Review Filem Annabelle Comes Home


Filem:
Annabelle Comes Home 

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Gary Dauberman

Genre:
Seram

Pelakon:
Mckenna Grace, Madison Iseman, Katie Sarife, Patrick Wilson, Vera Farmiga & Etc.

Tarikh Tayangan:
27 Jun 2019

Pengedar:
Warner Bros. Pictures



Sinopsis:
Filem ini mengisahkan penyiasat paranormal Ed dan Lorraine Warren meletak Annabelle di bilik artifak mereka dan berharap yang ia akan mengekang kuasa jahat patung itu. Bagaimanapun, Annabelle berjaya membangunkan kejahatan dalam bilik itu dan mula menyasarkan anak perempuan Warren iaitu Judy. Judy bersama dengan sepupunya dan rakan sepupu itu perlu berdepan dengan patung jahat itu. Saksikan filem seram yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 27 Jun 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak Warner Bros. Pictures untuk menghadiri tayangan media untuk filem Annabelle Comes Home bertempat di GSC Mid Valley pada 26 Jun 2019 yang lepas. Untuk francais ketiga filem Annabelle ini, kami telah dibawa untuk melihat kisah seterusnya tentang Ed dan Lorraine Warren yang berjaya mengawal kejahatan anak patung Annabelle ini di dalam satu ruang bilik rumah mereka hasil bantuan paderi dimana perjalanan mereka sepanjang babak awal di dalam ini dibuat dengan cukup menarik melalui urutan-urutan kejutan serta elemen seram yang boleh kami nyatakan berkesan di dalam memacu emosi penonton ke tahap yang lebih tinggi. Namun, selepas itu segala-galanya tentang filem Annabelle Comes Home dilihat mengikut jejak yang sama seperti mana kisah-kisah filemnya sebelum ini yang mana ia bukan sekadar mudah diramal tetapi juga konsep yang digunakannya boleh dikatakan mempunyai persamaan yang ketara.


Apa yang menarik untuk premis Annabelle Comes Home kali ini ialah berkaitan kerja kameranya yang berjaya disatukan dengan sinematografi serta kesan bunyi yang cukup memuaskan walaupun tidak pada semua bahagian filem ini. Kami cukup menyukai 20 minit terawal filem ini kerana kejayaan filem ini di dalam mengekalkan momentum penceritaannya yang dilihat kemas menampilkan rasa seram itu sendiri namun selepas itu segala-galanya menjadi sedikit kacau apabila konsep filem ini mula berkembang terlalu pantas dengan cuba menjadikan segala-galanya sebagai objek yang menakutkan sehinggakan momen-momen baik yang berjaya dihasilkan pada awal filem ini terus hilang entah kemana. Bukannya bermaksud masalah ini menghilangkan elemen seram filem ini kerana bulu roma anda masih akan meremang kerana beberapa bahagian berjaya dibangunkan dengan keadaan yang perlahan, sunyi dan kemudian berjaya merentap jantung anda untuk berasa terkejut. Tetapi, apabila sebahagian babak lain dilihat seolah-olah terlalu berusaha untuk membuatkan penonton ketakutan dengan menjadikan segala-galanya benda yang menakutkan telah sama sekali menghilangkan rasa positif yang telah dibina kuat pada awalnya.


Ini jelas dilihat seolah-olah produksi Annabelle Comes Home mencedok, menambah sedikit perasa dan kemudian beranggapan ia sebagai sebuah hasil yang baru dan tampak original walaupun hakikatnya formula ini kelihatan selari dengan karya-karya sebelum ini. Disebabkan itu apabila babak-babak melibatkan anak pasangan Warrens iaitu Judy dengan pengasuhnya Mary Ellen dan Daniela Rios muncul di layar, kami merasakan ia seolah-olah satu ketakutan yang terlalu cepat diulang-ulang sehingga menyebabkan ada beberapa ketika rasa teruja kami digantikan dengan kebosanan yang masih mampu dikawal rapi buat seketika waktu. Segala-galanya kelihatan seperti disumbat dan dimuat dengan tujuan untuk melelahkan penonton tetapi bagi kami ia bukannya satu usaha yang kelihatan berjaya. Sebaliknya, ia menyebabkan beberapa babak klimaks dilihat seperti biasa tanpa meninggalkan kesan yang padu kepada keseluruhan pengalaman kami menonton filem ini.


Cuma secara taktikalnya, suasana seram filem Annabelle Comes Home masih dapat diselamatkan disebabkan gabungan sedikit elemen gore serta jump scare yang kena pada babak-babak tertentu dan ini sedikit sebanyak akan memberi kesan ketakutan kepada penonton yang sering kali akan tewas dengan perkara ini. Menyentuh mengenai lakonan, kami berpendapat watak Judy yang dilakonkan oleh Mckenna Grace kurang meyakinkan dan gagal memberi kesan maksimum terhadap watak tersebut. Berbeza dengan pelakon Katie Sarife yang bijak membawakan watak Daniela dengan cara tersendiri di dalam memanipulasi pemikiran penonton untuk menerima tindak-tanduk watak ini yang bodoh tetapi meyakinkan. Secara keseluruhan, filem Annabelle Comes Home masih sebuah karya yang menghiburkan untuk ditonton. Kami menyukai permainan kamera di dalam naskah terbaru filem ini yang kreatif dan lain daripada sebelumnya. Namun, disebabkan ia masih tidak dapat lari daripada mengitar semula formula asal yang dapat dilihat pada hampir 70 peratus keseluruhan filem ini menjadikan filem seram ini sebuah lagi filem yang bakal dilupakan dalam lima tahun yang akan datang nanti.


Jadi, selamat menonton filem Annabelle Comes Home di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 27 Jun 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah  Sebuah Filem Komedi Yang Cukup Menarik Berjudul Yesterday! Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Setuju dgn Hans, film ni masih menghiburkan. Apa yg saya suka kali ni ialah mereka lebih fokus dlm rumah The Warrens dan brg2 mereka yg berhantu tu. Menyelitkan sedikit dgn unsur komedi pon berjaya juga menarik minat saya utk bersabar menunggu sehingga kredits, heheh...

    BalasPadam