Review Filem Pappa Pia (Hungarian Film Fiesta 2.0)


Filem:
Pappa Pia

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Gábor Csupó

Genre:
Komedi, Muzikal & Romantik

Pelakon:
Tamás Szabó Kimmel, Bernadett Ostorhazi, Feró Nagy & Etc.

Tarikh Tayangan:
21 Jun 2019

Pengedar:
Film Festival Organiser

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan bagaimana golongan tua dan muda dalam sebuah komuniti disatukan oleh sebuah `boathouse`. Tomi yang baru pulang dari luar negara mengetahui bahawa rumah bot kepunyaan datuknya, Papi bakal dilelong jika tidak menjelaskan hutang tertangguh. Jadi, Tomi mengubah rumah bot ini menjadi sebuah pub untuk mendapatkan hasil wang yang banyak untuk membayar hutang tersebut. Namun, tindakannya itu tidak disenangi oleh pemilik tanah berdekatan rumah bot yang ingin menggagalkan usaha Tomi kerana cita-citanya untuk membeli tanah rumah bot tersebut masih belum tercapai. Berjayakan Tomi menyelamatkan rumah bot milik datuknya? Hungarian Film Fiesta 2.0 kini sedang berlangsung di GSC Pavilion KL pada 21 Jun sehingga 23 Jun 2019.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem keempat yang merupakan filem terakhir dari Hungary bersempena dengan Hungarian Film Fiesta 2.0 di GSC Pavilion KL pada 23 Jun 2019 yang lepas iaitu filem Pappa Pia. Filem muzikal ini sangat menarik pada pandangan kami bukan disebabkan plot penceritaannya tetapi kerana kemerduan semua lagu yang melatari babak-babak filem ini yang sangat rancak dan menyegarkan. Percayalah bahawa anggota fizikal anda pasti akan bergerak, menari atau melenggok mengikut irama lagu-lagu Hungary yang memberi kejutan agak besar buat kami untuk tontonan filem Hungary terakhir ini.


Lagu-lagu di dalam filem Pappa Pia ini berjaya membawa penonton untuk menyelongkar kehidupan serta budaya masyarakat Hungary yang dipaparkan di dalam visual yang cukup berwarna-warni. Namun, kami tidak nyatakan jalan cerita filem ini buruk cuma ia biasa sahaja, sehala, mudah difahami dan menghiburkan. Kisahnya jelas iaitu misi Tomi untuk menyelamatkan rumah bot kepunyaannya daripada menjadi pemilik tanah berdekatan yang dipercayainya mempunyai hubungan cinta dengan wanita yang dicintainya iaitu Mara. Tidak ada permainan plot yang terlalu mengujakan kerana filem muzikal ini bagi kami merupakan sebuah filem ringan yang sememangnya disokong kuat kekuatannya oleh barisan lagu yang dinyanyikan oleh para pelakonnya di dalam filem ini.


Para pelakon utamanya berjaya menampilkan karisma yang tersendiri. Lihat sahaja kepada pelakon utamanya iaitu Tamás Szimó Kimmel yang berjaya membentuk karakter watak Tomi menjadi miliknya dengan cukup cantik. Begitu juga dengan pelakon Bernadett Ostorházi yang memainkan watak Mara iaitu gadis bekerjaya yang pintar tetapi cukup beremosi saat bersama dengan Tomi. Stohl Buci yang memainkan peranan sebagai bos Mara juga berjaya memastikan anda ketawa berkali-kali melihat karakternya yang pelbagai dan mampu diubah sekelip mata misalnya cara gelak ketawanya seperti penjenayah filem-filem Asia tahun 80-an serta keperibadiannya yang gemar memakai pakaian serta aksesori wanita tanpa sebab. Pelakon Feroy Nagy yang memainkan peranan sebagai Papi iaitu datuk kepada Tomi sangat lincah dan benar-benar meyakinkan kami dengan falsafah yang dipegangnya sepanjang filem ini..


Kesimpulannya, tidak ada banyak perkara tentang filem ini yang kami boleh kongsikan kerana kami merasakan ia sebuah filem komedi romantik muzikal yang sangat santai, melucukan dan menghiburkan untuk ditonton. Pemilihan pelakon-pelakon yang menarik dari segi wajah, fizikal dan penjiwaan lakonan masing-masing. Sinematografi kawasan bandar di Hungary yang sangat menawan dan menjadikan hati anda ghairah untuk menjejakkan kaki ke sana. Paling penting lagu-lagu yang dipersembahkan di dalam filem sangat membantu menjadikan filem ini sebuah filem muzikal yang wajar anda tonton.


Jadi, selamat menonton filem Pappa Pia bersempena dengan Hungarian Film Fiesta 2.0 di GSC Pavilion KL. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Bollywood Yang Cukup Menarik Iaitu Kabir Singh! Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan