Filem:
Friend Zone
Penilaian:
7/10
Pengarah:
Chayanop Boonprakob
Genre:
Komedi, Romantik & Remaja
Pelakon:
Naphat Siangsomboon, Pimchanok Luevisadpaibul, Jason Young, Benjamin Joseph Varney & Etc.
Tarikh Tayangan:
11 April 2019
Pengedar:
GSC Movies
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sepasang sahabat iaitu Palm dan Gink yang berhubungan sejak 10 tahun sebagai teman tetapi mesra. Palm sebenarnya menyukai Gink dalam diam tetapi terperangkap di dalam `friend zone` sejak sekolah tinggi lagi. Palm pernah meluahkan perasaannya kepada Gink tetapi ditolak oleh wanita tersebut kerana merasakan lebih selesa untuk berkawan sahaja. Selepas beberapa tahun, mereka semakin rapat antara satu sama lain. Apabila Palm putus cinta dengan teman wanita, Gink akan menenangkannya. Sama seperti Gink, setiap kali dia bergaduh dengan teman lelakinya, tidak kisah di mana wanita itu berada, Palm akan menggunakan kelebihannya sebagai pramugara untuk terbang kepadanya. Namun, Palm merasakan dia perlu merebut cinta Gink setelah 10 tahun menanti. Adakah Palm akan berjaya keluarga daripada 'Friend Zone' dan memiliki cinta Gink atau pun sebaliknya? Saksikan filem komedi romantik yang cukup menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 11 April 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.
Ulasan:
Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Friend Zone di Amerin Cineplex, Seri Kembangan pada 31 Mac 2019 yang lepas. Filem dari negara Thailand ini dikhabarkan mendapat pujian serta penilaian yang agak tinggi juga di laman IMDB. Memandangkan filem keluaran negara Thailand selalunya tidak mengecewakan maka kami tekad untuk menonton filem ini dan hasilnya sangat menggembirakan.
Filem Friend Zone berjaya mengangkat tema cinta yang lebih mudah digelarkan sebagai teman tapi mesra dengan penceritaan yang cukup kemas dan menarik. Memang sudah banyak filem-filem yang bergenre cinta telah memaparkan topik berkaitan hal ini namun kali ini cara ianya disampaikan agak berlainan di dalam filem ini. Kami merasakan kisah ini benar-benar menyampaikan sebuah pengalaman realiti dengan berjaya memaparkan bagaimana cara seorang lelaki dan wanita berfikir di dalam satu-satu perkara yang menjadikan hasilnya bertentangan mengikut kefahaman kedua-dua jantina.
Filem Friend Zone ini turut dilihat menarik dari awal sehingga akhir disebabkan keserasian yang wujud di antara kedua-dua pelakon utamanya iaitu Naphat Siangsomboon dan Pimchanok Luevisadpaibul yang berjaya meyakinkan penonton bahawa mereka berdua merupakan rakan baik yang sudah berhubungan selama sepuluh tahun. Tidak terpancar sedikit pun rasa kekok atau kelihatan seperti lakonan kerana kedua-duanya berjaya menghidupkan watak masing-masing sebagai Palm dan Gink dengan cukup berkesan sekali. Baik dari segi pengucapan dialog mereka mahu pun bahasa tubuh serta ekspresi wajah masing-masing menjadikan struktur penceritaan filem ini dapat disokong dengan kuat kerana telah berjaya mendapatkan kepercayaan penonton untuk mempercayai kedua-dua watak ini dengan cukup baik.
Tidak dilupakan elemen komedi yang dipertaruhkan di dalam filem Friend Zone ini juga turut sama membantu di dalam menghiburkan penonton saat melihat keletah serta gelagat Palm dan Gink yang mempunyai ego tersendiri di dalam meluahkan rasa cinta mereka. Kami sebenarnya tertarik dengan gabungan penggunaan teknik cerita imbas kembali serta terkini yang digabungkan pada waktu yang sama di dalam membawa filem Friend Zone ini mendekati hati penonton secara mudah dan pantas dapat memahami jalan cerita ini dengan baik tanpa sebarang kekeliruan. Satu mekanisma yang cantik untuk filem bergenre romantik komedi sebegini kerana ia membuatkan para penonton langsung tidak terasa bosan sejak awal filem ini bermula sehingga kepada pengakhirannya. Ini disebabkan teknik penceritaan sebegini berjaya memanipulasi tekaan penonton melalui perubahan plot penceritaanya yang penuh kejutan sehinggakan kepada saat-saat akhir filem ini dimana penamat ceritanya sememangnya tidak diduga oleh kebanyakan penonton yang menonton filem Friend Zone ini.
Satu lagi elemen menarik yang dapat dilihat di dalam filem Friend Zone ini ialah kolaborasi filem ini dengan banyak negara di dalam memaparkan babak-babak rakaman lagu Kid Mak yang melibatkan penyanyi-penyanyi dari beberapa negara Asia terutama Asia Tenggara seperti Myanmar, Laos, Malaysia, Indonesia, Vietnam, Filipina, Kemboja dan Hong Kong. Lebih menarik apabila dapat melihat setiap penyanyi tersebut menyanyi mengikut bahasa ibunda sendiri tetapi dengan melodi lagu yang sama. Menariknya kemerduan serta keindahan melodi lagu tersebut tetap dapat dirasai walaupun lagu tersebut kami percaya hanya digubah di dalam filem ini. Disokong pula oleh hasil sinematografi yang cukup cantik di dalam memaparkan landskap serta ikon setiap negara menjadikan kerja keras produksi filem ini satu perkara yang sangat menarik dan membuahkan hasil yang bernilai buat filem ini.
Sesiapa yang meminati filem atau drama dari Thailand pasti sudah arif bahawa karya-karya mereka selalunya dipenuhi dengan pengiklanan produk. Tetapi, apa yang menjadikan karya-karya Thailand dipuji tentang hal ini ialah cara mereka menjual produk tersebut tanpa kelihatan seperti terlalu menjual atau orang Barat sebut 'Hard Sell'. Banyak sebenarnya produk-produk yang menaja filem ini dimasukkan di dalam babak-babak penceritaannya seperti air mineral dan syarikat penerbangan Thai Airways tetapi cara filem ini berkarya dengan meletakkan unsur humor di dalam babak-babak pengiklanan produk ini membuatkan penonton langsung tidak sedar itu sebenarnya ada pengiklanan produk tetapi cara ini kelihatan sangat efektif kerana penonton melihat dan mengingati setiap produk tersebut secara positif dan semula jadi. Tahniah buat produksi filem ini bagi perkara tersebut.
Kesimpulannya, filem Friend Zone ini walaupun membawakan kisah penceritaan 'Teman Tetapi Mesra' yang pada dasarnya kelihatan biasa tetapi hakikat sebenarnya ialah filem ini telah berjaya memberikan satu tawaran kisah percintaan klasik yang penuh dengan konflik realiti yang sering berlaku di sekeliling kita. Lebih mudah untuk kami katakan filem ini pasti dengan mudahnya mendapat tempat di hati para penonton terutamanya anak muda kerana kisah cintanya yang unik, menarik dan ada unsur logik yang baik.
Jadi, selamat menonton filem Friend Zone di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 11 April 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Berjudul Kantonis Berjudul P Storm. Nantikan Ulasannya!
2 Ulasan
okay. storyline dia santai2 je.. x heavy.
BalasPadambetul tu
Padamjalan cerita filem ini memang tak berat tetapi lakonan padu