Review Filem P Storm


Filem:
P Storm

Penilaian:
6/10

Pengarah:
David Lam

Genre:
Aksi & Jenayah

Pelakon:
Louis Koo, Kevin Cheng, Raymond Lam Fung, KaTung Lam,
Chrissie Chau, Julian Cheung, Gordon Lam & Etc.

Tarikh Tayangan:
4 April 2019

Pengedar:
Lotus Five Star

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan William Luk yang menyamar sebagai banduan untuk menyiasat kes pegawai penjara yang menerima rasuah. William mengambil keputusan ini disebabkan laporan yang dilakukan oleh Liu Yue Ping mengenai seorang lelaki kaya bernama Cao Yuen Yuen yang dikatakan merasuah pegawai Perkhidmatan Penjara Hong Kong dari dalam penjara. Sementara itu, pegawai ICAC Ming bekerja dengan Liang, seorang pegawai dari Biro Anti Rasuah, untuk memburu Yun, seorang pegawai korup yang juga dikenali sebagai White Glove. William kemudian bekerjasama dengan Ming untuk menyasarkan kumpulan penjenayah di seluruh Hong Kong dan Tanah Besar China. Saksikan filem aksi yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 4 April 2019 ini untuk mengetahui kesudahan ceritanya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem P Storm di GSC Pavilion Kuala Lumpur pada 1 April 2019 yang lepas hasil ajakan rakan yang telah berjaya memenangi dua keping tiket filem ini selepas menyertai satu peraduan yang dianjurkan. Selepas trilogi filem Z Storm, S Storm dan L Storm menemui para penonton sebelum ini, nampak gayanya pengarah David Lam sekali lagi tampil dengan kisah seterusnya di dalam filem P Storm. Kami pun tidak pasti adakah David Lam akan terus menghasilkan filem seterusnya selepas ini dengan menggunakan semua abjad lain yang masih belum digunakan atau sebaliknya.


Kali ini Louis Koo sekali lagi kembali memegang peranan watak utama di dalam filem ini sebagai William Luk yang bertindak sebagai penyiasat ketua ICAC yang menyamar sebagai tahanan di dalam penjara untuk menyiasat kes rasuah melibatkan para pegawai penjara yang didalangi oleh seorang banduan kaya yang tinggal di penjara tersebut. Filem ini kemudiannya menjadi lebih menarik apabila William berhadapan dengan musuh lamanya iaitu Wong Man Ban yang merupakan seorang bekas pegawai polis yang kini menjadi banduan di penjara tersebut disebabkan William yang menangkapnya di dalam filem pertama sebelum ini iaitu Z Storm.


Kami melihat plot penceritaan ini bukanlah sesuatu yang unik atau terlalu menarik untuk diperkatakan kerana kisahnya seakan-akan pernah ditonton di dalam filem bergenre aksi jenayah sebelum ini. Namun, susunan struktur penceritaan filem ini yang menggabungkan kisah-kisah pada filem sebelum ini dengan kisah penyamaran William pada naskhah kali ini boleh dikatakan berjaya dan menghiburkan untuk ditonton sehingga akhir.


Dapat dilihat filem ini berjaya menampilkan aksi koreografi yang baik sewaktu melibatkan babak-babak pergaduhan terutamanya di dalam penjara. Pergerakan kerja kamera yang sangat baik berjaya membuatkan babak-babak aksi kelihatan sangat jelas dan meyakinkan untuk ditonton. Ditambah pula dengan plot penceritaan yang sentiasa menyuntik elemen debaran menjadikan filem P Storm ini sebuah naskhah yang berbaloi untuk anda tonton di pawagam.


Seperti biasa, naratif penceritaan filem P Storm ini hanya berani bermain di peringkat dasar seperti mana yang ditonton di dalam francais tiga filem terdahulu. Tidak ada sebarang perubahan plot menarik yang ditawarkan kepada penonton untuk memberi kesan yang lebih dramatik kepada filem ini. Namun, setidak-tidaknya filem ini masih bergerak dengan lancar dan penceritaannya mudah difahami. Filem ini menawarkan elemen humor, aksi serta isu nasional berkaitan rasuah yang menjadikan naskhah kali ini sebagai sebuah filem sederhana yang sesuai ditonton oleh semua pihak. Sebuah filem yang tidak mengecewakan tetapi ianya hanya sekadar berada di tahap sederhana dalam penilaian kami. 


Jadi, selamat menonton filem P Storm di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 4 April 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Superhero Yang Menjadi Sebutan Ramai Iaitu Shazam. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan