14/05/19

Review Filem Brightburn


Filem:
Brightburn

Penilaian:
7/10

Pengarah:
David Yarovesky

Genre:
Seram, Drama & Sains Fiksyen

Pelakon:
Elizabeth Banks, David Denman, Jackson A. Dunn, Matt Jones & Etc.

Tarikh Tayangan:
9 Mei 2019

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sepasang suami isteri telah menemui seorang bayi dengan kuasa misteri yang datang dari angkasa lepas. Mereka membuat keputusan untuk mengambilnya sebagai anak angkat. Mereka cuba membesarkannya dan mengharapkan agar anaknya menggunakan kuasa yang dimiliki bagi tujuan kebaikan tetapi sebaliknya yang berlaku. Saksikan filem yang cukup menarik dan penuh kejutan ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 9 Mei 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:


Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Brightburn di MBO Starling pada 11 Mei 2019 yang lepas. Majoriti penonton telah memberikan komen positif terhadap filem ini usai selesai menonton filem bergenre seram yang mengingatkan mereka terhadap kisah watak Superman. Namun, ironinya ialah hasil adaptasi daripada watak adiwira tersebut yang kemudian diolah dan diubah kepada watak antagonis di dalam filem Brightburn ini telah memberikan kami satu perspektif yang berbeza berkenaan pemilikan kuasa dan penyalahgunaan kuasa yang dilihat menyebabkan satu bencana besar yang sangat dasyat.


Jika sebelum ini, para penonton selalunya disuapkan dengan kisah-kisah penceritaan manusia atau makhluk asing yang mempunyai kelebihan dan kuasa tersendiri serta bertindak membantu menyelamatkan manusia yang lemah namun ia sama sekali berlainan dengan filem Brightburn. Di dalam filem ini, penceritaannya cuba membuatkan kita berfikir apa yang akan terjadi jika manusia atau makhluk asing yang terdapat di bumi ini mempunyai kuasa luar biasa tetapi menggunakannya di jalan yang salah? Ianya menjadi lebih menarik kerana watak utama yang merupakan watak antagonis filem ini iaitu Brandon Breyer bukannya seorang anak yang tidak mendapat kasih sayang daripada keluarganya tetapi bagaimana perlakuannya boleh menjadi terlampau kejam yang menarik untuk diperhatikan di dalam filem ini.


Walaupun permulaan kisah filem Brightburn ini sangat klise dan terlalu tipikal iaitu berkaitan pasangan suami isteri yang terlalu inginkan cahaya mata selepas bertahun-tahun berkahwin dan kemudian mereka menemui Brandon di dalam satu kejadian misteri yang berlaku di luar rumah mereka. Namun, plot penceritaannya selepas itu boleh dikatakan agak menarik kerana ia cuba bermain dengan permainan emosi anak kecil serta gejala buli yang berlaku di sekolah. Gejala buli ini sebenarnya yang mendorong Brandon untuk bertindak di luar batasan akibat dendam yang disimpannya selama ini setelah dia menyedari kuasa misteri yang ada di dalam dirinya. Menarik untuk melihat mesej tentang buli di dalam filem ini dimana ianya bukan disebabkan kelemahan fizikal Brandon tetapi disebabkan kepintaran luar biasa yang dimilikinya dan dianggap sesuatu yang terlalu aneh oleh kebanyakkan rakan-rakan sekolahnya. Namun, pada satu sudut kami melihat filem ini juga mempunyai kelompongan cerita apabila melibatkan hubungan antara Brandon dan ibu bapanya iaitu Tori dan Kyle. Pada satu tahap, ibunya Tori kelihatan seperti tidak mengetahui tentang perbezaan si anak dan pada fasa penceritaan yang seterusnya pula digambarkan Tori sangat mengenali Brandon sememangnya seorang budak lelaki yang pelik. Walaupun kita boleh menebak Tori hanya merupakan salah seorang ibu yang terlalu bersifat melindungi anaknya namun apa yang terzahir pada visual penceritaannya kelihatan agak mengelirukan.


Walaupun filem Brightburn ini dihasilkan dengan kos pembikinan yang rendah namun kami akui kesan khas CGI yang dilihat pada filem ini bukan lah sesuatu yang terlalu mengecewakan. Ada beberapa babak gore yang agak mengerikan telah berjaya disampaikan dengan baik kepada penonton pada pandangan kami terutamanya babak-babak pembunuhan kejam yang dilakukan oleh Brandon kepada mangsa-mangsanya. Dua babak mengerikan yang pasti bakal anda ingati selepas menonton filem ini ialah berkaitan dengan serpihan kaca yang dikeluarkan daripada mata serta keadaan rahang mulut yang jatuh yang dipaparkan dengan betul-betul teliti dan kelihatan sangat realistik. Memang cukup untuk membuatkan anda tidak senang duduk di tempat duduk sewaktu menonton babak-babak tersebut. Namun, terdapat juga beberapa adegan yang menggunakan CGI yang terlalu kelihatan seperti animasi tetapi diselamatkan oleh momentum penceritaanya yang laju dan penuh debaran.


Pujian harus diberikan kepada pemain watak utamanya iaitu Jackson A. Dunn yang memegang peranan sebagai Brandon Breyer. Pelakon ini bijak bermain dengan perwatakan watak Brandon itu sendiri yang mempunyai pelbagai emosi serta mengalami kekeliruan identitinya. Permainan reaksi wajahnya yang dapat dikawal dengan baik, lontaran dialog mengikut kesesuaian situasi serta bahasa tubuhnya sudah cukup untuk membuatkan bulu roma anda meremang saat babak-babak seram atau kejam mulai melanda penceritaan filem ini. Pelakon Elizabeth Banks yang memegang watak sebagai Tori Breyer iaitu ibu kepada Brandon juga wajar dipuji kerana ia berjaya memaparkan sikap dan sifat sebenar seorang ibu kepada anaknya yang disayangi. Kami sendiri dapat menyelami perasaan watak Tori ini yang berada di dalam tekanan yang terlalu berat di dalam memilih untuk menyayangi anaknya dengan cara yang bagaimana sewajarnya untuk dirinya. Lebih menarik ialah pengakhiran filem ini buat kami dimana ia adalah satu pengakhiran yang mungkin tidak akan digemari bagi mereka yang sukakan filem yang ditamatkan penceritaannya dengan kesudahan yang gembira dan positif.


Bagi kami, filem Brightburn ini masih sebuah filem yang menarik dan lain daripada kebiasaan filem-filem berkonsepkan kuasa adiwira. Jadi, jika anda ingin menonton filem 'Superman Antagonis' ini silalah berbuat demikian dengan menonton filem Brightburn di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 9 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Komedi Berjudul The Hustle. Nantikan Ulasannya!

4 ulasan:

  1. Tolong la James Gunn jadikan film ini salah satu Cinematic Universe mcm film2 Marvel tu. Amat menarik idea film ni, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe
      memang layan tengok Superman Jahat nih

      Padam
  2. Keseluruhannye filem ni bagus.. Tp cerita dia terlalu simple.. Patut banyak lagi yang perlu diceritakan.. Asal usul kapal angkasa ke.. Pastu kene ade hero yg boleh lawan ngan kuasa tu.. Takkan lah nk bagi jahat yg menang.. Musnah bumi nanti.. Huhu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. saya suka filem ini seperti ini...baru ada kelainan dan lain daripada biasa...kalau ada hero itu namanya terlalu cliche :)

      Padam