11/05/19

Review Filem Student Of The Year 2


Filem:
Student Of The Year 2

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Punit Malhotra

Genre:
Romantik

Pelakon:
Tiger Shroff, Tara Sutaria, Ananya Pandey, Samir Soni & Etc.

Tarikh Tayangan:
10 Mei 2019

Pengedar:
Antenna Entertainments

Sinopsis:
Filem ini merupakan sekuel kepada "Student of the Year" (2012). Ia menceritakan tentang seorang pelajar kolej bernama Rohan yang terlalu cintakan kekasihnya Mridula. Demi mengejar cintanya, Rohan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan biasiswa bagi menyambung pengajian di kolej elit yang mahal dimana Mridula belajar disitu. Namun, Rohan mendapati dia perlu bersaing dengan Manav Randhawa yang merupakan pelajar terbaik dua kali berturut-turut di kolej tersebut untuk menambat semula hati Mridula. Rohan perlu menang di dalam sukan larian, tarian dan kabaddi demi mendapatkan gelaran pelajar terbaik. Namun, segala-galanya berubah apabila dia mendapati Mridula sebenarnya menyembunyikan satu rahsia daripadanya. Apa sebenarnya rahsia tersebut? Adakah ia ada kaitan dengan Manav? Mampukah Rohan menjadi pelajar terbaik dan mendapatkan semula cinta Mridula? Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 10 Mei 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Student Of The Year 2 yang merupakan sebuah filem Bollywood di GSC NU Sentral pada 10 Mei 2019 yang lepas. Selepas kejayaan filem Student of the Year yang berjaya menaikkan nama-nama pelakon seperti Alia Bhatt, Varun Dhawan dan Sidharth Malhotra nampaknya filem sekuel Student of the Year 2 ini cuba mengikut jejak langkah yang sama. Namun, perbezaan ketara jelas kelihatan yang menampakkan legasi yang telah ditinggalkan oleh filem terdahulu kelihatan terlalu tinggi dan jauh untuk dikejar oleh filem sekuel ini. 


Perbezaan ketara dapat dilihat melalui konsep jalan ceritanya dimana jika Student of the Year lebih dekat di hati kami yang pernah bergelar pelajar dan melalui situasi sedemikian kerana ia melibatkan rakan-rakan sekuliah anda. Namun berbeza dengan Student of the Year 2 yang memaparkan tentang persaingan antara kolej-kolej yang membuatkan kami teringat tentang filem tempatan berjudul Baginda. Jadi, kami melihat struktur penceritaan untuk filem Student of the Year 2 ini kelihatan kacau bilau dan lompong disana-sini. Kisah tentang watak utamanya kelihatan terlalu terkejar-kejar sehingga beberapa adegan yang sepatutnya harus dibiarkan bermain dengan emosi para penonton agar momen hebat dapat dicipta nampaknya gagal dimanfaatkan sebaik mungkin.


Jika pada filem pertama, filem ini memaparkan kisah cinta tiga segi antara seorang wanita dan dua lelaki. Namun ia berbeza di dalam filem Student of the Year 2 dimana kisah cinta tiga segi ini melibatkan seorang lelaki yang keliru untuk menilai cinta sebenarnya terhadap dua wanita di dalam kehidupannya. Walaupun kisah cinta tiga segi untuk kedua-dua filem ini menarik namun permainan emosi dan konflik yang dicetuskan pada kisah cinta Rohan, Mia dan Shreya untuk filem Student of the Year 2 gagal berfungsi dengan sepenuhnya seperti mana kisah cinta Shanaya, Abhimanyu dan Rohan di dalam Student of the Year. Serius filem sekuel ini nampaknya mempunyai masalah untuk memberikan aura pada konflik-konflik wataknya yang senang diramal dan tidak kuat untuk menimbulkan rasa simpati kepada watak-wataknya.


Masib memberi fokus kepada pertandingan berbentuk sukan olahraga dan tarian namun filem Student of the Year 2 kali ini cuba memperkenalkan sukan kabaddi kepada para penonton. Ini adalah satu tindakan yang bijak dan sekurang-kurangnya babak akhir yang dipaparkan di dalam filem ini yang mempertaruhkan aksi-aksi cemas sewaktu permainan ini dimainkan berjaya juga menghiburkan penonton. Terdapat beberapa perubahan plot atau plot twist menarik sewaktu babak klimaks untuk menentukan siapakah Student of the Year untuk kali ini yang setidak-tidaknya berjaya mengubat sedikit hati kami saat menonton filem ini. Namun, kesudahan kisah cinta tiga segi di dalam filem ini begitu mudah diramal dan ia berbeza jika dilihat pada filem Student of the Year dimana kami terkejut besar melihat kesudahan kisah percintaan yang dipaparkan.


Penonton di Malaysia rata-ratanya menyukai lagu-lagu filem Bollywood walaupun tidak mengetahui makna liriknya. Rata-rata kita mudah tertarik kepada irama, melodi serta sebutan liriknya yang sedap. Jadi, jika dilihat pada faktor tersebut maka filem Student of the Year yang ditayangkan pada tahun 2012 memang dipenuhi dengan lagu-lagu yang sangat merdu dan masih tidak bosan untuk didengar sehingga ke hari ini seperti lagu Radha,The Disco Song, Gulabi Aankhen, Kukkad dan Vele. Namun, ia tidak dapat ditandingi oleh lagu-lagu yang terdapat di dalam filem Student of the Year 2 yang kurang memberikan impak kepada kami saat menonton filem ini. Walaupun koregrafer serta tarian yang dipersembahkan terutama daripada pelakon muda berbakat Tiger Shroff wajar dipuji namun sayangnya lagu-lagu di dalam filem kurang umph!


Pelakon utama iaitu Tiger Shroff sememangnya merupakan pelakon lelaki berbakat. Mula dikenali di dalam filem A Flying Jatt dan kebolehannya di dalam menjiwai watak dan menari adalah satu kelebihan besar. Memilik susuk tubuh yang bergaya juga menjadi satu bonus buat pelakon ini di dalam menarik perhatian penonton terutama wanita. Namun, satu perkara yang kami kurang gemar ialah filem ini kelihatan terlalu mengeksploitasi susuk tubuh kekar pelakon lelaki ini yang membuatkan kami terasa agak mengjengkelkan dan mengingatkan kami kepada pelakon Salman Khan yang gemar melakukan perkara yang sama di dalam filem-filemnya pada 10 hingga 15 tahun yang lepas. Lakonan dua pelakon wanita yang merupakan pendatang baru di dalam industri iaitu Tara Sutaria Ananya Panday masih boleh diberi pujian walaupun tidak lah terlalu memberi kesan seperti mana yang diberikan oleh Alia Bhatt pada filem sebelum ini.


Apa yang kami boleh simpulkan ialah filem ini gagal mengejar legasi hebat yang telah ditinggalkan di dalam filem Student of the Year sebelum ini. Semuanya gara-gara kelemahan jalan ceritanya yang gagal menyentuh hati penonton dengan baik seperti mana yang telah dilakukan sebelum ini. Walau bagaimanapun, ia masih sebuah filem yang menghiburkan untuk ditonton buat sesiapa yang menggemari filem Bollywood seperti kami. Jadi, selamat menonton filem Student Of The Year 2 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 10 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Aksi Yang Sangat Hebat Dan Dinanti-Nanti Ramai Peminat Keanu Reeves Iaitu John Wick: Chapter 3 - Parabellum. Nantikan Ulasannya!

4 ulasan:

  1. Awek mesti suka film ni... 6pax Tiger tu menggiorkan Hans, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      tapi memang body Tiger tu cantik gila
      bila tengok terus rasa nak pergi gym
      haha

      Padam
  2. Jgn lupa juga review Brightburn ye Hans, TQ

    BalasPadam
    Balasan
    1. dah tengok tapi tengah ambil mood nak menulis

      Padam