Review Filem Airaa


Filem:
Airaa

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Sarjun KM

Genre:
Drama & Seram

Pelakon:
Nayanthara, Kalaiyarasan, Yogi Babu, Manobala, Kulappulli Leela & Etc.

Tarikh Tayangan:
28 Mac 2019

Pengedar:
Lotus Five Star

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Yamuna yang melarikan diri daripada berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya dengan mengambil cuti selama dua bulan dan pergi melawat neneknya di kampung. Sejak itu, Yamuna mulai berdepan dengan pelbagai kejadian aneh dan misteri di rumah neneknya. Lebih menakutkan apabila nenek Yamuna turut diganggu oleh satu roh sehingga menyebabkannya sakit dan akhirnya meninggal dunia. Seorang lelaki iaitu Amudhan datang menemui Yamuna dan mulai bercerita tentang siapa sebenarnya roh yang mengganggu Yamuna dimana roh tersebut telah pun membunuh lapan orang individu sebelum ini yang telah membuatkannya menderita. Yamuna mula mencari punca apa yang menyebabkan dia menjadi sasaran roh tersebut sedangkan Yamuna tidak mengenali pemilik roh tersebut sebelum ini. Jawapan yang ditemuinya sangat mengejutkan Yamuna. Apa sebenarnya yang terjadi? Apa kaitannya Yamuna dengan roh wanita tersebut? Saksikan filem seram yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 28 Mac 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Airaa di Amerin Cineplex, Seri Kembangan pada 31 Mac 2019 yang lepas. Filem Airaa menawarkan genre seram dan kami agak tertarik untuk menonton filem ini. Filem ini menghiburkan tetapi tahap keseramannya sudah boleh dijangka. 


Apa yang membuatkan filem Airaa ini mampu berdiri sendiri bukannya disebabkan elemen seramnya tetapi babak-babak imbas semula berkaitan watak Bhavani yang sangat hebat bermain dengan emosi dan membawakan mesej-mesej menarik berkaitan kepercayaan karut, kasta, perbandingan jantina serta hubungan antara warna kulit dan pandangan stereotaip tentang erti kecantikan. 


Lakonan pelakon Kalaiarasan yang memegang watak sebagai Amudhan pula dilihat berjaya menyampaikan prestasi lakonan yang bukan sekadar tenang tetapi juga tersusun. Kami seronok untuk melihat bagaimana watak ini turut bijak bermain emosi dengan watak Yamuna dan Bhavani dan membuatkan penonton percaya dengan persembahan lakonannya yang bijak memanipulasi penonton. 


Ia kelihatan lebih cantik dilihat melalui visual disebabkan sokongan oleh pembawakan watak Bhavani oleh Nayanthara yang sangat meyakinkan sehingga berjaya menjadikan watak tersebut kelihatan sangat kuat dan membanggakan mana-mana wanita berkulit gelap. Pujian harus diberikan kepada pelakon utamanya iaitu Nayanthara yang berjaya memegang dua watak di dalam filem ini sebagai Yamuna dan Bhavani dimana kami yang menonton sama sekali tidak sedar bahawa kedua-dua watak ini dibawakan oleh orang yang sama. 


Dari segi sinematografi, kami sangat menyukai permainan dan gerak kerja kamera di dalam filem ini terutamanya apabila ia melibatkan babak-babak seram atau menakutkan di sekitar kawasan banglo dimana hasil bayang-bayang, pergerakan kerusi serta kejelasan visual di waktu hujan bersabung kilat yang sangat cantik di pandang. Walaupun begitu ia masih sebuah kisah seram yang klise dan kurang memberikan impak dari segi keunikan atau kejutan lain. Kami juga agak tertarik dengan simbolik rama-rama yang dijadikan sebagai metafora di dalam filem ini yang sebenarnya melambangkan pelbagai perkara iaitu tentang kecantikan, kebebasan serta nilai pandang sesuatu perkara di mata manusia. Sebenarnya filem Airaa boleh berdiri dengan kuat walaupun tanpa bantuan elemen seram klise seperti dipaparkan di dalam filem ini. Namun, babak seram menjadikan filem Airaa tidak lebih sekadar sebuah lagi filem seram yang menawarkan sesuatu yang sudah lapuk buat penonton. Namun kisah lain yang dihidangkan di dalam filem ini berjaya mengubati hati penonton untuk setia menonton sehingga akhir dan dapat menyelami hati seorang wanita seperti Bhavani. 


Jadi, selamat menonton filem Airaa di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 28 Mac 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Thailand Berjudul Friend Zone. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan