MBO Cinemas Dan Kiwanis Malaysia Raikan 3,400 Kanak-Kanak

Baru-baru ini kami di portal filem Rollo De Pelicula berkesempatan hadir pada program Kiwanis MBO Mega Movie Treats 3.0 yang berlangsung di cawangan MBO Cinemas terbaru iaitu di Atria Shopping Gallery.


Program amal khas yang dianjurkan oleh salah sebuah rangkaian pawagam terbesar di Malaysia iaitu MBO Cinemas bersama kumpulan NGO yang memberi fokus kepada kanak-kanak iaitu Kiwanis Malaysia ini telah berjaya meraikan lebih daripada 3,400 kanak-kanak berkeperluan khas dan yang kurang bernasib baik di seluruh negara dengan menganjurkan tayangan khas untuk filem Disney terbaru iaitu Dumbo yang diadakan secara serentak di cawangan MBO Cinemas seluruh negara.


Majlis pelancaran program amal ini yang telah masuk tahun ketiga telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor untuk Kampung Tunku, YB Lim Yi Wei, yang disertai oleh Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran MBO Cinemas, Jamie Tiong dan Gabenor Kiwanis Malaysia, Ivan Oh.


Tetamu khas lain yang turut hadir pada majlis kali ini ialah Ibu Kiwanis yang juga isteri kepada pendahulu Tan Sri Khir Johari, Puan Sri Khir Johari; Timothy Chu, Naib Presiden JCI Malaysia; dan En Kamarul Hisham Bin Hj Yeop Hashim, ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).


Pihak portal filem Rollo De Pelicula melihat kerjasama erat antara pihak MBO Cinemas dan Kiwanis ini di dalam menggembirakan golongan kanak-kanak yang kurang bernasib ini adalah satu usaha murni yang menarik kerana ia bukan sekadar memberi mereka hiburan dan pengalaman menonton yang hebat di pawagam-pawagam cawangan MBO tetapi turut melatih mereka untuk berfikiran lebih jauh ke hadapan dengan mencetuskan idea serta imaginasi kreatif di dalam fikiran mereka selepas menonton filem Dumbo ini.


Pandangan pihak portal filem Rollo De Pelicula turut selaras dengan kenyataan Gabenor Kiwanis iaitu Ivan Oh yang turut menyatakan pandangannya bahawa asas filem Dumbo ini yang mengisahkan tentang seekor anak gajah yang dilahirkan dengan sepasang telinga yang amat besar mempunyai pelbagai nilai positif seperti memupuk keyakinan diri dalam kalangan golongan berkelainan upaya untuk mencapai hasrat hidup dan berfungsi sebagai penyuntik semangat kepada anak-anak istimewa ini.


Kami juga turut dimaklumkan oleh Pengurus Besar Pemasaran dan Penjualan MBO Cinemas iaitu Jamie Tiong yang menyatakan terdapat beberapa orang kanak-kanak pada majlis kali ini yang baru pertama kali berpeluang menonton wayang dan merasai pengalaman serta suasana menonton di dalam pawagam. Ini adalah salah satu detik yang bukan sahaja menggembirakan pihak MBO Cinemas dan Kiwanis tetapi turut membuatkan pihak Rollo De Pelicula berasa berbangga dengan usaha yang dilakukan untuk menjayakan program Kiwanis MBO Mega Movie Treats 3.0 pada tahun ini.


Untuk pengetahuan semua, cawangan pawagam MBO Cinemas yang terlibat pada program kali ini termasuk lah cawangan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Ipoh, Skudai, Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi, Teluk Intan, Taiping, Kuantan, Kulim, Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching. Program amal ini juga turut dijayakan oleh JCI Malaysia selaku rakan badan amal bersama Kiwanis Malaysia manakala tajaan makanan dan minuman diberikan oleh penaja seperti Coca-Cola, Pizza Hut dan Dutch Lady.


Pihak portal filem Rollo De Pelicula sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak MBO Cinemas dan Kiwanis atas kejayaan program Kiwanis MBO Mega Movie Treats 3.0 kali ini dan semoga program ini diteruskan lagi buat kali keempat pada tahun akan datang.

Catat Ulasan

0 Ulasan