Review Filem Long Shot


Filem:
Long Shot

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Jonathan Levine

Genre:
Komedi & Romantik

Pelakon:
Charlize Theron, Seth Rogen, June Diane Raphael, O'Shea Jackson, Jr., Ravi Patel, Andy Serkis, Alexander Skarsgard & Etc.

Tarikh Tayangan:
2 Mei 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang wartawan bernama Fred Flarsky yang dipecat kerana prinsipnya bertentangan dengan prinsip orang atasan. Tanpa diduga, Flarsky bertemu kembali dengan cinta hatinya di suatu majlis dan dia mula menaruh hati terhadap wanita tersebut. Namun, cabaran yang perlu dihadapi oleh Flarsky apabila dia mengetahui bahawa wanita tersebut bukan sahaja merupakan salah seorang wanita paling berkuasa di dunia tetapi juga mempunyai impian untuk menjadi presiden Amerika wanita yang pertama. Adakah Flarsky mampu menambat hati wanita tersebut? Atau adakah Flarsky sekadar bertepuk sebelah tangan? Saksikan filem yang sangat kelakar ini di pawagam seluruh Malaysia bermula 2 Mei ini untuk mengetahui kesudahannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan oleh pihak GSC Cinemas untuk menghadiri tayangan istimewa filem Long Shot di GSC One Utama, Damansara pada 29 April 2019 yang lepas.


Filem Long Shot ini memaparkan tentang kisah kehidupan berprinsip yang agak menarik dan separa realistik dalam kehidupan sebenar yang kita lalui sepanjang hari. Fred Flarsky merupakan satu watak yang mewakili ramai orang berprinsip di luar sana yang terpaksa berhadapan dengan golongan majoriti yang bersifat kapitalis. Filem ini berjaya menampilkan bagaimana orang-orang seperti Flarsky ini menghadapi dilema di dalam mengekalkan fahaman dan pegangannya yang sebenarnya tepat tetapi adakala terpaksa tunduk pada tekanan dan tuntutan hidup. 


Ia menjadi lebih menarik apabila melihat bagaimana watak Flarsky ini berjaya menyesuaikan prinsip dirinya apabila berhadapan dengan dunia percintaan yang sangat brutal dan unik. Apa yang istimewanya tentang filem Long Shot ini apabila ia menampilkan kisah cinta lelaki dan wanita yang menepati kebiasaan duniawi iaitu si wanita dan si lelaki bukannya sama-sama kelihatan cantik dan kacak tetapi sebaliknya. Ini yang menjadikan kisah percintaan di dalam filem ini sedikit sebanyak mencerminkan realiti sebenar kisah di luar sana apabila menyentuh tentang fizikal dan luaran. 


Walaupun teras utama filem ini tentang kisah percintaan antara dua darjat boleh dikatakan sudah banyak dipaparkan di dalam mana-mana filem sebelum ini namun apa yang menjadikan naskah ini sebuah naskah yang menghiburkan ialah kerana dialog-dialog di dalam ini yang bukan sekadar kelihatan hidup dan spontan tetapi juga sangat 'nakal' menepati klasifikasi filem ini sendiri.


Antara perkara yang kami paling suka tentang filem ini ialah tentang kehidupan sebenar yang cuba dipaparkan disebalik kejayaan, kemegahan serta populariti seseorang individu tersebut pada kata masyarakat. Melihat betapa pentingnya setiap tindakan, cara percakapan, bagaiamana bersantap hatta cara melambai tangan membuatkan anda boleh memahami kenapa gaji setiap wakil rakyat boleh dikategorikan lumayan. Walaupun filem ini agak banyak memaparkan adegan-adegan dewasa yang tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak namun filem ini diakui pasti akan menghiburkan ada sepanjang berada di dalam panggung nanti.


Cuma kami agak kurang menyukai pergerakan kamera di dalam beberapa babak yang kelihatan terlalu bergoyang atau bergegar kerana ia agak mengganggu fokus tontonan kami untuk filem ini. Namun secara keseluruhan filem ini menarik dan begitu menghiburkan untuk ditonton. Anda pasti tidak akan menyesal dengan filem Long Shot ini.


Terima kasih sekali lagi buat pihak GSC Movies atas jemputan. Jadi, selamat menonton filem Long Shot di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 2 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Thailand Yang Cukup Menarik Dan Kelakar Berjudul London Sweeties. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan