Review Filem The Hustle


Filem:
The Hustle

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Chris Addison

Genre:
Komedi

Pelakon:
Rebel Wilson, Anne Hathaway, Alex Sharp, Ingrid Oliver & Etc.

Tarikh Tayangan:
9 Mei 2019

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:
Filem ini merupakan `Remake` filem komedi "Dirty Rotten Scoundrels" pada tahun 1988 yang mengisahkan tentang dua wanita yang menjadikan penipuan sebagai kerjaya mereka. Mereka akan memperalatkan serta mengambil kesempatan ke atas lelaki-lelaki kaya untuk mendapatkan wang serta harta bagi meneruskan kehidupan mereka yang serba mewah. Kali ini mereka berdua perlu bersaing untuk mendapatkan harta seorang remaja naif yang kaya selepas kejayaan menghasilkan aplikasi popular di internet. Mampukah mereka menipu remaja tersebut? Siapa antara mereka berdua yang akan berjaya? Saksikan filem yang cukup melucukan ini di pawagam berhampiran anda bermula 9 Mei 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem The Hustle di MBO Starling pada 13 Mei 2019 yang lepas. Untuk pengetahuan semua. filem ini merupakan sebuah filem pembikinan semula daripada filem komedi Dirty Rotten Scoundrels yang diterbitkan pada tahun 1988 dimana ia mengisahkan tentang dua orang wanita yang memilih kerjaya sebagai kaki penipu atau 'con artist' untuk memerangkap mangsa-mangsa yang terdiri daripada lelaki-lelaki kaya yang kesunyian atau miang untuk mendapatkan wang serta harta. Namun, kedua-dua wanita ini mempunyai kelebihan berbeza serta pendekatan yang sangat bertentangan antara satu sama lain.


Kekuatan besar filem ini sebenarnya datang daripada keserasian lakonan dua pelakon utamanya iaitu Rebel Wilson dan Anne Hathaway yang dilihat hebat bergandingan bersama. Elemen lucu terhasil disebabkan pembinaan karakter watak kedua-duanya dilihat sangat bertentangan antara satu sama lain dan penonton disajikan dengan persaingan menarik antara kedua-dua wanita ini yang bersaing untuk mendapatkan wang di kawasan yang sama dengan menggunakan pelbagai taktik sama ada taktik sendiri atau taktik yang diambil daripada pihak lawan. Banyak babak-babak yang sangat melucukan dan mengundang tawa besar seperti mana satu babak Josephine (lakonan Anne Hathaway) menguji Penny (lakonan Rebel Wilson) yang dalam penyamaran buta dengan mengenakan pelbagai ujian-ujian kotor yang walaupun menjijikkan tetapi cukup menghiburkan sesiapa sahaja yang menonton. Anne Hathaway berada di dalam kelasnya tersendiri apabila berjaya memberikan pelbagai warna kepada watak Josephine ini untuk diingati oleh para penonton terutamanya babak-babak melibatkan penggunaan dialog berloghat British dan Australia yang sangat pekat. Walaupun Rebel Wilson kelihatan seperti terlalu berusaha keras untuk tampak lucu di mata penonton namun diakui usahanya tidak sia-sia kerana pelakon wanita ini juga memberi impak yang cukup besar kepada keseluruhan jalan cerita filem ini untuk dilihat sentiasa mampu mengundang tawa dan suka penonton.


Kami menyukai filem ini yang berbicara tentang modus operasi penipuan yang memanfaatkan keegoan besar lelaki yang mudah dieksploitasi oleh kedua-dua wanita ini yang mempunyai persamaan dengan menggunakan helah simpati dan kelemahan wanita untuk mendapatkan kepercayaan setiap lelaki yang ingin mereka perdayakan. Tetapi, filem ini juga memaparkan perubahan plot atau twist plot yang sangat cemerlang apabila memaparkan bagaimana wanita-wanita kaki penipu seperti Josephine dan Penny sememangnya tetap adalah seorang wanita yang lemah apabila akhirnya mudah diperdayakan semula oleh lelaki yang mereka anggap naif. Kami seronok melihat bagaimana kejayaan Josephine dan Penny sebelum ini telah menaikkan ego mereka menjadi sama seperti mana lelaki-lelaki yang mereka tipu sebelum ini dan akhirnya tertipu oleh seorang pemuda yang tampak naif tetapi sebenarnya sangat hebat dan bijak. Secara keseluruhan, walaupun filem ini mempunyai beberapa dialog serta babak-babak seksual namun ia masih kelihatan menarik kerana unsur-unsur humor yang menarik dihidangkan kepada anda daripada awal sehingga tamat filem ini. Lebih menarik kerana ia menghidangkan anda tentang kisah 'scammer' serta helah yang digunakan dimana walaupun ia kelihatan kelakar tetapi dengan helah yang sama sebenarnya terlalu ramai manusia di dunia ini yang terpedaya dengan penipuan sebegitu. Sebuah filem yang menarik dan menghiburkan untuk anda tonton.  


Jadi, selamat menonton filem The Hustle di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 9 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini Ialah Sebuah Filem Tamil Yang Menarik Berjudul 100. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan