Review Filem The Troupe @ Vándorszínészek (Hungarian Film Fiesta 2.0)


Filem:
The Troupe

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Pál Sándor

Genre:
Komedi & Drama

Pelakon:
Dorina Martinovics, Tamás Mohai, Gerõ Botond, Attila Vidnyánszky Jr. & Etc.

Tarikh Tayangan:
21 Jun 2019

Pengedar:
Film Festival Organiser

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang askar muda masuk campur dalam pergaduhan sekumpulan pelakon yang berlaku semasa mereka sedang membuat persembahan. Kumpulan pelakon itu kemudian mengajak askar tersebut untuk menyertai mereka dalam perjalanan mereka ke Budapest setelah askar itu dihalau. Hungarian Film Fiesta 2.0 kini sedang berlangsung di GSC Pavilion KL pada 21 Jun sehingga 23 Jun 2019.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem kedua dari Hungary berjudul The Troupe bersempena dengan Hungarian Film Fiesta 2.0 di GSC Pavilion KL pada 21 Jun 2019 yang lepas. Filem yang judul asalnya bernama Vándorszínészek ini sebenarnya berkonsepkan 'road trip' dimana ia memaparkan perjalanan sekumpulan pelakon ke pelbagai destinasi untuk cubaan menempa nama serta sebagai salah satu acara untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup. Kami sangat menyukai filem ini kerana ia sebenarnya merupakan cerminan satira terhadap industri seni itu sendiri dimana sebuah karya yang dipersembahkan itu sebenarnya merupakan hasil gabungan idea keseluruhan pihak yang terlibat sama ada di hadapan atau di belakang tabir.


Filem The Troupe @ Vándorszínészek ini juga penuh dengan elemen kekeluargaan dan persahabatan yang berjaya digarap dengan baik di dalam menyentuh hati penonton. Filem ini sebenarnya memaparkan manusia-manusia sebenar yang ada di luar sana. Manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup. Manusia yang sanggup mengkhianati rakan-rakan demi kejayaan diri sendiri. Manusia yang terlalu cintakan sesuatu perkara dan cuba memperolehnya dengan pelbagai cara. Manusia yang tidak menghargai kebaikan yang ada di hadapan mata. Semuanya yang wujud di dalam filem ini ialah kritikan menarik terhadap sikap manusia itu sendiri yang anda boleh saksikan daripada awal sehingga penamat filem ini. Ini yang menjadikan setiap momen sertaha bahagian filem ini mampu diingati anda usai menonton kerana ia berjaya menunjukkan anda satu perspektif baru tentang nilai-nilai manusia itu sendiri.



Antara perkara menarik yang dapat dilihat di dalam filem ini ialah misi setiap watak-wataknya yang berlainan tetapi menggunakan satu platform yang sama iaitu lakonan untuk mengejar impian tersebut. Watak Borostyán yang dilakonkan oleh pelakon Attila Ifj. Vidnyánszky misalnya dapat dilihat cukup meminati dunia lakonan dan sebenarnya mempunyai bakat terpendam yang sangat hebat untuk bergelar seorang pelakon. Namun, haknya dinafikan oleh watak Kantó lakonan Sándor Gáspár yang merasakan lelaki ini tidak layak untuk menjadi pelakon disebabkan usianya yang muda serta tidak setanding dengan pengalamannya yang telah mencecah lebih 20 tahun. Namun, kemunculan watak Fekete lakonan Tamás Mohai mengubah segala-galanya dimana segala persepsi atau pegangan yang dipegang oleh keseluruhan kumpulan pelakon ini sebelum ini yang menjadi tembok pemisah berjaya dipecahkan sehingga masing-masing mendapat peluang tersendiri untuk menonjolkan diri.


Satu perkara yang menarik tentang filem The Troupe @ Vándorszínészek ini ialah berkaitan penjiwaan serta persembahan lakonan watak-watak yang cuba dipaparkan di dalam kisah ini. Dapat dilihat bagaimana kisah filem ini sebenarnya menjentik secara manja tetapi tajam nilai-nilai manusia zaman kini yang sebenarnya gemar mengejar dan diangkat atas faktor populariti semata-mata. Ia dapat dilihat melalui usikan terhadap beberapa adegan seperti nama asli yang tidak komersial, amalan terlalu bergantung terhadap kelebihan individu lain serta tiada penjiwaan kepada watak, emosi dan reaksi saat melakukan pekerjaan atau tugasan seharian. Keunikannya disini ialah ia disampaikan di dalam bentuk pentomen dan gaya penyampaiannya di dalam bentuk humor menjadikan filem ini sangat mudah untuk dihadam dan diterima. Dapat dilihat di dalam beberapa babak bagaimana apabila terjadinya insiden-insiden yang melucukan disebabkan plot penceritaan yang tegang buat beberapa wataknya yang berhadapan dengan pelbagai masalah yang menyakitkan dan menyedihkan.



Filem The Troupe @ Vándorszínészek ini membariskan hampir 11 orang pelakon tetapi apa yang menakjubkan tentang filem ini ialah kesemua pelakonnya berjaya menyinar dan mencuri perhatian anda semua. Walaupun ada beberapa watak yang hanya muncul seketika serta ada yang dimatikan dengan keadaan yang menyedihkan namun setiap daripada mereka mempunyai momen-momen berpengaruh tersendiri untuk membuatkan anda lebih kenal, memahami dan bersimpati dengan setiap watak-watak ini. Secara keseluruhannya, kami menggemari naskah filem ini walaupun terdapat beberapa pemotongan babak yang digelapkan namun ia masih mampu difahami dengan jelas. Sebuah karya menarik dari Hungary yang berbaloi untuk anda tonton dan secara tidak langsung membantu anda melihat persepsi baru tentang kehidupan manusia dari sudut pandang karyawan negara tersebut.


Jadi, selamat menonton filem The Troupe bersempena dengan Hungarian Film Fiesta 2.0 di GSC Pavilion KL. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S: Filem Hungary Seterusnya Yang Akan Kami Ulas Bersempena Dengan Hungarian Film Fiesta 2.0 Kali Ini Ialah Liza, The Fox-Fairy. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan