Review March Of The Penguins 2: The Next Step


Filem:
March Of The Penguins: The Next Step

Penilaian:
7 / 10

Pengarah:
Luc Jacquet

Genre:
Dokumentari

Durasi:
1 Jam 25 Minit

Suara Narator:
Morgan Freeman

Tarikh Tayangan:
29 November 2018

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:

Filem dokumentari ini berkisarkan tentang seekor penguin muda yang memulakan pengembaraan sulungnya ke sebuah destinasi yang tidak diketahui cabarannya apabila tiba musim sejuk. Ia akan memaparkan sepanjang perjalanan penguin ini serta cabaran yang perlu dihadapinya di dalam meneruskan legasi kehidupan di benua antartika yang penuh dengan pelbagai dugaan dan ujian.

Ulasan:

Buat pertama kalinya di dalam sejarah iaitu pada tanggal 21 November 2018, aku berpeluang menonton sebuah filem dokumentari yang memaparkan perjalanan hidup seekor penguin maharaja di dalam panggung wayang. Terima kasih kepada pihak TGV Pictures Sdn Bhd kerana sentiasa memberi aku peluang untuk menonton pelbagai filem-filem menarik di TGV Cinemas.


March Of The Penguins 2: The Next Step merupakan filem sekuel kepada karya terdahulu. Aku memang tidak pernah menonton filem dokumentari sulung berkenaan kisah penguin ini jadi aku tidak dapat mengulas atau membandingkannya dengan karya kedua ini. Namun, apa aku boleh katakan ialah aku agak terkejut kerana filem dokumentari ini bukan sahaja berjaya menghiburkan aku tetapi juga membuatkan aku rasa teruja dan begitu dekat dengan watak utama filem ini iaitu Penguin Maharaja.


Banyak maklumat serta ilmu baru yang aku peroleh saat menonton filem dokumentari ini. Filem ini sebenarnya bukan sekadar memaparkan tentang perjalanan hidup seekor penguin jantan yang bertahan hidup di sebuah kawasan paling sejuk di bumi iaitu Antartika tetapi pada masa yang sama berjaya meningkatkan kesedaran buat sesiapa yang menonton tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Apabila melihat bagaimana perubahan cuaca dunia yang berubah disebabkan kerakusan manusia memberi kesan yang serius kepada kehidupan serta pembiakan kumpulan penguin ini, ia menjentik kesedaran di dalam diri aku untuk memandang serius kesan pemanasan global bukan sahaja terhadap manusia tetapi juga kepada haiwan-haiwan seperti penguin ini.


Filem dokumentari ini sangat sesuai ditonton bukan sahaja buat orang dewasa tetapi kanak-kanak serta remaja juga sangat disarankan untuk menonton filem ini sebagai satu bentuk pengajaran ilmiah yang memberi ilmu buat mereka. Selain itu juga, filem ini bergerak dengan begitu menarik kerana sinematografi serta visual gambarnya yang bukan sahaja memukau tetapi juga membuatkan anda dapat melihat satu perkara baru yang anda belum pernah lihat lagi sebelum ini. Kalau mahu lebih memahami apa yang aku katakan, anda wajib pergi menonton filem dokumentari menarik ini pada 29 November 2018 nanti.


Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem dokumentari March Of The Penguins 2: The Next Step di pawagam berhampiran anda pada 29 November 2018 ini:

1) Sebuah filem dokumentari yang berjaya memaparkan perjalanan kehidupan seekor penguin maharaja yang merupakan penguin terbesar di dunia dengan begitu menarik dan teliti. Banyak perkara menarik yang didedahkan di dalam kisah ini yang membuatkan anda bukan sahaja merasakan ia sebagai perkara baru serta ilmu tetapi juga membuatkan anda terasa sangat teruja untuk menonton bagaimana penguin ini berjaya bertahan untuk hidup di dalam keadaan yang begitu mencabar.

2) Sinematografi yang sangat cantik dan memukau. Anda pasti tertarik melihat suasana sekitar antartika serta suasana lautan dalam yang sangat cantik dan unik. Visual yang dipaparkan juga sangat tajam dan menarik perhatian anda terutama apabila melihat visual bulu-bulu penguin yang sangat jelas dan cantik.

3) Walaupun March Of The Penguins 2: The Next Step merupakan sebuah filem dokumentari berkaitan haiwan tetapi percayalah ia bukannya sebuah filem pendidikan yang berat. Sebaliknya anda akan terhibur melihat gelagat penguin ini serta ketawa dengan nada suara Morgan Freeman sebagai narator yang bijak mengusik hati penonton untuk ketawa.


Memandangkan ini adalah filem dokumentari pertama berkaitan haiwan yang aku tonton di pawagam, aku merasakan ini merupakan sebuah pengalaman baru yang bukan sahaja menarik dan menghiburkan tetapi juga menambahkan begitu banyak ilmu aku berkaitan dengan kehidupan seekor penguin di Antartika. Jadi, kepada anda yang meminati dunia haiwan, March Of The Penguins 2: The Next Step merupakan sebuah filem dokumentari yang sangat sesuai dan berbaloi untuk anda tonton di pawagam yang menayangkan kisah penguin comel ini. Jadi, selamat menonton dan kongsikan pandangan serta komen anda berkenaan filem dokumentari ini di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Apakah Ulasan Filem Seterusnya Yang Akan Ditulis? Nantikan! 

Catat Ulasan

2 Ulasan