Review Filem Suzzanna Bernapas Dalam Kubur


Filem:
Suzzanna Bernapas Dalam Kubur

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Rocky Soraya & Anggy Umbara

Genre:
Seram & Thriller

Pelakon:
Luna Maya, Herjunot Ali, Clift Sangra, Teuku Rifnu Wikana, Verdi Solaiman,
Kiki Narendra, Alex Abbad, Asri Welas, Opie Kumis, Ence Bagus, Norman R. Akyuwen & Etc.

Tarikh Tayangan:
27 Disember 2018

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Suzzanna dan Satria tinggal di rumah bersama tiga pembantu. Satu hari, apabila Satria bekerja di luar kawasan, empat pekerjanya melihat ini sebagai peluang untuk merompak rumahnya. Mereka mendapat peluang apabila rumah itu ditinggalkan kosong selepas Suzanna dan pembantunya keluar. Malangnya, ketika rompakan berlaku, Suzzanna pulang ke rumah seorang diri. Mereka kemudian telah membunuhnya dan menanam mayatnya di belakang rumah. Bagaimanapun, keesokan harinya, Suzzanna kembali ke rumah itu seperti tiada apa yang berlaku pada malam sebelumnya. Saksikan filem seram yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 27 Disember 2018 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Saat selesai menonton filem Dragon Ball Super: Broly bertempat di GSC Aman Central pada 27 Disember 2018 yang lepas, aku mengambil keputusan untuk menonton filem terbaru seterusnya pada minggu ini iaitu Suzzanna Bernapas Dalam Kubur pada hari dan lokasi yang sama. Semestinya filem ini mengingatkan aku kepada sebuah filem berjudul Sundel Bolong yang dilakonkan oleh ratu seram layar terkenal Indonesia iaitu Suzanna Martha Frederika Van Osch yang telah pun meninggal dunia pada tahun 2008. Tidak dinafikan pada ketika itu, filem tersebut sememangnya berjaya memberi impak yang hebat terutama dari segi kejutan dan keseraman saat menonton filem tersebut.


Jadi, apabila menonton filem Suzzanna Bernapas Dalam Kubur dimana Luna Maya telah disolek untuk menyerupai wajah asal Suzanna serta berjaya meniru gaya, intonasi serta lenggok badan pelakon itu sememangnya berjaya mengembalikan nostalgia filem lakonannya yang sentiasa menjadi sebutan dan kebanggaan ramai penonton Indonesia dan Malaysia. Walaupun filem ini merupakan filem yang dibikin semula namun terdapat beberapa plot penceritaannya yang diubah suai dan ditambah secukup rasa bagi memberi sedikit kelainan serta kesegeran buat naskhah terbaru arahan Rocky Seraya ini.


Namun, aku melihat perbezaan impak yang cukup ketara yang diperoleh saat menonton filem Suzzanna Bernapas Dalam Kubur dimana filem ini boleh dikatakan gagal membangkitkan rasa seram di dalam diri aku. Aku melihat filem ini lebih memberi fokus dan terarah kepada ciri-ciri Gore dimana ia lebih menumpukan kepada beberapa babak pembunuhan yang penuh dengan percikan darah yang likat serta kawasan luka di bahagian belakang Suzzanna yang sedikit menjijikkan. Ia kelihatan agak berjaya apabila dipandang daripada sudut tersebut.


Seperti biasa filem ini juga turut membawa dan menyentuh beberapa mesej yang berjaya menyentuh jiwa seperti yang berkaitan dengan cinta sejati, pengorbanan dan kepercayaan. Tetapi, satu perkara yang menarik dan boleh dianggap sebagai satu kelebihan buat filem ini ialah mesej-mesej ini berjaya dipaparkan melalui sudut pandang setiap watak sama ada protagonis mahu pun antagonis itu sendiri yang membuatkan apa-apa sahaja yang dilakukan itu dapat difahami oleh penonton dengan mudah. Lebih menarik lagi kerana filem ini bijak untuk tidak terlalu bergantung kepada kesan bunyi jump scare semata-mata untuk menakutkan penonton dan hasilnya aku sememangnya tidak berasa seram langsung sepanjang menonton filem ini. Hahaha!


Walaupun filem ini tidak cukup untuk membuatkan bulu roma aku meremang, namun satu perkara yang menyebabkan aku cukup sukakan filem ini ialah kerana elemen komedinya yang sangat menjadi melalui tiga orang watak pembantu rumah Suzzanna yang dilakonkan oleh Asri Welas, Ence Bagus dan Opie Kumis. Aku sukakan unsur humor yang diberikan mereka kerana nilai komedi yang diberikan sangat menghiburkan, kelihatan spontan dan tidak berlebihan tetapi cukup untuk memberikan impak yang hebat buat para penonton. Serius ketiga-tiga watak ini berjaya memberikan sesuatu kepada filem ini yang membuatkan aku begitu menanti-nantikan babak-babak yang melibatkan mereka.


Namun, aku merasakan terdapat beberapa kelemahan yang agak ketara yang dapat dirasakan sepanjang aku menonton filem Suzzanna Bernapas Dalam Kubur ini. Antaranya ialah:

1) Kemunculan Luna Maya di dalam filem ini yang persis seperti Suzanna pada awalnya memang begitu memukau dan mempesonakan kerana bukan sekadar rupa namun gaya dan intonasi suara juga seakan-akan sama. Namun, semakin lama plot cerita filem ini berkembang maka semakin rimas aku melihat wajahnya yang kelihatan seperti terlalu plastik dan sukar untuk melihat interaksi serta eksperasi di wajahnya. 

2) Filem ini juga mempunyai sedikit kelompongan cerita terutamanya selepas watak Jonal melakukan pembunuhan secara tidak sengaja terhadap satu watak dimana selepas kejadian tersebut watak ini kelihatan begitu bebas bergerak kemana-mana tanpa dicari oleh polis. Ia tidak sama dengan kejadian pembunuhan pertama yang mana penceritaannya berjaya dikembangkan dengan baik.


3) Tidak dinafikan elemen komedi di dalam filem ini berjaya menghiburkan penonton tetapi adakalanya beberapa babak kelihatan terlalu mencuba untuk menggeletek hati penonton sedangkan ia tidak perlu langsung dan menyebabkan elemen seram yang sepatutnya menguasai babak tersebut hilang begitu sahaja. 


Walau bagaimanapun, filem Suzzanna Bernapas Dalam Kubur ini tetap menarik dan menghiburkan untuk ditonton di pawagam berhampiran bermula pada 27 Disember 2018: Jadi, selamat menonton filem Suzzanna Bernapas Dalam Kubur dan jangan lupa kongsikan pandangan anda melalui komen di ruangan komen di bawah. Sekian!

P/S : Selepas Ini Aku Akan Kongsikan 10 Filem Terbaik Tahun 2018 Menurut Citarasa Blog RolloDePelicula. Nantikan!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Seperti biasa, terima kasih Hans di atas review yg ditunggu2 ini. Apa yg ditulis oleh Hans sememangnya saya amat setuju terutama sekali film ni tak seram langsong. Walaupon begitu, saya suka plot film ini yg tersusun dan pilihan character yg baik. Saya juga suka penerangan yg teliti apa itu hantu Sundel Bolong. Sempat juga diselit tema percintaan pd film ini. Berbaloi sebenarnya ditonton di pawagam...

    BalasPadam
    Balasan
    1. yups
      pilihan karakter semua bagus cuma Luna Maya sahaja nampak terlalu terlekat dan statik apabila terpaksa menjadi Suzanna dan bukannya Luna Maya
      hehehe

      Padam