatkan penonton berfikir tentang banyak persoalan menarik yang merangkumi tanggungjawab, pilihan hidup, nyawa serta kepercayaan pegangan yang dipercayai dan di amalkan di dalam kehidupan. Skrip filem Polis Evo 2 kali ini sebenarnya sangat memainkan peranan di dalam membantu kekuatan filem ini berkembang positif pada setiap masa. 


Filem ini berjaya memaparkan sinematografi yang indah. Babak-babak yang melibatkan tembakan serta letupan juga berjaya dipertontonkan dengan kemas dan menarik. Babak aksi pertempuran juga kelihatan begitu meyakinkan melalui visual yang dihidangkan kepada penonton. Kepuasan aku menonton filem Polis Evo 2 kali ini juga datangnya daripada kekuatan yang seimbang diantara watak-watak baik serta watak-watak antagonisnya daripada sudut babak aksinya. Keseimbangan yang aku maksudkan disini ialah filem ini berjaya menjadikan kedua-dua pihak ini mempunyai kebijaksanaan strategi dan kekuatan unik tersendiri di dalam filem ini yang membuatkan tidak ada pihak yang dominan. Penulis skrip filem ini berjaya membuatkan penonton untuk percaya bahawa penulis telah menulis jalan cerita mengikut jangkaan dan ramalan penonton tetapi sebenarnya tidak. Ini yang menjadikan filem ini sentiasa berjaya memberikan plot twist yang menarik kepada penonton. 


Filem Polis Evo 2 juga telah berjaya mengangkat martabat dan imej anggota keselamatan negara ke satu tahap yang wajar diberi pujian. Dialog-dialog berbaur patriotik yang disertakan dengan lafaz taat setia kepada negara yang diungkapkan sewaktu babak Khai (Shaheizy Sam) memohon bantuan empat orang ahli Pasukan Khas(salah seorang pelakonnya ialah Hairul Azreen) untuk menyertainya melakukan kerja gila menyelamatkan tebusan dan rakannya Sani sememangnya merupakan satu momen yang bagi aku cukup kuat dan bermakna. Inilah yang aku maksudkan penggunaan dialog yang tidak sia-sia dan bukannya dialog sampah yang tidak bermakna. Serius aku sangat menghargai dan menyukai hasil kerja yang diberikan oleh penulis skrip filem ini. Tabik hormat untuk anda-anda yang terlibat.


Namun ada beberapa perkara juga yang aku kurang gemar tentang filem Polis Evo 2 ini. Disebabkan filem ini bergenre aksi maka babak-babaknya gemar dipertontonkan dengan pergerakan kamera yang adakala terlalu lama di dalam keadaan yang bergerak, bergoyang atau berpusing kesana kesini di dalam tempoh waktu yang agak panjang. Ini adakalanya agak memenatkan aku yang menonton memandangkan hampir 90 peratus filem ini dipenuhi dengan babak aksi. Selain itu, ada juga beberapa plot klimaks filem ini yang bagi aku ada sedikit unsur klise yang sudah boleh dijangka namun aku tidak mahu berkongsi lebih kerana adalah lebih baik anda sendiri pergi ke panggung wayang dan menonton sendiri filem Polis Evo 2 ini.


Apa-apapun, aku sekali lagi mengucapkan jutaan tahniah kepada semua krew produksi serta para pelakon yang terlibat di dalam menjayakan filem Polis Evo 2 ini. Nampaknya, filem ini telah berjaya meletakkan penanda aras baru yang agak tinggi di dalam industri perfileman tempatan untuk dicabarkan oleh produksi filem tempatan yang lain selepas ini. Jadi, aku ucapkan selamat menonton filem Polis Evo 2 di pawagam berhampiran dan jangan lupa kongsikan komen serta pandangan anda tentang filem ini di ruangan komen. Sekian!

P/S : Selepas Ini Ulasan Filem Mandarin Tempatan Iaitu Guang Pula Akan Menemui Para Pembaca. Nantikan! 

Catat Ulasan

6 Ulasan

  1. jelesnya tgk hans ni, seronok layan movie best2... akk ni bila la dpt layan tgk wayang yg sebenarnya bkn layan kt astro kt umah je heueheuheu

    akak pun tak setuju ngn viral memboikot filem ni pada awalnya, sbb bg akak... kita tengok dan faham dulu jgnla jatuhkan hukum, lagipun rakyat malaysia semua pandai terpelajar takkan psl benda2 mcmni pun nk kata kita hina islam lah apa lah, mmg tak masuk akal lah

    baca ulasan hans pun dh rasa bestnya cite nih, klu dpt tgk msti lagi best niih...
    hasnul rahmat tu mmg sesuai betul lah muka jd ketua penjahat gitu, pastu ya... dialog tu mmg betul, mmg menangkap

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe...rezeki sebab sekarang tengah tak sibuk sangat
      Masing-masing ada pandangan dan pendapat kan Kak?
      Bagi saya filem nih tak ada masalah pun.
      Watak-watak polis di dalam filem ini pun Islam.
      Jadi, bagusnya disini dari satu sudut pandang ialah Islam yang sebenarnya pun menolak Islam yang sesat :)

      Padam
  2. Kau orng belum tengok lagi Islam sesat yg sebenar-benar yg sudah lama bertapak diMalaysia..kau org perlu lagi banyk2 ingat tuhan.dunia hanya sementara. Dalam cerita filem ini hanya 10 peratus sahaja yg tidak ditapis keluar utk tontonan korang...jdi korng lihat lah filem ini betul2 kalau sebelum korng lihat dunia luar tuu...

    BalasPadam
  3. cerita okla.. nampak ada kelas. yg nk kritik pun.byk watak waste.. watak sofi jikan, rusdi ramli n hairie othman,skrip xbyk pun diorg ni hahaha n de few camera shot yg waste untuk babak aksi.tp filem ni mmg de kelas internasional yg tersendiri

    BalasPadam
    Balasan
    1. yups sebab genre filem ini aksi jadi memang banyak lah aksinya
      hehehe

      Padam