Review Filem Kabir Singh


Filem:
Kabir Singh

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Sandeep Reddy Vanga

Genre:
Drama

Pelakon:
Shahid Kapoor, Kiara Advani, Arjan Bajwa, Suresh Oberoi & Etc.

Tarikh Tayangan:
21 Jun 2019

Pengedar:
Suraya Filem

Sinopsis:
Filem ini merupakan `remake` Hindi kepada filem Telugu 2017 iaitu filem Arjun Reddy. Ia mengisahkan seorang pemuda bijak tetapi mempunyai sifat panas baran yang tidak terkawal bernama Kabir Singh yang terlalu mencintai seorang wanita bernama Preethi. Namun, disebabkan halangan keluarga Preethi yang bertindak mengahwinkan Preethi dengan jejaka lain membuatkan Kabir mula menyeksa diri sendiri selepas itu. Tindakan Kabir tersebut membuatkan ramai orang disekelilingnya berasa kecewa, sedih dan terkesan dengan perbuatannya. Namun, satu peristiwa telah terjadi yang mengubah sikap Kabir selepas itu. Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 21 Jun 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang lain daripada karya-karya Bollywood sebelum ini berjudul Kabir Singh di TGV Cinemas Jaya Centre pada 22 Jun 2019 yang lepas. Secara jujurnya, kami tidak pernah menonton filem asal iaitu Arjun Reddy sebelum ini. Jadi, kami menilai naskah Kabir Singh ini daripada pandangan pertama kami sebagai sebuah cerita yang unik dan luar biasa. Sifat luar biasa ini datangnya daripada watak utama yang namanya diangkat sebagai judul filem ini sendiri iaitu Kabir Singh yang dilakonkan dengan cukup hebat sekali oleh pelakon Shahid Kapoor. 


Watak Kabir Singh ini berjaya diletakkan di dalam medium yang berbeza-beza dimana ia bukannya watak protagonis kitar semula dan bukan juga watak antagonis yang terlalu mudah untuk dibenci. Tetapi, filem ini berjaya memaparkan watak Kabir Singh ini sebagai satu watak protagonis yang tidak sempurna dan ia amat berbeza sekali bagaikan langit dan bumi apabila melihat watak-watak utama di dalam filem Bollywood yang lain yang bertindak sebagai wira di dalam memastikan keselamatan dan kegembiraan kekasih serta keluarga mereka sentiasa diutamakan. Kabir Singh pula sebaliknya dimana dia mempunyai kepercayaan yang bertentangan dimana dia hanya akan melakukan apa yang dia rasakan betul di dalam memastikan kekasihnya selamat walaupun dengan cara atau tindakan yang negatif dan di luar norma kemanusiaan disebabkan masalah panas barannya yang tidak terkawal.



Kami tertarik tentang satu kenyataan berkaitan dengan watak Kabir Singh ini dimana mereka menyatakan ia adalah cerita tentang manusia cacat yang benar-benar normal di dalam kehidupan sebenar. Melihat perspektif ini sebenarnya akan membuatkan anda melihat kembali keadaan manusia-manusia sekeliling anda dimana satu perkara jelas yang anda akan sedar ialah di dalam setiap kumpulan atau organisasi pasti akan ada beberapa orang manusia yang tidak disukai oleh kita disebabkan sikapnya yang bertentangan dengan majoriti ahli manusia yang lain. Namun, pernahkah kita terfikir bahawa manusia-manusia yang tidak disukai ini sebenarnya sama seperti watak Kabir Singh ini yang sebenarnya menyedari tentang sikap buruk mereka namunnya ianya terlalu sukar dikawal atau diubah kerana percaya ianya adalah yang paling terbaik buat kehidupan mereka. Melihat perspektif Kabir Singh di dalam filem ini melalui plot-plot penceritaannya yang penuh dengan kejutan, keganasan dan kemarahan sebenarnya membuka satu ruang baru untuk kita sebagai penonton untuk cuba memahami manusia-manusia sebegini. Kabir Singh adalah satu watak yang cukup istimewa dimana dia sebenarnya sedar tentang keburukan sikapnya dan tidak pernah sesekali cuba untuk nafikan hal tersebut atau pun cuba memuliakan tindakannya yang salah. Tetapi, ia menjadi bertambah menarik apabila melihat bagaimana watak ini menyatakan apa yang dia paling suka tentang dirinya ialah dirinya sendiri yang berpegang kepada satu moral utama iaitu kepercayaan orang terhadap dirinya terutama dari sudut kerjayanya sebagai doktor perubatan.


Filem Kabir Singh secara jelasnya berjaya digarap dengan cukup bijak kerana ia tidak bertindak untuk memuliakan watak utamanya seperti mana sesetengah filem yang gemar mengangkat watak utamanya walaupun diketahui telah melakukan keganasan atau kesalahan undang-undang yang jelas. Perbezaannya disini ialah ia memberitahu bagaimana watak utama belajar untuk menjadi mulia selepas menyedari segala tindakannya sebelum ini merupakan kesilapan daripada dirinya sendiri. Kekecewaan Kabir Singh di dalam kehidupannya ini berjaya dipaparkan dengan cukup meyakinkan apabila watak utama ini benar-benar menghukum dirinya sehingga merosakkan segala perkara yang ada di dalam dirinya sebelum ini iaitu keluarga, kerjaya dan penghormatan. Uniknya tentang kisah manusia bernama Kabir Singh ini ialah walaupun watak ini berada di dalam kesengsaraan yang amat dasyat hasil perbuatan dan penderaan terhadap diri sendiri namun ia tetap berpegang kepada prinsip kepercayaannya yang penuh dengan keegoan menjadikan watak Kabir Singh sungguh kompleks dan membuatkan kami teruja. Ada beberapa babak keganasan terhadap wanita yang dapat dilihat telah dilakukan oleh Kabir kepada kekasihnya Preeti dimana disini penonton dibawa untuk melihat secara mendalam bagaimana pemikiran manusia-manusia yang mempunyai masalah panas baran ini berfikir. Kami sendiri sebagai lelaki sangat tidak bersetuju dengan tindakan lelaki seperti Kabir ini yang memukul wanita tetapi dari satu sudut perspektif lain, hal ini dilihat bagus untuk dipaparkan di layar perak untuk kita sama-sama nilaikan sendiri adakah manusia seperti Kabir ini relevan untuk bercinta dan memilih pasangan hidup dan adakah wanita yang menerima lelaki seperti ini layak digelar sebagai wanita yang tidak berakal.


Kami agak terkejut dengan penampilan serta persembahan lakonan Shahid Kapoor di dalam filem ini. Ia adalah satu tindakan paling tepat Shahid apabila memilih untuk berlakon di dalam filem ini kerana kami percaya filem Kabir Singh pasti akan diingati sebagai salah sebuah filem lakonan Shahid yang paling terbaik pernah ditonton oleh peminat filem Bollywood. Prestasi Shahid yang berjaya menghidupkan watak Kabir Singh yang dipenuhi pelbagai jenis emosi sama ada marah, kecewa, tertekan, gembira cukup membanggakan. Digabungkan pula dengan tingkah laku watak Kabir Singh ini yang sentiasa berubah-ubah menjadikan lakonan Shahid Kapoor kali ini sangat hebat dan versatil.


Filem Kabir Singh berjaya tampil dengan sebuah konsep kisah cinta versi baru yang menyentuh keseluruhan aspek dalam peratusan yang sangat adil. Filem ini tidak memaksa anda untuk menyukai atau menghalang anda daripada membenci watak Kabir Singh ini. Filem ini juga dilihat berlaku adil terhadap sikap Kabir Singh yang ketagihan arak dan menjadi penagih dimana ia dilihat berada di tengah-tengah yang membuatkan anda tidak dapat mengatakan filem ini membenci atau memuliakan hal tersebut. Filem ini juga memberikan hak untuk setiap ibu bapa daripada pelbagai kasta untuk menyuarakan hak mereka tehadap anak-anak atau kehidupan anak mereka. Filem ini juga secara jujurnya membawakan anda melihat makna kasih sayang daripada perspektif manusia yang mempunyai masalah panas baran seperti Kabir Singh ini. Secara keseluruhan, kami yakin anda pasti akan jatuh cinta dengan filem arahan Sandeep Reddy Vanga ini yang membawa versi kisah cinta yang bukannya dambaan majoriti penonton tetapi akan membuatkan golongan ini terjatuh cinta tanpa sedar terhadap kisah cinta bersifat minoriti ini. Serius, anda membuat pilihan yang cukup bijak jika menonton filem Kabir Singh di pawagam pada bulan ini!


Jadi, selamat menonton filem Kabir Singh di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 22 Jun 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah  Sebuah Filem Kollywood Berbahasa Inggeris Yang Cukup Menghiburkan Iaitu The Extraordinary Journey Of The Fakir! Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan