Filem:
Dumbo
Penilaian:
6/10
Pengarah:
Tim Burton
Genre:
Pengembaraan, Keluarga & Fantasi
Pelakon:
Colin Farrell, Michael Keaton, Danny DeVito, Eva Green, Alan Arkin, Nico Parker & Etc.
Tarikh Tayangan:
28 Mac 2019
Pengedar:
Walt Disney Pictures
Sinopsis:
Filem yang diadaptasi daripada kisah klasik Dumbo ini mengisahkan seekor anak gajah yang dilahirkan dengan fizikal yang berbeza dengan gajah lain iaitu mempunyai telinga yang besar. Ini menjadikan anak gajah ini mendapat gelaran Dumbo dan menjadi bahan ketawa para penonton yang menyaksikan siri jelajah sarkas Max Medici. Kepulangan semula Holt Farrier yang kehilangan sebelah tangan ke dalam siri jelajah sarkas tersebut yang sebelum ini terkenal dengan aksi tunggangan kudanya telah ditugaskan oleh Max Medici untuk menjaga Dumbo. Anak Holt iaitu Milly dan Joe menjumpai kelebihan yang ada pada Dumbo iaitu anak gajah ini boleh terbang menggunakan telinganya yang besar dan ini menjadikan siri jelajah sarkas Max Medici menjadi terkenal dan menarik perhatian pemilik taman hiburan Dreamland iaitu Vandevere untuk bekerjasama dengan Max Medici. Tetapi, segala-galanya berubah apabila Holt mendapat tahu niat jahat Vandevere dan mula mencari jalan untuk menyelamatkan Dumbo serta para pekerja siri jelajah sarkas Max Medici. Apa sebenarnya yang terjadi? Saksikan filem yang menarik dan penuh dengan unsur kekeluargaan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 28 Mac 2019 untuk mengetahui jawapannya.
Ulasan:
Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Dumbo di MBO Atria pada 30 Mac 2019 yang lepas sempena program Kiwanis MBO Mega Movie Treats 3.0. Terima kasih kepada pihak MBO Cinemas atas jemputan. Filem Dumbo ini dihasilkan berdasarkan siri animasi Dumbo yang diterbitkan sekitar tahun 1941 yang mengisahkan tentang seekor anak gajah yang dilahirkan dengan memiliki sepasang telinga besar yang pada mulanya dianggap sebagai kekurangan namun kemudian bertukar menjadi kelebihan apabila telinga tersebut memberi keupayaan kepada anak gajah untuk terbang kerana berperanan sebagai sayap.
Pihak Disney tampil dengan filem live action pertamanya untuk tahun 2019 iaitu Dumbo dan akan diikuti oleh filem Aladdin dan The Lion King selepas ini. Kami melihat kehebatan fantasi yang wujud di dalam filem ini hasil terjemahan pengarah Tim Burton di dalam filem ini agak menarik dan hidup. Ia dapat dilihat dengan mudah melalui watak Dumbo yang berjaya dizahirkan emosinya sejak awal kemunculan watak ini selepas dilahirkan, bagaimana Dumbo berkomunikasi dengan Milly dan Joe, sewaktu Dumbo belajar terbang sehingga ke saat pertunjukkan aksi Dumbo di Dreamland yang mencetuskan pelbagai aksi yang mendebarkan.
Kekuatan utama filem ini memang datang daripada watak Dumbo terutamanya. Sepanjang hampir dua jam menonton, anda pasti akan tertawan melihat kecomelan Dumbo. Pada masa yang sama, hati anda pasti akan tersentuh melihat perpisahan Dumbo dan ibunya pada waktu Dumbo masih berusia tidak sampai sebulan. Secara tidak langsung, kami melihat filem Dumbo ini jelas cuba memaparkan elemen kekeluargaan dimana hubungan Dumbo dan ibunya bukan sekadar perlambangan untuk manusia tetapi ia menempelak sikap manusia itu sendiri melalui hubungan kekeluargaan antara Holt Farrier dan dua anaknya iaitu Milly dan Joe.
Filem Dumbo juga seperti mana-mana filem Disney tidak pernah ketinggalan untuk menyampaikan beberapa mesej positif lain yang sememangnya sesuai dengan perkembangan tumbesaran kanak-kanak seperti cita-cita dan impian hidup yang tidak mustahil untuk dikecapi selain berkenaan nilai kekeluargaan.
Namun, apa yang membuatkan filem Dumbo ini kurang berjaya memberi impak kepada penonton dewasa adalah kerana watak Dumbo ini terlalu mendominasi dan menenggelamkan watak-watak lain. Perjalanan ceritanya mungkin mesra kepada kanak-kanak tetapi sedikit membosankan untuk dewasa di dalam keseluruhan babak kerana penceritaannya hanya bermain kepada dasar sahaja. Kemunculan bintang ternama seperti Colin Farrel atau Eva Green sekali pun seolah-olah seperti patung cendana dimana kekuatan mereka tidak dieksploitasi sebaik mungkin. Watak antagonis DeVito juga gagal memberi impak sebaik mungkin sebaliknya lebih sekadar mengikut jejak langkah watak-watak antagonis lain di dalam filem Disney sekadar untuk memenuhi tuntutan cerita. Pelakon kanak-kanqk di dalam filem ini juga turut gagal bersinar sebaik mungkin kerana kebanyakkan tumpuan yang terarah kepada mereka telah dicuri oleh kecomelan Dumbo yang mendominasi hampir keseluruhan filem ini.
Dari segi kesan khas CGI, kami sangat menyukai segala yang dipersembahkan di dalam filem ini bukan sahaja dari segi rupa Dumbo atau taman tema Dreamland yang sangat melangkaui zaman tetapi juga babak-babak persembahan buih belon berbentuk gajah di Dreamland yang sangat mengasyikkan dan pasti membuat sesiapa sahaja yang menonton akan teruja sehingga tamat persembahan.
Filem Dumbo merupakan sebuah lagi produk Disney yang luarannya kelihatan gah tetapi isi dalamannya masih bermain di ruang dasar yang selamat. Menghiburkan untuk melihat para pelakon cuba menghidupkan watak masing-masing sebaik mungkin. Namun tidak dapat dinafikan Dumbo bukan sekadar watak utama di dalam filem ini namun ia menjadi kekuatan, daya tarikan utama serta menjadi dominan kepada keseluruhan filem ini. Menghiburkan untuk ditonton dan mesej-mesej positif yang disampaikan juga menarik untuk dilihat. Tetapi, tiada sebarang keunikan lain yang dapat dilihat pada naskhah kali ini.
Jadi, selamat menonton filem Dumbo di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 28 Mac 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Tamil Berjudul Airaa. Nantikan Ulasannya!
0 Ulasan