Review Filem Dragon Ball Super: Broly


Filem:
Dragon Ball Super: Broly

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Tatsuya Nagamine

Genre:
Aksi & Animasi

Pelakon:
Masako Nozawa, Ryō Horikawa, Bin Shimada, Ryūsei Nakao, Aya Hisakawa,
Toshio Furukawa, Takeshi Kusao, Kōichi Yamadera, Masakazu Morita, Katsuhisa Hōki & Etc.

Tarikh Tayangan:
27 Disember 2018

Pengedar:
20th Century Fox

Sinopsis:

Filem ini adalah kesinambungan kisah selepas Tournament of Power di mana Bumi sudah mulai aman. Namun pada suatu hari, Goku dan Vegeta telah bertembung dengan pahlawan Saiyan bernama Broly yang telah dibawa oleh Frieza ke bumi untuk mencabar mereka berdua. Broly pula bukan seperti Saiyan lain yang pernah mereka temui dalam mana-mana pengembaraan atau perlawanan sebelum ini. Pertembungan antara ketiga-tiga Saiyan ini kemudian bertukar menjadi pertarungan yang sangat membahayakan bumi. Saksikan filem animasi yang cukup menarik dan mendebarkan ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 27 Disember 2018 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah, akhirnya aku dapat juga menonton sebuah filem animasi yang sangat diminati sejak zaman kanak-kanak lagi iaitu Dragon Ball Super: Broly bertempat di GSC Aman Central pada 27 Disember 2018 yang lepas. Paling menggembirakan apabila filem ini telah berjaya mencapai piawaian yang aku letakkan sebelum menonton filem ini. Ia bukan sekadar mengembalikan nostalgia lama dimana aku terpacak di depan kaca televisyen saban minggu pada pukul 9.00 pagi semata-mata untuk menantikan sambungan setiap episod kisahnya tetapi hakikatnya filem ini sangat menghiburkan dan menyajikan pelbagai aksi pertarungan menarik serta memberi beberapa elemen emosi yang berjaya membuatkan aku bersimpati dengan wataknya. 



Memandangkan sebelum ini aku telah menonton beberapa filem Dragon Ball yang terdahulu serta siri Dragon Ball Tournament Of Power jadi beberapa watak yang ditonjolkan seperti Beerus dan Whis serta perubahan fizikal dan warna Frieza kepada warna emas sememangnya tidak asing buat aku sewaktu menonton filem ini. Aku juga cukup suka bagaimana beberapa watak baru sama ada watak utama mahu pun tambahan diperkenalkan di dalam filem ini dimana aku melihat kesemuanya mempunyai peranan serta diberi babak yang cukup untuk berkembang dan dikenali peminat animasi Dragon Ball iaitu watak Broly, Paragus, Cheelai, Lemo, Kikono dan Berryblue.


Kepada sesiapa yang tidak pernah membaca, menonton atau mengikuti sebarang kisah berkaitan Dragon Ball tetapi berminat untuk menonton filem ini, aku merasakan tiada sebarang masalah kerana filem ini dimulakan dengan penerangan awal tentang dunia Saiyan serta konflik yang terjadi antara mereka dengan Puak Angkatan Cold dan Frieza. Kisahnya diceritakan secara sederhana dan sangat mudah difahami tanpa ada sebarang perubahan plot yang memeningkan. Sudah pasti sesiapa sahaja akan faham keseluruhan filem ini apabila anda menonton kisah permulaan filem ini pada satu jam yang pertama dengan khusyuk.


Apa yang membuatkan aku cukup sukakan karya terbaru Akira Toriyama ini ialah kerana filem ini berjaya mencipta beberapa watak yang pada asasnya dilabel sebagai watak antagonis tetapi hakikat sebenarnya ialah watak-watak ini bukannya kejam dan jahat seperti watak Frieza tetapi semuanya berlaku kerana persekitaran serta kejadian-kejadian hidup yang menyebabkan watak-watak ini terpaksa menjadi jahat. Secara tidak langsung, ia berjaya menimbulkan rasa simpati kepada setiap penonton seperti aku yang mengharapkan agar watak Broly tidak dimatikan di dalam filem ini kerana watak ini sebenarnya cukup baik dan mempunyai keunikan yang tersendiri. Aku percaya ramai peminat Dragon Ball akan sependapat di dalam hal ini kerana watak Broly ini seakan-akan memberi harapan baru buat golongan Saiyan serta nafas baru untuk kisah Dragon Ball ini terus berkembang dan menarik minat golongan muda zaman kini untuk sentiasa menyambung legasi sebagai peminat terbaru animasi tersebut.


Jika anda telah menonton filem Dragon Ball Super: Broly ini pasti anda tahu kisah kali ini juga turut berpunca daripada tujuh biji mutiara naga dimana enam biji darinya telah dirampas daripada Bulma oleh Frieza melalui orang upahannya. Apa yang menariknya ialah kedua-dua mereka mempunyai hajat dan impian yang sangat tidak boleh diterima akal tetapi begitu melucukan. Lebih menarik apabila hajat Bulma dan Frieza ini sama-sama bermula dengan angka lima. Ditambah lagi dengan gelagat Son Goku dan Vegeta sewaktu juga menggabungkan diri mereka dengan menggunakan teknik Fusion yang pasti akan menggeletek hati anda walaupun babak ini pernah dilihat sewaktu Trunks dan Goten menggunakannya pada siri terdahulu. Boleh dikatakan filem animasi yang diminati kerana aksi berlawannya ini juga turut tidak terlepas daripada menggunakan elemen komedi untuk menghiburkan para penonton dan terbukti kombinasi yang digunakan untuk filem ini sangat menjadi dan mengangkat filem ini sebagai antara filem Dragon Ball yang paling terbaik pernah dihasilkan.


Walaupun corak animasi yang digunakan kelihatan masih sama seperti era sebelumnya dan seakan-akan tidak dapat lari daripada cubaan untuk mengekalkan nostalgia, namun ia masih kelihatan menarik dan menghiburkan. Ada juga beberapa babak yang kelihatan seperti agak moden terutama sewaktu babak yang melibatkan pertukaran dan pertambahan kuasa oleh watak Broly dan Gogeta. Ditambah pula dengan kesan bunyi serta skor muziknya yang padu menyebabkan setiap babak aksi yang dipertontonkan terasa begitu puas buat sesiapa yang menyaksikannya terutama apabila ia disaksikan di sebuah skrin layar perak yang besar. Ramai yang memberi ulasan bahawa kesan bunyi sewaktu babak pertarungan agak bingit tetapi aku pula merasakan sebaliknya. Berkemungkinan barisan pekerja GSC Aman Central sudah menyelaraskan sistem bunyi ke tahap yang cukup selesa menyebabkan aku sangat menikmati setiap babak aksi di dalam filem animasi ini. Hehehe!


Melihat watak Broly mengingatkan aku kepada watak Jiren sewaktu siri Dragon Ball Tournament Of Power. Tetapi, aku percaya Broly lebih kuat berbanding watak Jiren kerana Goku dan Vegeta perlu bergabung terlebih dahulu menjadi Gogeta untuk berhadapan dengan tenaga dan kuasa yang ada pada watak Broly ini. Lebih menakjubkan kerana watak Broly ini masih belum berubah menjadi Super Saiyan tetapi mempunyai kekuatan yang diluar batasan. Bayangkan jika Broly berubah wajah selepas ini? Aku harap filem ini mempunyai sambungan kerana ia pasti menarik untuk melihat kekuatan watak Broly ini apabila mencapai tahap kemuncak.


Jadi,disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda sebagai peminat animasi Dragon Ball wajib menonton filem Dragon Ball Super: Broly ini di pawagam berhampiran bermula pada 27 Disember 2018:

1) Sebuah kisah yang cukup menarik untuk filem kali ini kerana watak antagonis yang dipaparkan sangat lain daripada filem-filem terdahulu.

2) Beberapa kisah menarik berkenaan planet Vegeta yang belum diceritakan di dalam filem-filem lain sebelum ini turut dikongsikan pada karya kali ini.

3) Filem ringan yang padat dengan aksi perlawanan serta elemen komedi yang pasti membuatkan anda tidak kering gusi sepanjang menonton filem yang berdurasi 1 jam 40 minit ini di dalam panggung wayang.



Jadi, selamat menonton filem animasi Dragon Ball Super: Broly dan jangan lupa kongsikan pandangan anda melalui komen di ruangan komen di bawah. Sekian!

P/S : Nantikan Ulasan Filem Suzzanna Bernapas Dalam Kubur Selepas Ini!

Catat Ulasan

0 Ulasan