Review Filem Child's Play


Filem:
Child's Play

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Lars Klevberg 

Genre:
Seram

Pelakon:
Aubrey Plaza, Gabriel Bateman, Brian Tyree Henry, Tim Matheson, Mark Hamill & Etc.

Tarikh Tayangan:
20 Jun 2019

Pengedar:
Oneworld Alliance Film

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang ibu yang telah memberi anak lelakinya patung bersempena dengan hari jadinya tanpa menyedari bahaya yang bakal berlaku berikutan patung tersebut akan mengganas. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 20 Jun 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem seram yang mana filem-filemnya yang terdahulu berjaya memberi impak yang cukup hebat buat kami pada zaman kecil. Kali ini filem ini dihasilkan semula dengan judul yang masih sama iaitu Child's Play dan kami telah menonton filem ini di MMcineplexes, eCurve Mutiara Damansara pada 20 Jun 2019 yang lepas. Jika filem Child's Play versi klasik terdahulu memaparkan kita tentang kisah roh pembunuh bersiri Charles Lee Ray yang memasuki patung Chucky dan mulai membunuh mangsa-mangsa yang diingininya namun untuk versi 2019 ini ia sangat berbeza kerana membawa perubahan yang sangat besar buat para peminat Chucky di seluruh dunia. 


Untuk kali ini, permainan Buddi @ Chucky ini direka dengan kehebatan teknologi AI dan apa yang menjadikan kami agak menyukai premis kali ini kerana perkembangan watak Chucky di dalam filem ini digarap dengan penceritaan logik filem yang lebih memberikan jiwa dan kesan yang cukup realistik pada pandangan kami. Perubahan ketara pada watak Chucky yang menjadi jahat melalui pemahaman dan tindak balasnya terhadap reaksi, emosi dan tindakan manusia serta bagaimana susur galur plot penceritaan ini disusun membuatkan filem ini berjaya berada di arenanya sendiri tanpa perlu bergantung pada kisah-kisah yang terdahulu.


Bagi kami, permulaan awal filem ini yang memaparkan tentang hubung kait antara seorang pekerja kilang Vietnam yang mengubah teknologi anak patung Buddi mungkin sedikit lemah dan kurang meyakinkan. Namun, momentum filem ini mulai berubah menjadi positif saat Chucky mulai perlahan-lahan beradaptasi dengan kehidupan manusia di sekelilingnya. Child's Play versi 2019 ini membawakan tema utama tentang persahabatan dan kekeluargaan. Kami sangat menyukai hal ini apabila melihat bagaimana pihak produksi mencipta hubungan ini melalui watak Andy dan Chucky dengan cukup baik. Lihat sahaja kepada watak remaja Andy yang pada asasnya merupakan seorang remaja lelaki yang terasing akibat masalah pendengarannya. Andy sebenarnya terlalu bergantung kepada gaget untuk menceriakan keadaan disamping terasa terasing dengan ibunya disebabkan tidak menyukai kekasih ibunya Shane yang hanya menyayangi ibunya dan bukan dirinya. Dia sebenarnya takut kesunyian dan ditinggalkan seperti mana yang terjadi pada kisah hidupnya melalui babak imbas semula. Jadi, ia adalah satu usaha yang hebat apabila mereka mewujudkan hubungan emosi antara watak Chucky dan Andy yang membuatkan penonton kali ini melihat Chucky daripada satu sudut pandang yang sangat berlainan daripada versi sebelumnya.


Filem Child's Play kali ini hadir dengan elemen gore yang sangat padat disamping menyuntik isu-isu kesihatan jiwa manusia abad ini yang sakit daripada segala segi sama ada jiwa, nafsu atau kehendaknya. Suka untuk kami menyentuh sedikit tentang watak Buddi atau Chucky pada filem ini dimana anda sebagai penonton pasti akan merasa sedikit kekok dan perlu membiasakan diri untuk menerima wajah barunya selepas minda kita telah dipasak oleh tujuh versi filem Child's Play sebelum ini yang memaparkan Chucky yang berwajah sama. Namun, kami harus akui walaupun rupa dan penampilan Chucky kali ini berlainan namun adakalanya ia lebih menakutkan dan memberi impak disebabkan emosi watak Chucky ini telah berjaya digali daripada dalam dan diterjemahkan ke dalam perubahan sikapnya secara perlahan-lahan yang secara tidak langsung membini sedikit demi sedikit kepercayaan penonton untuk mempercayai pembentukan kejahatan patung mainan ini.


Dibantu oleh lakonan yang cukup baik daripada keseluruhan pemainnya serta teknik kamera, sinematografi serta kesan solekan ngeri yang padu telah berjaya menjadikan babak-babak pembunuhan atau kematian di dalam filem ini kelihatan sangat hebat dan menyeramkan. Walaupun, filem ini bukanlah sebuah filem yang terlampau hebat namun kepuasan menonton Chucky di dalam versi yang lebih moden dengan intipatit kisahnya yang lebih realistik berjaya mengusik fikiran penonton untuk melihat sesuatu yang lebih dalam lagi berbanding elemen seram serta pembunuhan semata-mata. Watak Buddi atau Chucky sebenarnya adalah refleksi kepada kesalahan jiwa manusia-manusia zaman sekarang yang sebenarnya sedang sakit. Secara keseluruhannya, ada beberapa kelemahan atau plot yang terlalu klise boleh dilihat pada naskah kali ini yang masih cuba sehabis baik untuk mengekalkan apa yang pernah ada pada 7 buah filem terdahulu namun ia masih satu perkara yang menghiburkan untuk anda tonton di pawagam pada bulan ini.


Jadi, selamat menonton filem Child's Play di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 20 Jun 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Minggu Ini Kami Di Rollo De Pelicula Akan Menonton 4 Buah Filem Hungary Sempena Hungarian Festival Film (HFF) Di GSC Pavilion. Pada Masa Yang Sama Banyak Filem Bollywood Dan Tamil Yang Menarik Turut Keluar Pada Minggu Ini. Jadi, Nantikan Ulasan Kami Untuk Filem-Filem Seterusnya! 

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Saya amat setuju dgn review Hans. Pada saya film ini amat menghiburkan. Jgn nak disamakan dgn versi 1988, tonton dan enjoy versi 2019. Mark Hamill berjaya menghidupkan character Chucky, demn creepy and funny. Lagu Buddi pd end credits paling win, annoying pon ada, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. yes
      saya suka kedua-dua versi cuma versi kali ini lebih bersifat emosi dan berjiwa kemanusiaan

      Padam