Review Filem London Sweeties


Filem:
London Sweeties

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Kaiguan Team

Genre:
Komedi & Romantik

Pelakon:
Maylada Susri, Kidakarn Chatkawmanee, Sireeporn Yoogthatat,
Nattapong Chadpong, Natthasit Kotimanuswanich, Atchareeya Potipipittanakorn & Etc.

Tarikh Tayangan:
2 Mei 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Pron yang merupakan seorang gadis Thailand dan sedang menjalani latihan industri. Dia mempunyai satu tabiat pelik iaitu suka bercakap dengan susunan ayat terbalik. Dia juga menyimpan perasaan kepada seorang penyelia bernama Pop. Apabila kakaknya Pen tiba-tiba mahu berkahwin dengan kekasihnya di England, Pron perlu bersedia untuk ke London. Disebabkan dia tidak mahir berbahasa Inggeris, dia digalakkan untuk mengambil kursus Bahasa Inggeris. Di situ dia bertemu dengan tiga orang lelaki yang mempunyai kisahnya yang tersendiri. Lelaki pertama ialah seorang mekanik Thai bernama Bo yang menjual rumahnya untuk pergi ke London demi kekasihnya. Lelaki kedua merupakan seorang lelaki muda Thai bernama Jude yang mahu ke London seorang diri untuk mencari cinta dan akhirnya jatuh hati kepada seorang gadis Inggeris bernama Katie. Manakala lelaki terkahir ialah seorang remaja Perancis bernama Antoine yang cuba menarik perhatian Pron walaupun tidah fasih berbahasa Inggeris. Apakah kesudahan kisah mereka di kota London? Saksikan filem yang cukup kelakar ini di pawagam seluruh Malaysia bermula 2 Mei ini untuk mengetahui kesudahannya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem London Sweeties yang merupakan sebuah filem dari negara Thailand di Amerin Cineplex, Seri Kembangan pada 6 Mei 2019 yang lepas. Walaupun menontonnya dikala kami sedang berpuasa namun masa berlalu terlalu pantas tanpa terasa kerana keseronokan menonton filem ini yang penuh dengan elemen humor yang berterusan di dalam keseluruhan jalan penceritaannya.


Walaupun filem ini memanipulasikan elemen penggunaan bahasa luar selain bahasa ibunda di dalam mencetuskan gelak tawa para penonton namun ia telah diolah dengan cara yang baik tanpa memperbodohkan mana-mana watak di dalam filem ini. Ia juga sebenarnya memaparkan situasi sebenar dimana begitu ramai yang takut untuk bertutur di dalam bahasa Inggeris kerana kurang keyakinan diri, risau diketawakan atau takut dilabel bodoh oleh masyarakat luar terutamanya dari kalangan masyarakat kulit putih. Namun, hakikat yang dipaparkan sebenarnya berjaya memaparkan realiti sebenar dimana masyarakat luar tidak kisah sangat tentang betapa fasihnya kemahiran bertutur anda asalkan anda mempunyai keyakinan dan paling tidak apa yang anda cakapkan dapat difahami oleh si pendengar yang lain.


Kami juga tertarik dengan empat kisah percintaan yang dipaparkan di dalam filem ini. Walaupun ada beberapa kisah cinta yang kelihatan klise dan mudah diramal kesudahannya namun bagaimana gabungan keempat-empat kisah ini diletakkan di dalam satu garis masa yang menyebabkan filem ini berjaya menarik perhatian anda untuk kekal menonton sehingga tamat kisahnya. Lakonan para pelakonnya juga wajar dipuji terutama pelakon Maylada Susri yang memainkan peranan utama sebagai Pron yang bijak bermain dengan reaksi wajah, emosi serta pergerakan fizikal yang pasti akan membuatkan anda ketawa tidak henti melihatkan aksinya yang sentiasa cemas, ketakutan dan melatah yang kelihatan sangat spontan. Keseluruhannya, filem London Sweeties ini merupakan sebuah filem komedi romantik ringan yang sangat menghiburkan buat anda yang inginkan karya baru selepas dua minggu pawagam sepi dek kerana penangan Avengers Endgame.


Jadi, selamat menonton filem London Sweeties di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 2 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Yang Dinanti-Nanti Oleh Ramai Peminat Pokemon Iaitu Pokemon Detective Pikachu. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan