Review Filem Pokémon Detective Pikachu


Filem:
Pokémon Detective Pikachu

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Rob Letterman

Genre:
Pengembaraan & Komedi

Pelakon:
Ryan Reynolds, Justice Smith, Kathryn Newton, Ken Watanabe, Omar Chaparro, Suki Waterhouse & Etc.

Tarikh Tayangan:
9 Mei 2019

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Detektif Harry Goodman yang telah hilang secara misteri. Tim yang merupakan anak lelakinya yang kini berusia 21 tahun telah pergi mencarinya dengan bantuan bekas rakan Pokemon Harry iaitu Detektif Pikachu. Mereka berdua cuba menjejaki klu yang ditinggalkan yang membawa mereka ke sebuah kota metropolis moden bernama Ryme yang menjadi tempat manusia dan Pokemon dapat tinggal sebumbung tanpa sebarang konflik. Ketibaan mereka disana membawa kepada penemuan terbesar berkenaan rancangan mengejutkan untuk mengancam dunia Pokemon dan mampu memusnahkan keamanan yang telah terjalin sebelum ini di antara manusia dan Pokemon. Mampukah Tim dan Detectif Pikachu memperbetulkan kembali keadaan dan menyelamatkan dunia manusia dan pokemon? Saksikan filem yang menghiburkan ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 9 Mei 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada pihak 20th Century Fox untuk menghadiri tayangan media filem Pokémon Detective Pikachu bertempat di GSC Mid Valley pada 7 Mei 2019 yang lepas. Sebagai salah seorang manusia yang hidup pada zaman kegemilangan animasi Pokemon di saluran televisyen tempatan suatu ketika dahulu maka filem ini sememangnya amat dinanti-nantikan oleh kami saat berita serta trailer filem ini mulai tersebar dan menjadi sebutan ramai. Walaupun pemilihan Ryan Reynolds untuk menyumbang suara bagi watak Pikachu sebelum ini menjadi pertikaian ramai pihak namun kami melihat Ryan sebenarnya telah memberikan satu kekuatan tersendiri kepada watak ini yang menjadikan filem ini lebih hebat daripada jangkaan awal kami.


Filem ini sebenarnya telah memenuhi impian para penggemar pokemon yang ingin menyaksikan watak-watak Pokemon ini dihidupkan di layar perak di dalam versi live action dimana kami gembira melihat kemunculan awal salah satu pokemon terkuat antara semua iaitu Mewtwo sebelum disusuli oleh watak Pikachu itu sendiri serta watak-watak lain seperti Psyduck, Bulbasaur, Snorlax, Charmander, Charizard, Dodrio, Pancham, Growlithe dan banyak lagi yang berjaya ditampilkan dengan kualiti CGI yang baik walaupun bukan secara keseluruhannya. Namun, ia masih satu usaha yang bagus untuk memastikan watak-watak utama pokemon berjaya dihasilkan dengan baik dan kelihatan menarik untuk ditonton di dalam bentuk visual.


Jika anda bukan peminat Pokemon atau tidak pernah mendengar tentang kewujudan animasi atau permainan video Pokemon, filem ini sebenarnya menampilkan struktur jalan cerita yang secara asasnya mempunyai banyak kelompongan kisah atau plot hole sejak daripada awal penceritaan lagi. Tetapi, ia tidak akan menjadi masalah buat sesiapa yang memang menggemari dan mengikuti siri animasi pokemon ini untuk memahami dengan lebih lanjut beberapa perkara penting seperti hubungan anda pokemon dan manusia, bekas berbentuk bulat yang menyimpan pokemon dan banyak lagi yang tidak diterangkan di dalam filem ini. Ada juga beberapa babak pada pertengahan filem yang mampu mengundang sedikit kebosanan buat anda disebabkan momentum penceritaannya yang terlalu perlahan dan agak penuh dengan drama yang bermain dengan emosi. Tambahan pula penceritaan untuk filem ini kelihatan agak berlainan berbanding dengan siri-siri animasinya sebelum ini. Namun, kami mengakui apa yang membuatkan kami terhibur dengan filem ini daripada awal sehingga tamat ialah elemen humor yang menyeluruh daripada pelbagai jenis pokemon di dalam filem ini serta beberapa perubaha plot atau plot twist yang membuatkan tontonan kami menjadi semakin menarik dari masa ke semasa.


Kami ingin memuji usaha membawa animasi pokemon ini ke layar perak dengan berjaya mengekalkan rupa dan fizikal setiap pokemon sehabis baik seperti mana yang dapat dilihat pada siri animasi atau permainan videonya. Ia kelihatan sangat mengujakan buat sesiapa sahaja peminat Pokemon untuk melihat sendiri kecomelan pokemon kegemaran masing-masing disamping menikmati emosi serta pergerakan setiap pokemon ini yang sememangnya cukup untuk membuatkan anda lupa tentang kelemahan penceritaan filem ini yang penuh dengan kelompongan cerita terutama buat sesiapa yang tidak tahu menahu tentang kewujudan siri animasi pokemon ini.


Walaupun begitu diakui filem Pokémon Detective Pikachu ini bukan sekadar sebuah filem ringan tetapi masih sarat dengan elemen kekeluargaan serta kemanusiaan yang menjadikan ia bukannya sekadar sebuah filem kosong yang bergantung harap kepada pengaruh siri animasi pokemon ini. Kami menyukai bagaimana watak Tim dan Pikachu ini ditemukan serta keserasian yang dipaparkan benar-benar sampai kepada jiwa kami yang menonton. Kami turut melihat elemen emosi di dalam filem ini berjaya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk menyentuh hati para penonton untuk merasai sendiri derita yang dirasai oleh Tim dan Pikachu ini secara berperingkat.


Walaupun kelemahan ketara filem Pokémon Detective Pikachu ini dapat dikenal pasti melalui struktur penceritaan serta penggunaan CGI yang kurang meyakinkan untuk beberapa karakter Pokemon sampingan namun secara keseluruhan filem ini sangat menghiburkan kami. Sekali lagi kami ingin nyatakan pemilihan Ryan Reynolds sebenarnya adalah satu tindakan yang sangat tepat kerana ia berjaya menyelamatkan filem Pokémon Detective Pikachu ini daripada tersenarai di dalam kumpulan filem yang membosankan. Sebaliknya filem ini membuatkan anda terhibur menonton atas kapasiti humor yang walaupun sederhana tetapi sudah cukup untuk menggeletek jiwa anda untuk turut sama bergelak ketawa melihat keletah Pikachu dan pokemon yang lain. Kami menyarankan anda agar pergi menonton sendiri filem ini pada minggu ini untuk membuat penilaian anda sendiri sama ada untuk sependapat dengan kami atau sebaliknya.


Jadi, selamat menonton filem Pokémon Detective Pikachu di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 9 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Bollywood Yang Kami Nanti-Nantikan Iaitu Student Of The Year 2. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan