Review Filem The Extraordinary Journey Of The Fakir @ Pakkiri


Filem:
The Extraordinary Journey Of The Fakir 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Ken Scott

Genre:
Pengembaraan & Komedi

Pelakon:
 Dhanush, BĆ©rĆ©nice Bejo, Erin Moriarty, Barkhad Abdi, Gerard Jugnot & Etc.

Tarikh Tayangan:
21 Jun 2019

Pengedar:
Malik Stream Corporation

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Ajatashatru Lavash Patel yang tinggal di kejiranan kecil di Mumbai. Dibesarkan oleh ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal, Aja hanya bekerja sebagai ahli silap jalanan yang memperdaya orang untuk percaya dia mempunyai kuasa istimewa demi mendapatkan wang bagi membawa ibunya ke Paris. Apabila ibunya secara tiba-tiba meninggal dunia, dia telah terbang ke Paris untuk mencari bapanya. Dari situlah bermulanya pengembaraannya ke seluruh dunia dimana Aja mula menemui cintanya serta berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan yang benar-benar luar biasa. Saksikan filem yang cukup menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 21 Jun 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem yang cukup menghiburkan berjudul The Extraordinary Journey Of The Fakir @ Pakkiri di TGV Cinemas Jaya Centre pada 23 Jun 2019 yang lepas. Kami mengambil keputusan untuk menonton versi yang asli dimana ianya 70 peratus di dalam bahasa Inggeris dan mengelakkan daripada menonton filem yang dialih suara kepada bahasa Tamil. Ini disebabkan ianya lebih puas untuk melihat dan mendengar sendiri bunyi suara yang keluar daripada gerak bibir para pelakonnya apabila anda menonton versi yang original. Untuk maklumat para pembaca sekalian, filem ini dihasilkan berdasarkan sebuah novel terlaris karya penulis Perancis bernama Romain Puertolas iaitu 'The Extraordinary Journey of the Fakir Who Got Trapped in an Ikea Wardrobe'. 


Mengikut pembacaan ringkas kami tentang ulasan terhadap novel tersebut, intipatinya sebenarnya membawa pembacanya untuk melihat berkaitan isu pendatang tanpa izin atau pelarian yang datang ke sesebuah negara tetapi ianya amat berbeza di dalam penceritaan filem The Extraordinary Journey Of The Fakir ini dimana ia lebih memberi fokus kepada obsesi watak Aja terhadap kehidupan golongan kaya serta nilai ekslusif perabot-perabot mewah yang dijual di kedai perabot terkenal iaitu IKEA di Perancis. Sambil tidak lupa untuk mengekalkan identiti filem Bollywood atau pun Kollywood yang dipenuhi lagu dan tarian menjadikan objektif utama penceritaan ini tentang misi sebenar Aja ke Perancis kelihatan terlalu kabur dan hampir dilupakan kerana ia ditenggelami oleh obsesi Aja ini. Walaupun pada babak permulaannya, kisah anak lelaki kepada wanita yang bekerja sebagai tukang cuci pakaian di kawasan Worli, Mumbai ini berjaya digarap dengan cukup meyakinkan dimana persoalan-persoalan yang diutarakan seperti kehidupan ibu tunggal, tahap kemiskinan, sistem pendidikan serta kehidupan golongan miskin yang sanggup melakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup dapat dilihat benar-benar menonjol dan punya nadi di dalam filem ini. Namun, segala-galanya seakan menghilang dengan cepat saat Aja pergi ke Perancis dimana kisah penceritaannya lebih kepada imaginasi atau fantasi semata-mata.


Walaupun tidak dinafikan filem The Extraordinary Journey Of The Fakir ini mempunyai babak babak-babak yang menggelikan hati namun momentum penceritaannya bergerak terlalu pantas sehingga segala-galanya dilihat terlalu bersifat kebetulan. Perjumpaan Aja dengan wanita Amerika bernama Marie sehingga menimbulkan perasaan cinta dilihat berjalan dengan terlalu tergesa-gesa sementelah penceritaan menyatakan watak Marie ini seakan-akan mempunyai kecenderungan terhadap pasangan sejenis. Bagaimana watak Aja ini kemudian terperangkap bersama-sama pendatang daripada Sudan di dalam sebuah trelar yang menuju England sebelum kemudian terkandas di lapangan terbang sebuah negara Eropah juga dilihat kurang memberi impak. Kisah tentang pengembaraan Aja ini menjadi 'lebih luar biasa' apabila melibatkan pertemuannya dengan seorang bintang filem Eropah sebelum pengembaraan penuh warna-warninya menaiki belon udara panas merentasi awan sebelum terkandas di atas sebuah kapal yang dimiliki pihak askar atau penjenayah perairan antarabangsa. Segala-galanya ini berlangsung terlalu cepat tanpa sebarang kekuatan plot yang meyakinkan. Cuma apa yang menyelamatkan perkara ini ialah pada penghujung filem ini, watak Aja menyatakan tidak semua cerita yang diceritakan tersebut adalah benar. Ini yang membuatkan filem ini sedikit sebanyak agak menarik untuk diperkatakan dari sudut jalan ceritanya.


Menonton filem The Extraordinary Journey Of The Fakir ini memerlukan untuk anda turut sama memasuki dunia fantasi yang diceritakan oleh watak Aja ini. Namun, dari satu sudut kami melihat filem ini tetap berjaya menyentuh beberapa isu menarik terutamanya apabila ia melibatkan kisah-kisah pelarian atau pendatang tanpa izin ini. Bercerita tentang peluang untuk mengubah kehidupan dan peluang untuk membantu mereka mengubah kehidupan. Dua perkara yang berbeza tetapi membawa maksud yang sama iaitu tentang taraf kehidupan yang berkualiti. Menarik untuk melihat bagaimana watak Aja ini pada akhirnya memberikan hampir kesemua wang yang dimilikinya kepada para pelarian serta pendatang tanpa izin yang tinggal di Tripoli demi membantu mereka meneruskan impian atau kehidupan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, perkembangan plot tentang bagaimana Fakir menerima duit tersebut sangat lemah dan kurang menarik untuk ditonton kerana ia mengambil jalan yang terlampau mudah. Tetapi, pada masa yang sama, hal ini juga dilihat menarik sebagai teka-teki buat penonton untuk menilai adakah penceritaan Aja tentang wang ini adalah benar atau sebaliknya. 


Pesona Dhanush di dalam filem ini sebagai Aja sememangnya cukup mengagumkan. Pelakon ini berjaya menjadikan watak Aja benar-benar hak milik mutlaknya. Prestasi bintang ini di dalam filem The Extraordinary Journey Of The Fakir bukan sahaja menawan tetapi berjaya menyokong filem ini untuk bergerak ke arah yang lebih positif. Dibantu oleh sinematografi yang berjaya menjadikan visual filem ini sangat indah dipandang sambil disokong oleh pilihan lagu-lagu merdu yang menghiasi babak-babak nyanyian di dalam filem ini, kami setuju untuk menyatakan filem ini merupakan sebuah kisah separa dongeng yang cukup menghiburkan untuk ditonton walaupun teras utama penceritaannya agak mengelirukan. Secara keseluruhannya, filem ini memaparkan sebuah pengembaraan penuh suka duka watak Aja sambil membawa penonton menyingkap kisah-kisah manusia yang berada di dalam fantasi dan realiti pengembaraan watak Aja ini.


Jadi, selamat menonton filem The Extraordinary Journey Of The Fakir @ Pakkiri di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 22 Jun 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah  Sebuah Filem Komedi Romantik Iaitu Love The Way You Are! Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan