Review Filem Petta


Filem:
Petta

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Karthik Subbaraj

Genre:
Aksi & Romantik

Pelakon:
Rajinikanth, Vijay Sethupathi, Simran Bagga, Trisha Krishnan,
M. Sasikumar, Nawazuddin Siddiqui, Bobby Simha & Etc.

Tarikh Tayangan:
10 Januari 2019

Pengedar:
Malik Streams Corporation

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang Kaali yang bertugas sebagai seorang warden di sebuah universiti. Kehadirannya telah berjaya menyelesaikan pelbagai masalah buli serta penyalahgunaan kuasa yang berlaku di universiti tersebut. Namun kehadirannya telah mengundang sekumpulan gangster yang datang menyerang dan sasaran mereka bukannya Kaali tetapi salah seorang pelajar lelaki disitu yang bernama Anwar. Apa sebenarnya yang berlaku? Saksikan filem aksi yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 10 Januari 2019 untuk mengetahui jawapannya


Ulasan:

Alhamdulillah, akhirnya aku berpeluang menonton filem terbaru lakonan Superstar Rajinikanth iaitu filem Petta bertempat di TGV Cinemas The Mines pada 10 Januari 2019 yang lepas. Selepas filem 2.0 yang walaupun menghiburkan tetapi masih belum mampu membawa magis Rajinikanth pada pandangan aku seperti filem-filem terdahulunya, nampaknya filem Petta ini telah menebus kekecewaan dan berfungsi dengan cukup baik.



Filem Petta telah berjaya lari daripada filem-filem komersial lakonan Rajinikanth yang sedikit sebanyak agak menghampakan peminatnya yang ingin menikmati tontonan yang dipenuhi aura superstar milik beliau. Petta telah menampilkan sebuah jalan cerita yang menarik dan mengejutkan pada penghujung cerita yang sememangnya tidak dapat dijangka buat peminat filem beliau dan aku boleh katakan pendekatan kali ini cukup menyegarkan. Menjadikan Rajinikanth sebagai seorang warden asrama dan menemukannya dengan watak-watak menarik seperti pasangan muda yang bercinta, kemudian pertemuan dengan ibu gadis tersebut sehingga membibitkan rasa cinta sebelum kemunculan watak-watak hitam seperti SingharSingh dan Jithu yang berpengkalan di Uttar Pradesh memberikan keyakinan yang cukup tinggi dari sudut penceritaannya.


Filem Peta ini berjaya mengembalikan nostalgia dan aura Rajinikanth sejak awal tayangan lagi melalui montaj Superstar Rajni versi lama. Disusuli dengan elemen komedi, dialog yang penuh dengan punchline gaya Rajni serta paling penting gaya Rajni yang tersendiri. Pendekatan yang digunakan pada filem ini disamping mengangkat pelbagai isu sejagat di dalam naratif penceritaannya serta babak menarik tentang percintaan watak Kaali dan Simran yang tidak keterlaluan tetapi disampaikan dengan emosi yang hebat berjaya menjadikan filem ini kaya dengan pelbagai kisah tersendiri pada peringkat awalnya. Kemudian, pecahan plot yang berjaya di struktur dengan baik dan digabungkan dengan cukup teratur juga berjaya mengurangkan kelompongan jalan cerita filem Petta ini. Walaupun, plot cerita yang dimulakan tentang kisah di universiti mengambil masa terlalu lama namun ia masih tidak mencacatkan filem ini kerana isu yang dipaparkan masih dekat dengan masyarakat Malaysia.


Satu perkara yang cukup menarik pada filem Petta ini ialah misteri yang dicetuskan kepada watak Kaali ini. Aku suka bagaimana watak ini diperkembangkan secara perlahan-lahan tetapi konsisten. Daripada seorang warden yang misteri bertukar kepada seorang romantik sebelum perlahan-lahan dibongkarkan misteri keganasan dan kesetiaannya pada zaman mudanya sebelum ditamatkan dengan satu lagi misteri pada penghujung filem yang diakhiri dengan dialog yang memang memberi impak semula kepada aura Superstar yang dimilikinya.


Filem ini semestinya menampilkan lakonan antagonis pelakon-pelakon yang bukan calang-calang. Masing-masing membawakan fenomena dan pengaruh lakonan tersendiri seperti Nawazuddin yang membawakan watak Singar Singh dan Vijay Sethupathi sebagai Jithu. Namun, kejahatan mereka tidak terlalu keterlaluan dan sememangnya filem ini telah dibuat untuk Rajinikanth yang sentiasa menonjol dan tidak ditenggelami oleh kehebatan aura pelakon lain. Senang cakap filem lakonan Rajinikanth adalah hak milik wataknya. Hahaha!


Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Petta ini di pawagam berhampiran bermula pada 10 Januari 2019:

1) Kepada yang terlalu rindukan filem-filem Rajinikanth yang membawa fenomena seperti filem lakonannya pada era 90-an dan awal tahun 2000, filem Petta memberikan anda rasa yang sama seperti itu.  

2) Filem ini dipenuhi dengan elemen komedi. percintaan, jenayah, aksi dan perubahan plot yang menarik dan seimbang menjadikan filem ini tidak membosankan untuk ditonton. Babak akhir filem setidak-tidaknya menjadikan penamat filem ini sesuatu yang menarik sebelum anda meninggalkan panggung wayang.

3) Sinematografi filem ini sangat menarik dan boleh dilihat di dalam babak-babak aksi terutama sewaktu babak pergaduhan di dalam kawasan asrama yang gelap gelita.


Jadi, kepada sesiapa yang berminat untuk menonton filem Petta ini, anda boleh menontonnya dan berkongsikan pandangan anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawah. Selamat menonton!

P/S : Filem Apa Seterusnya Yang Akan Ditonton? Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. teringin nya nk layan... filem lakonan rajnikan ni mmg syok layan, tak kisahla walau kadang mcm over, tp best layan

    BalasPadam
    Balasan
    1. filem Petta nih memang best
      rugi kalau tak tonton untuk peminat Superstar Rajni
      hehe

      Padam