Review Filem Guang


Filem:
Guang

Penilaian:
9 / 10

Pengarah:
Quek Shio Chuan 

Genre:
Keluarga

Pelakon:
Kyo Chen Chong Wei, Emily Ziying Chan, Ernest Chong & Etc

Tarikh Tayangan:
29 November 2018

Pengedar:
MM2 ENTERTAINMENT Sdn Bhd

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Wen Guang yang merupakan abang kepada Didi tetapi disebabkan Guang mengidap autism dan sering disalah anggap ramai pihak, maka Didi terpaksa sentiasa memerhati dan menjaga Guang daripada sebarang masalah atau bahaya yang timbul. Guang juga mempunyai masalah tidak dapat fokus kepada sesuatu perkara dan sukar untuk bersosial dengan orang awam di luar sana. Didi yang risau dengan masa depan Guang sentiasa berusaha mencarikan kerja untuk abangnya dan memaksa Guang untuk menghadiri temuduga kerja untuk mendapatkan duit belanja sendiri. Dalam pencarian kerja, Guang mula menyedari minatnya terhadap bunyi yang terhasil daripada gelas dan mula mengumpul pelbagai jenis dan bentuk gelas kaca untuk tujuan yang tidak diketahui sesiapa. Pada masa yang sama, dia juga merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan adiknya. Suatu hari, Guang telah berjaya mengumpul gelas terakhir yang dicari-cari olehnya selama ini. Perasaan gembiranya tidak dapat digambarkan namun suatu insiden telah berlaku dan menyebabkan perubahan ketara di dalam hidup Guang serta hubungannya dengan Didi. Apakah sebenarnya yang terjadi kepada Guang? Saksikan filem yang penuh dengan elemen kekeluargaan dan kesedihan ini di pawagam berhampiran anda pada 29 November 2018 akan datang untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah aku berpeluang menghadiri Tayangan Media Filem Guang yang berlangsung di mmCineplexes, eCurve pada hari Jumaat yang bertarikh 16 November 2018. Sejujurnya, aku menyedari kewujudan filem ini hanya melalui poster filemnya sahaja dan langsung tidak pernah menonton trailer filem ini. Jadi, aku datang menonton tanpa meletakkan sebarang harapan yang tinggi. Namun, ternyata aku silap besar kerana filem Guang yang telah menerima dua anugerah iaitu anugerah pengarah terbaik dan anugerah pelakon lelaki terbaik di dalam 13th Chinese Youth Generation Film Forum di Wuhan, China pada 16 September 2018 dan turut memenangi "Fukuoka Audience Award (Focus on Asia)" di Festival Filem Antarabangsa Fukuoka 2018 ini bukannya sebuah filem biasa tetapi begitu menakjubkan. 


Menakjubkan disini bukan sahaja daripada segi jalan ceritanya yang sangat jujur dalam menonjolkan masalah autistik @ autism ini tetapi ia turut merangkumi sinematografi, bahasa visual, skor bunyi serta muzik yang begitu cantik bergabung sehingga menjadikan filem Mandarin tempatan ini bukan sebuah filem yang boleh dipandang sebelah mata tetapi sebaliknya perlu diangkat dan dibanggakan oleh rakyat Malaysia secara amnya.


Menonton filem Guang seperti membawa kita melihat pameran gambar-gambar lanskap Kuala Lumpur yang sungguh berseni dan melalaikan fikiran melalui sisi-sisi kehidupan yang jarang dipertontonkan di kaca televisyen kerana latar kawasannya bukannya sesuatu yang gah atau dinanti-nantikan untuk dilihat. Namun, Guang berjaya menjadikan kawasan flat-flat murah sekitar Kuala Lumpur sebagai sesuatu yang cukup mengasyikkan untuk dilihat. Melihat pula kepada bagaimana filem ini berjaya menitik beratkan penjagaan kualitinya daripada segi bunyi dan muzik yang melatari visual filem ini sewajarnya dipuji. Aku cukup sukakan momen-momen gelas dan bunyi gelas tersebut apabila diketuk Guang yang begitu jelas dan kemas. Babak gelas-gelas yang pecah di atas lantai itu juga bagi aku satu babak yang berjaya merentap banyak perkara di dalam filem ini yang memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang menonton terutamanya jika mereka punya pengalaman hidup atau mengenali penghidap autism dengan lebih dekat.


Memandangkan filem Guang ini diinpirasikan daripada kisah hidup sebenar abang kepada pengarah filem ini sendiri iaitu Quek Shio Chuan, aku dapat melihat plot serta susunan ceritanya begitu mudah dapat menangkap perhatian penonton dek kerana kejujuran kisah ini sendiri. Aku tidak pernah mempunyai ahli keluarga yang menghidap autism namun tugasan kerja aku sebelum ini telah banyak kali menemukan aku dengan kanak-kanak autistik membuatkan aku secara jujur sangat kagum dan tersentuh dengan lakonan pelakon utamanya iaitu Kyo Chen yang memegang watak sebagai Guang. Pergerakan tubuhnya, cara percakapannya, reaksi wajahnya dan caranya berjalan sememangnya berjaya menggambarkan dengan begitu sempurna sekali penghidap autistik yang berada di tahap seperti watak Guang ini. Jadi, sememangnya layak Kyo Chen menerima anugerah pelakon lelaki terbaik kerana untuk menjiwai watak Guang dengan tahap kesempurnaan seperti itu bukannya suatu perkara yang mudah.


Dalam mana-mana filem yang aku tonton pasti pemerhatian utama aku ialah kepada isi jalan ceritanya. Menariknya elemen kekeluargaan yang terdapat di dalam filem ini bukan sekadar nilai-nilai biasa yang kita sudah acap kali lihat di dalam kisah drama atau filem Melayu tetapi ia menarik apabila kita meletakkan sudut pandang kita ke dalam ketiga-tiga watak utama filem ini iaitu Guang, Didi dan Sue Ann. Ketiga-tiganya mempunyai sebab yang tersendiri untuk mewajarkan segala tindakan yang mereka lakukan di dalam filem ini. Aku sukakan hal ini kerana setiap watak-watak ini berjaya dipertontonkan di dalam visual dalam keadaan dimana kita sebagai penonton tiada hak untuk menghakimi mana-mana pun watak ini sama ada bersalah atau betul. Ia satu perkara yang aku secara peribadi sangat kagum dan menjadi punca kenapa aku sangat menyukai filem ini. Ditambahkan lagi dengan dialog-dialog yang diungkapkan oleh ketiga-tiga watak utama ini dimana ia mempunyai subteks yang menarik untuk dilihat disebalik frasa tersebut. Kalau nak lebih memahami maksud aku ini memang aku sarankan kalian semua memberi sokongan kepada filem ini dengan menontonnya di pawagam kerana aku tidak mendedahkan banyak tentang jalan ceritanya yang cukup bagus ini. 


Watak Didi dipertontonkan sebagai satu watak yang mempunyai emosi yang sentiasa berbeza. Walaupun majoriti babak filem menggambarkan Didi sangat memahami dan menyayangi abangnya namun ada satu babak yang berjaya memusnahkan tanggapan awal tersebut dengan begitu cemerlang sekali. Babak yang dimaksudkan ialah sewaktu Didi mengamuk dan memukul abangnya dengan emosi serta pergerakan yang sungguh mengagumkan sehingga membuatkan penonton terkedu memerhatikan babak tersebut. Babak ini bagi aku merupakan satu babak yang paling hebat di dalam filem ini kerana momen yang lahir begitu besar dan paling memberi kesan kerana ia berjaya menjelaskan banyak perkara dengan begitu kreatif sekali bermula dengan babak kemarahan, jeritan, pukulan sehingga kepada bunyi pecahan gelas-gelas yang berderaian di jalanan. Aku sangat suka melihat kekeliruan emosi watak Didi ini yang sedang marah, cuba melindungi, cuba membantu, kepenatan dan pada masa sebenarnya rasa bersalah kerana tidak dapat memahami isi hati abang kandungnya sendiri. Babak ini bagi aku sememangnya cukup gah dan berada di dalam kelasnya yang tersendiri.


Walaupun latar tempat di dalam filem ini hanya berlaku di sekitar Kuala Lumpur, namun banyak babak yang menarik, lucu dan bakal mengusik emosi anda sehingga menitiskan air mata akan dapat ditonton sewaktu anda berada di dalam panggung wayang nanti. Antaranya babak-babak menarik bagi aku disini ialah:

1. Babak Guang menghadiri pelbagai temuduga kerja.

2. Babak Guang bertemu dengan Sue Ann di kedai piano, perhentian bas dan di dalam bas.

3. Babak Guang dipukul dan dimarahi oleh adiknya.

4. Babak Guang di kawasan pelupusan sampah.

5. Babak Guang bertemu dengan Didi di rumah untuk menuntut janji Didi yang dilakukan sewaktu mereka membeli ikan hiasan.

6. Babak akhir filem ini yang melibatkan Guang dan Didi.



Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa filem Guang ini wajib anda tonton:

1) Kisah penghidap autism yang berjaya divisualkan dalam bentuk yang begitu meyakinkan disebabkan kekuatan plot ceritanya yang bijak diolah dan dipersembahkan dalam suasana realiti kehidupan yang sebenar.

2) Persembahan watak Guang yang dibawakan oleh Kyo Chen sememangnya berada di tahap yang sangat tinggi dan membanggakan. Anda pasti akan suka melihat bagaimana Kyo Chen membentuk watak ini dengan gayanya tersendiri yang sangat menghiburkan. Disokong pula oleh watak Didi yang dilakonkan oleh Ernest Chong yang bijak bermain emosi menjadikan filem ini sangat berbaloi untuk anda tonton.

3) Anda akan mengagumi sinematografi filem ini yang memukau, bahasa visualnya yang sangat cantik serta skor bunyi dan muzik filem ini yang begitu jelas dan membangkitkan pelbagai jenis emosi anda sepanjang menonton filem ini.

4) Filem ini akan membangkitkan pelbagai emosi anda sepanjang tontonan. Anda pasti ketawa, sedih, marah, terharu, terdiam dan berasa kabur setiap kali menyaksikan perkembangan watak serta jalan cerita filem Guang ini.

5) Sebuah filem Mandarin tempatan yang wajar disokong dan ditonton supaya industri filem Malaysia akan lebih berjaya ke hadapan dan dipandang tinggi oleh negara luar kerana isi cerita yang disampaikan filem ini mempunyai kualiti yang begitu tinggi dan disunting dengan terperinci. 

Jadi, selamat menonton filem Guang di pawagam berhampiran dan jangan lupa kongsikan komen serta pandangan anda tentang filem ini di ruangan komen. Sekian!

P/S : Ada Lagi 2 Buah Filem Yang Belum Ditulis Ulasannya Lagi Iaitu Robin Hood Dan Fantastic Beasts: The Crimes Of Grinderwald. Nantikan! 

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. terasa nak tengok cerita ni bila baca ulasan yang diberikan,akak memang suka cerita kekeluargaan macam ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. sila tengok akak
      pasti berjurai air mata dalam panggung nanti
      hahaha

      Padam
  2. Dah tengok cerita ni samalam. Memang berjurai air mata basah kuyup muka dalam pangung. Cerita yang ringkas tapi bermakna. Bagi saya, filem ni ialah filem tempatan yang paling best pernah dihasilkan. Tak sangka filem tempatan dah capai tahap setinggi ni. Tahniah filem Malaysia.

    BalasPadam
    Balasan
    1. yes
      antara filem Malaysia terbaik pada tahun 2018
      tahniah sebab tonton dan sokong filem Guang

      Padam