Filem:
Love The Way You Are
Penilaian:
7/10
Pengarah:
Zhou Tong & Dai Mengying
Genre:
Komedi & Romantik
Pelakon:
Vivian Sung, Song Weilong, Lin Yu Rou, Huang Jun Jie & Etc.
Tarikh Tayangan:
27 Jun 2019
Pengedar:
MM2 Entertainment Sdn Bhd
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang gadis berani bernama Lin Lin dan si lelaki ulat buku bernama Yuke yang hidup berjiran. Mereka merupakan rakan sekelas sejak kecil lagi namun tidak mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat. Mereka berdua akhirnya melanjutkan pelajaran ke universiti yang sama dan di situ Yuke telah bertemu semula dengan seorang gadis jelita di kampus iaitu Ruting yang merupakan pelajar di sekolah lama mereka. Lin Lin berasa bersalah kerana tindakannya menyatukan mereka berdua tanpa sedar di sekolah berakhir dengan kegagalan dan dia kemudiannya bercadang untuk menyatukan semula mereka di kampus. Namun, tanpa sedar Lin Lin mulai jatuh hati kepada Yuke. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Saksikan filem romantik komedi yang cukup melucukan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 27 Jun 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.
Ulasan:
Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak MM2 Entertainment Sdn Bhd untuk menghadiri tayangan filem Love The Way You Are bertempat di MMcineplexes, eCurve Mutiara Damansara pada 24 Jun 2019 yang lepas. Kami juga ingin berterima kasih kepada MM2 Entertainment kerana memberikan kami 10 tiket untuk menganjurkan peraduan tiket wayang untuk filem komedi romantik ini. Jika pada bulan Februari lepas, kami berpeluang menonton filem komedi romantik Fall In Love At First Kiss, jadi kami tidak dapat mengelakkan untuk membandingkan filem tersebut dengan filem Love The Way You Are ini. Namun, secara jujurnya kami lebih menyukai premis cerita Love The Way You Are yang pada kami lebih menarik dan tidak terlampau 'berkeju' atau terlalu menggelikan untuk tontonan remaja purba seperti kami. Hahaha!
Seperti biasa filem bergenre komedi romantik yang memaparkan percintaan remaja sama ada di kolej mahu pun universiti ini sememangnya mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk memaparkan jalan cerita yang lebih kurang sama dan mudah dihadam. Ianya jelas dilihat menceritakan tentang kisah cinta remaja lelaki dan wanita yang mana kerap kali salah satu daripada watak ini akan merasakan diri mereka tidak layak dicintai tetapi tetap menaruh harapan untuk dicintai dan begitulah sebaliknya. Tiada apa-apa keistimewaan daripada sudut tersebut. Namun, apa yang menjadikan filem Love The Way You Are ini menghiburkan untuk ditonton kerana elemen humor penceritaannya yang gila-gila dan mengambil konsep komik mahu pun anime menjadikan ianya sebuah naskah yang pasti membuatkan anda sentiasa ketawa besar di dalam panggung.
Pujian harus diberikan kepada pelakon utamanya iaitu Vivian Sung yang berjaya menghidupkan serta menghidangkan permainan wataknya sebagai Lin Lin dengan cukup baik dan berkesan. Dapat dilihat perkembangan momentum wataknya berjaya dikekalkan dengan cukup baik sejak awal sehingga kepada penamat filem ini. Vivian Sung berjaya membuatkan kami terpesona dan yakin dengan lakonannya sebagai Lin Lin yang kelihatan spontan dan bukannya seperti dibuat-buat. Kami juga cukup tertarik dengan penampilan pelakon Song Weilong di dalam kedua-dua versi iaitu lelaki skema dan juga lelaki pujaan wanita. Pujian harus diberikan kepada pihak produksi yang berjaya menjadikan watak Yuke ini di dalam dua versi yang berlainan dengan perubahan yang boleh dikatakan sangat berjaya dan memberi kesan kepada tontonan penonton.
Selain itu, perubahan plot yang cuba dilakukan pada akhir filem ini tidak lah terlampau unik tetapi masih berada di garisan yang selari di dalam mengekalkan kemanisan jalan cerita hubungan cinta dua watak utama di dalam filem ini. Mesej-mesej filem ini tentang cinta terhadap haiwan, sikap manusia yang tidak boleh melihat orang lain melebihi apa yang dimilikinya serta hubungan dan ajaran keluarga terhadap anak di rumah juga berjaya disampaikan di dalam bentuk yang ringan dan mudah untuk sebuah filem ringan sebegini. Secara keseluruhannya, Love The Way You Are merupakan sebuah filem cinta remaja yang menghiburkan untuk ditonton kerana elemen lucunya yang tinggi serta jalan ceritanya yang tidak terlalu 'keremajaan' dimana ia boleh dinikmati dan diterima oleh semua peringkat usia sebagai sebuah tontonan santai bersama seisi keluarga.
Jadi, selamat menonton filem Love The Way You Are di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 27 Jun 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Aksi Jenayah Iaitu Undercover, Punch & Gun! Nantikan Ulasannya!
2 Ulasan
Saya baru selesai menonton film Love The Way You Are ini dan merasa bersemangat. Memang ceritanya umum, tapi sajiannya cukup berbeda
BalasPadamtahniah kerana telah menonton :)
Padam