26/06/19

Review Filem Undercover, Punch & Gun


Filem:
Undercover, Punch & Gun 

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Philip Lui Koon-Nam & Frankie Tam

Genre:
Aksi & Jenayah

Pelakon:
Philip Ng, Vanness Wu, Andy On, Chi Shuai, Joyce Feng, Datuk Aaron Aziz & Etc.

Tarikh Tayangan:
28 Jun 2019

Pengedar:
Mega Films Distribution Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Wu yang merupakan seorang anggota polis yang terlibat dalam penyamaran dan terlibat dalam sebuah perdagangan syabu dengan kumpulannya. Namun, urusan perdagangan itu terganggu apabila ahli pasukan khas Eva dan Mike masuk campur dalam operasi tersebut. Xia iaitu ketua penyeludup dan salah seorang pengedar dadah terbesar, menangkap Wu dan memaksanya mencari pemilik syabu untuk mendapatkan dadahnya semula. Wu bekerjasama dengan Eva dan Mike untuk melawan Xia dan menumpaskan jenayah pengedaran dadah itu. Saksikan filem aksi yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 28 Jun 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak Empire Film Solution untuk menghadiri tayangan filem Undercover, Punch & Gun bertempat di GSC Pavilion KL pada 25 Jun 2019 yang lepas. Filem aksi jenayah dari Hong Kong ini mempunyai keistimewaan tersendiri buat penonton Malaysia apabila menampilkan Datuk Aaron Aziz sebagai salah seorang daripada barisan pelakonnya. Filem ini secara asasnya menampilkan plot penceritaan yang sedikit tipikal seperti mana filem-filem Hong Kong lain yang berada di dalam kategori sama iaitu aksi jenayah. Namun, apa yang menjadikan filem ini lebih menghiburkan kerana koreografi aksi di dalam babak-babak pertempuran filem ini yang berjaya dibentuk dan disusun dengan sempurna menjadikan ianya kelihatan cukup gah ditonton di dalam visual filem ini.


Premis penceritaan filem Undercover, Punch & Gun ini bagi kami mudah difahami. Ia menceritakan secara ringkas untuk setiap perkara sama ada berkaitan tugas dan tanggungjawab anggota beruniform, nilai persahabatan, kepercayaan, perjanjian serta amanah di dalam pekerjaaan atau kehidupan watak-wataknya. Setiap perkara ini berjaya disusun dan distrukturkan dengan teratur dimana walaupun ada beberapa plot penceritaannya yang kelihatan terlalu kosong atau terkejar-kejar tetapi ia berjaya diselamatkan dengan hasil suntingan yang pantas dan kemas menjadikan pertukaran setiap babak atau pertukaran penceritaan setiap watak berjaya mengekalkan momentum penceritaan filem ini pada tahap yang positif. Kekuatan utama filem terletak pada dua perkara iaitu aksi dan komedi. Jika ini yang anda cari dan mahukan di dalam sesebuah filem maka filem Undercover, Punch & Gun adalah pilihan yang sesuai.


Pelakon Philip Ng dan Andy On mempunyai keserasian yang cukup baik di dalam filem ini walaupun peranan watak mereka di dalam filem ini sangat bertentangan antara satu sama lain dimana Philip Ng sebagai protagonis dan Andy On pula sebagai antagonis. Kami sebenarnya agak tertarik dengan penampilan watak antagonis yang dibawakan oleh Andy On dimana wataknya ini mempunyai satu aura yang cukup menarik. Ia disebabkan cara Andy membawakan watak ini dengan gaya yang tersendiri menyebabkan pada satu ketika kami merasakan pelakon Philip Ng agak ditenggelami apabila munculnya watak antagonis milik pelakon Andy On ini. Namun, kemunculan pelakon Van Ness Wu di dalam filem Undercover, Punch & Gun sebenarnya memberi nilai tambah yang sangat besar buat filem ini untuk mengekalkan momentum keceriaan dan keterujaan buat penonton. Van Ness Wu sentiasa berjaya menghiburkan penonton dengan persembahan serta dialog watak yang dipegangnya dan tidak dinafikan pelakon ini sebenarnya memberi aura positif buat filem ini untuk disenangi penonton sehingga akhir. Kemunculan Datuk Aaron Aziz pula walaupun hanya sebagai pelakon pembantu tetapi tetapi diberi peluang untuk menyinar dan pelakon ini berjaya memanfaatkan peluang tersebut dengan cukup baik. Cuma mungkin kelemahan yang dapat dilihat daripada segi dubbing suara untuk watak yang dimainkan Aaron Aziz ini yang dilihat kurang menyegarkan pendengaran gegendang telinga kami. Anda yang menonton filem ini pasti akan faham dengan apa yang kami cuba perkatakan ini.


Secara keseluruhannya, filem Undercover, Punch & Gun ini masih meneruskan tradisi filem aksi jenayah Hong Kong yang lain dimana naskah ini menjadikan aksi-aksi pertarungan sebagai modal utama dan terkuat untuk menarik minat penonton untuk menyaksikan filem ini di pawagam nanti. Plot penceritaan filem ini pula walaupun dilihat tiada sebarang keunikan tersendiri yang boleh diingati tetapi ia berjaya disusun dan disunting dengan baik dimana momentum penceritaannya yang pantas berjaya membantu penonton daripada mengalami perasaan bosan. Diperkuatkan lagi dengan sentuhan humor yang santai menjadikan filem ini berbaloi ditonton pada hujung minggu buat anda yang menggemari filem-filem aksi sebegini.


Jadi, selamat menonton filem Undercover, Punch & Gun di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 28 Jun 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah  Sebuah Filem Seram Yang Dinanti Ramai Iaitu Annabelle Comes Home! Nantikan Ulasannya! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan