26/12/18

Review Filem Mary Poppins Returns


Filem:
Mary Poppins Returns

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Rob Marshall

Genre:
Pengembaraan, Keluarga, Fantasi & Muzikal

Pelakon:
Emily Blunt, Lin-Manuel Miranda, Ben Whishaw, Emily Mortimer,
Julie Walters, Colin Firth, Angela Lansbury, Dick Van Dyke, Meryl Streep & Etc.

Tarikh Tayangan:
24 Disember 2018

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Sinopsis:

Filem ini berlatar belakangkan tahun 1935 dimana ketika era Zaman Meleset di United Kingdom berlaku, pengasuh Mary Poppins kembali melawat Jane dan Michael Banks yang sudah dewasa. Michael juga sudah mempunyai tiga orang anak iaitu Annabel, Georgie dan John. Namun, beberapa peristiwa sedih seperti kematian ibu mereka telah menyebabkan keluarga ini tidak lagi gembira seperti dahulu. Jadi, kedatangan Mary melawat keluarga Banks ini bertujuan untuk membantu mengembalikan kebahagiaan mereka dan pada masa yang sama di dalam misi untuk menyelamatkan keluarga ini daripada satu kejadian malang. Apakah kejadian malang yang bakal menimpa keluarga Banks? Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 24 Disember 2018 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah, akhirnya aku mempunyai sedikit masa terluang untuk menonton filem Mary Poppins Returns bertempat di GSC Aman Central pada 25 Disember 2018 yang lepas.  Setelah hampir 55 tahun filem klasik muzikal Mary Poppins menemui para penonton dan tiba-tiba para peminat filem Mary Poppins dikejutkan dengan sebuah berita gembira tentang pembikinan filem terbaru Mary Poppins Returns. Ada yang suka dan ada yang sangsi kerana risau jika filem terbaru ini akan merosakkan reputasi filem lama yang telah merangkul pelbagai anugerah pada zaman terbitannya. Namun, aku melihat filem Mary Poppins Returns juga adalah sebuah filem yang tidak boleh dipandang enteng namun memberikan sesuatu yang agak menarik dan luar biasa dari segi kreativiti serta berjaya membawa para penonton mengimbau kembali zaman kanak-kanak anda dengan cukup jayanya.


Mary Poppins Returns mempersembahkan sebuah dunia yang penuh dengan imaginasi dan magis. Filem ini merupakan sebuah filem istimewa untuk kanak-kanak menikmati dunia magis yang menarik dan penuh warna-warni mengikut imaginasi kreatif mereka yang tiada batasan. Jadi, buat anda yang sudah merasa cukup dewasa sebenarnya tidak perlu risau kerana anda tetap boleh menikmati dan menghayati filem ini dengan penuh gembira dan ceria asalkan anda boleh menyesuaikan diri buat sementara waktu dengan mengubah dan menjadikan jiwa anda seperti jiwa kanak-kanak yang tidak memikirkan tentang dunia orang dewasa yang penuh dengan pelbagai masalah kehidupan. Seperti mana dialog wajib watak Mary Poppins di dalam filem ini yang berbunyi, "Tiada yang mustahil  yang mustahil untuk dilakukan!" serta "Jangan bertanya banyak soalan!". Maka nikmatilah filem ini sebagai seorang kanak-kanak yang dambakan dunia magis indah sebegini.


Hakikatnya, filem berbentuk muzikal adalah sebuah filem yang agak susah untuk menambat jiwa aku untuk menyukai atau jatuh hati pada karyanya. Namun, ada beberapa filem yang berjaya membuatkan aku sukakan filem bergenre muzikal dan filem muzikal terbaru yang berjaya menambat hati aku semestinya filem Mary Poppins Returns ini. Menonton filem ini sememangnya berjaya membuatkan aku terimbau kembali zaman kanak-kanak yang begitu indah dimana kita sendiri selalu berimaginasi tentang pelbagai benda seperti keupayaan untuk terbang di atas awan atau boleh memasuki ke dalam dunia kartun dan berbual dengan kartun seperti mana yang dipaparkan di dalam filem ini. Memang aku tersenyum sendiri saat menonton filem yang menghiburkan ini di dalam panggung.


Paling menyeronokkan tentang filem ini ialah beberap lirik lagu yang terdapat di dalam filem Mary Poppins Returns yang sebenarnya seimbang buat penonton cilik mahu pun dewasa. Bagi penonton cilik, mereka akan memahami secara umum maksud setiap lirik lagu tersebut namun bagi kita yang dewasa ini pula, aku melihat satu subteks lain yang lebih menyeluruh dan cukup bijak. Ada beberapa buah lagu yang melatari filem Mary Poppins Returns kali ini dimana liriknya begitu puitus dan berjaya menarik perhatian aku iaitu lagu A Cover Is Not The Book, Turning Turtle dan (Underneath the) Lovely London Sky. Sememangnya lagu-lagu yang melatari filem ini sangat menghiburkan dan pada masa yang sama mempunyai maksud tersirat yang cukup menarik buat si dewasa.


Satu perkara yang turut menarik untuk diperhatikan ialah apabila melihat perwatakan Emily Blunt sebagai Mary Poppins di dalam filem ini. Semestinya karakter Mary yang dibawakan oleh Emily sangat berlainan seperti mana yang dibawakan oleh pelakon Julie Andrews pada filem Mary Poppins yang terdahulu. Namun, aku melihat percubaan Emily untuk membawakan watak Mary Poppins mengikut acuannya sendiri tidak sia-sia kerana watak Mary Poppins versi tahun 2018 ini mempunyai karisma dan keaslian tersendiri yang dapat diterima dengan cukup selesa oleh aku sebagai penonton. Tiada langsung kesangsian untuk memberikan pujian kepada Emily Blunt kerana aku merasakan hasil lakonan dan penjiwaannya untuk watak Mary ini sangat cemerlang.


Salah satu legasi keistimewaan yang membuatkan filem Mary Poppins cukup terkenal pada sepanjang zaman ialah penggunaan teknik filem fotokimia atau dikenali sebagai sodium vapor process dimana ia menggabungkan barisan pelakon dengan gambar latar belakang yang berbentuk animasi yang digunakan dengan cukup meluas sekitar tahun 1960-an hingga tahun 1970-an. Filem Mary Poppins Returns ini juga turut berjaya membuatkan anda mengimbau kembali kenangan menonton filem terdahulu apabila menonton babak-babak pelakon manusia di dalam dunia animasi seperti mana anda pernah menonton filem Space Jam yang turut menggunakan teknik yang lebih kurang sama.



Aku melihat filem Mary Poppins Returns ini ialah sebuah karya yang cukup menarik dan seimbang daripada pelbagai sudut sama ada mesej yang dibawakannya, plot penceritaannya, perkembangan watak-wataknya, sinematografinya, lagu-lagunya serta suntingan filem ini yang kemas dan teratur. Filem yang berjaya membawa nilai kekeluargaan yang baik dan sesuai ditonton oleh semua peringkat umur tanpa ada sebarang elemen seks atau kata atau kata-kata kesat di dalam filem ini. Aku melihat jalan cerita filem ini juga merupakan kesinambungan dari filem terdahulu dan hal ini cukup meyakinkan untuk mengiyakan kenapa filem Mary Poppins Returns ini perlu dihasilkan.


Jadi,disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem Mary Poppins Returns ini di pawagam berhampiran bermula pada 24 Disember 2018:

1) Sebuah filem kekeluargaan yang menarik untuk ditonton kerana membawakan tema kekeluargaan yang sangat kuat dan mendidik kanak-kanak yang menonton untuk menyayangi dan menghormati ibu bapa mereka. Pada masa yang sama juga, filem ini mengingatkan ibu bapa tentang bagaimana kasih sayang kanak-kanak kepada orang dewasa dipertontonkan melalui sudut pandang kanak-kanak itu sendiri dimana ramai ibu bapa zaman kini terlepas pandang atau kurang menyedari tentang hakikat tersebut.

2) Filem ini penuh dengan pelbagai imaginasi yang indah dan berwarna-warni dimana ia boleh ditonton di dalam pelbagai babak yang ada di dalam filem ini sama ada sewaktu di dunia manusia, di dunia imaginasi sewaktu babak mandi atau pun di dunia animasi yang melibatkan babak pasu kesayangan keluarga Banks.

3) Lagu-lagu yang terdapat di dalam filem ini mempunyai nada yang merdu sertai lirik-lirik puitis yang indah dan menarik. Persembahan setiap lagu juga berjaya memberi keindahan magis yang tersendiri dan pasti menghiburkan sesiapa sahaja yang menonton sama ada kanak-kanak mahu pun dewasa.

4) Sebuah filem yang ringan untuk kanak-kanak yang sebenarnya membawakan mesej separa berat untuk dewasa jika diamati secara teliti. Namun, apa yang pasti filem Mary Poppins Returns ini sangat menghiburkan bagi sesiapa yang menontonnya dengan meletakkan diri anda sebagai seorang kanak-kanak.


Jadi, selamat menonton filem Mary Poppins Returns dan jangan lupa kongsikan pandangan anda melalui komen di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Kalau Sempat Esok Akan Tonton Filem Suzzanna Bernapas Dalam Kubur. Nantikan Ulasannya!

2 ulasan: