Filem:
Liza The Fox-Fairy
Penilaian:
9/10
Pengarah:
Károly Ujj Mészáros
Genre:
Komedi, Fantasi & Romantik
Pelakon:
Mónika Balsai, Szabolcs Bede-Fazekas, David Sakurai & Etc.
Tarikh Tayangan:
21 Jun 2019
Pengedar:
Film Festival Organiser
Sinopsis:
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Liza yang merupakan seorang jururawat berusia 30 tahun yang naif dan kesunyian. Dia telah menjaga Marta, seorang janda kepada bekas duta Jepun selama 12 tahun. Satu-satunya kawan Liza adalah Tomy Tani yang merupakan roh penyanyi pop Jepun 1950-an. Untuk meraikan hari jadinya yang ke-30, Liza telah pergi ke Mekk Burger dengan harapan bertemu cinta sejati tanpa mengetahui Tomy telah membunuh Marta. Liza kemudian mewarisi apartmen Marta. Sarjan Zoltan pada mulanya perlu menyiasat Liza selepas dia dituduh membunuh Marta tetapi Zoltan kemudian jatuh hati pada Liza. Liza rasa lebih berkeyakinan tetapi apabila lelaki yang jatuh hati padanya semuanya terlibat dalam kemalangan dan menemui ajal, Liza mula menganggap dirinya sebagai `fox-fairy` dari mitos Jepun dimana kisah tersebut menyatakan sesiapa yang jatuh hati kepada wanita sepertinya pasti akan mati. Hungarian Film Fiesta 2.0 kini sedang berlangsung di GSC Pavilion KL pada 21 Jun sehingga 23 Jun 2019.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem ketiga dari Hungary berjudul Liza The Fox-Fairy bersempena dengan Hungarian Film Fiesta 2.0 di GSC Pavilion KL pada 22 Jun 2019 yang lepas. Filem yang judul asalnya bernama Liza, a rókatündér ini sebenarnya telah pun ditayangkan pada tahun 2015 dan kami mendapati filem ini mendapat komen serta pujian yang sangat positif daripada para penonton serta pengkritik luar negara. Jadi, kami mengambil peluang untuk menonton filem dari negara Hungary ini bagi melihat dan mencari sendiri apakah keistimewaan sebenar yang terdapat atau wujud di dalam filem bergenre komedi romantik dan fantasi ini. Ternyata telahan awal kami tepat kerana filem ini bukannya sebuah karya picisan tetapi ia merupakan sebuah naskah yang cukup menarik, bersahaja serta berjaya menyampaikan elemen humor gelap dan sarkastik dengan cukup puitis dan bercahaya. Mesej-mesejnya tentang kehidupan juga dilihat sangat bijak dan begitu praktikal sekali untuk difahami. Filem ini memang hebat!
Filem Liza The Fox-fairy telah berjaya memberikan satu kejutan yang sangat menggembirakan kami kerana plot penceritaannya yang membawakan kisah cinta yang sangat pelik ini benar-benar berfungsi melalui visual yang berwarna-warni. Kelainan yang dibawakan pada naskah ini yang memaparkan kehidupan seorang wanita naif dan pelik yang tinggal di Budapest dan cuba mencari cinta dan bakal suami berjaya dihasilkan dengan cukup baik. Kami menyatakan demikian terutamanya apabila melihat naskah ini bijak menambah baik filem dengan memasukkan elemen budaya pop serta kisah mitos Jepun yang telah digabungkan dengan latar pemandangan, budaya masyarakat Hungary serta kisah gadis bernama Liza ini sendiri untuk menjadikan filem yang mengambil latar sekitar tahun 70-an ini tampil cukup gah di layar perak.
Menonton filem ini sebentar tadi mengingatkan kami kepada gaya penceritaan filem Mamat Khalid sehingga tiba-tiba terlintas di fikiran adakah saudara Mamat Khalid pernah menonton filem ini dan mengambil idea atau inspirasi daripada karya hebat tersebut. Apa yang membuatkan filem ini hebat dimata kami kerana keseluruhan plot penceritaannya sangat sukar untuk diramal. Ia sentiasa berubah-ubah sehinggakan anda sebagai penonton sentiasa gagal untuk meneka apa yang akan berlaku pada babak seterusnya. Filem ini menceritakan tentang lelaki-lelaki yang menyukai Lisa pasti akan menemui ajal disebabkan sumpahan roh Tomy Tani yang inginkan Lisa bersama-sama dengannya di alam kematian. Jadi, kitaran kematian lelaki-lelaki ini walaupun dilihat berulang-ulang namun ia dihasilkan dengan cara yang berbeza dan cukup kreatif sehinggakan ia membuatkan kami yang menonton bukan sekadar ketagih untuk menyaksikan kelainan setiap kejadian tersebut tetapi turut ketawa besar saat munculnya nombor serta nama watak lelaki-lelaki pada visual filem tersebut yang memberikan jawapan bahawa lelaki-lelaki ini akan menemui ajalnya selepas ini.
Turut membuatkan kami tertarik dengan filem Liza The Fox-Fairy ini adalah pandangan serta kritikan jujurnya terhadap lelaki-lelaki hidung belang yang sentiasa cuba mengambil kesempatan terhadap wanita yang naif seperti Liza. Jadi, apabila kisah mitos Jepun yang menjadi teras kepada filem ini menyatakan bahawa hanya lelaki yang betul-betul mencintai Lisa sepenuh hati tanpa sebarang niat tersembunyi (bukan sekadar inginkan seks semata) sahaja yang akan berjaya menghapuskan sumpahan badi yang wujud di dalam diri wanita tersebut sahaja sudah cukup untuk menjelaskan amaran keras kepada golongan lelaki seperti ini. Lihat sahaja lelaki-lelaki yang mati ini dimana majoriti mereka lebih tertarik kepada unsur seksual yang ada pada tubuh Liza. Ada juga yang sekadar tertarik dengan makanan yang disediakan Liza semata-mata dan bukannya benar-benar mencintai Liza. Jadi, apabila kisah-kisah lelaki ini dibandingkan pula dengan watak Zoltan yang mencintai Liza dengan sepenuh hati membuatkan penonton dapat menangkap satu perkara penting iaitu nilai sebenar cinta yang perlu ada dalam diri seorang manusia dan bagaimana rasa cinta itu diberikan oleh seorang manusia kepada manusia lain tanpa mengharapkan balasan tertentu yang lebih kepada memenangi satu pihak sahaja. Kejujuran itu perlu dan ia perlu selari datangnya daripada hati, jiwa, minda, percakapan serta perbuatan sang pencinta itu sendiri. Watak-watak lain di sekeliling Liza walaupun hanya sekadar pelakon pembantu atau pelakon sebabak tetapi berjaya menyampaikan mesej tentang maksud cinta dan nafsu dengan cukup mudah tetapi diberi sentuhan yang cukup berani dan tajam buat sesiapa yang berkenaan. Belum lagi dilihat pada kritikan pedas terhadap beberapa isu lain terutamanya berkaitan restoran makanan segera yang dipanggil Mekk Burger di dalam filem ini yang pada pandangan kami bukan sekadar satu suara lantang tetapi begitu berani menyampaikan kebenaran yang telah diketahui ramai tetapi masih tetap menjadi buruan manusia disebabkan kelazatan hidangannya walaupun ia bakal menghadirkan kesakitan buat tubuh pada tahun-tahun mendatang.
Filem Liza The Fox-Fairy adalah sebuah filem yang cukup rempah ratusnya. Kehebatan lakonan pelakon-pelakon utamanya terutama pelakon Mónika Balsai yang berjaya menghidupkan karakter serta perwatakan Liza yang sangat pelik dan unik wajar dipuji kerana ia berjaya menyentuh jiwa kami yang menonton. David Sakurai walaupun hampir keseluruhan kemunculannya di dalam filem ini lebih ke arah babak menari dan menyanyi namun ekspresi wajah yang diberikannya sangat hebat dan berjaya membantu filem ini memberi kesan emosi yang cukup baik buat penonton. Begitu juga dengan pelakon utama lain serta barisan pelakon pembantu yang berjaya menjadikan filem ini penuh dengan elemen humor, drama dan cinta yang digarap sehingga berkembang menjadi begitu baik. Kami juga sangat tertarik dengan pemilihan lagu-lagu pop Jepun yang digunakan di dalam filem ini kerana ia kedengaran sangat bersesuaian dengan latar filem yang menampilkan penceritaan yang cukup aneh. Pemilihan lagu penutup Loituma Polka pada penghujung cerita membuatkan filem ini berakhir dengan cara yang cukup sempurna. Kesimpulannya, disebabkan betapa peliknya kisah penceritaan filem ini yang dipenuhi dengan elemen humor, sarkastik dan unik menjadikan ia sebuah filem yang sentiasa memberikan kejutan kepada anda. Anda wajib tonton untuk nilaikannya sendiri dan nikmati keindahan karya filem ini dengan segera. Kami sememangnya mengesyorkan anda untuk menonton filem ini kerana ia sebuah filem yang cukup baik.
Jadi, selamat menonton filem Liza The Fox-Fairy bersempena dengan Hungarian Film Fiesta 2.0 di GSC Pavilion KL. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S: Filem Hungary Terakhir Yang Akan Kami Ulas Bersempena Dengan Hungarian Film Fiesta 2.0 Kali Ini Ialah Pappa Pia. Nantikan Ulasannya!
0 Ulasan