Review Filem Toy Story 4


Filem:
Toy Story 4

Penilaian:
10/10

Pengarah:
Josh Cooley

Genre:
Komedi, Animasi & Kekeluargaan

Pelakon:
Tom Hanks, Tim Allen, Annie Potts, Tony Hale, Keegan-Michael Key,
Maddie McGraw, Christina Hendricks, Jordan Peele, Keanu Reeves & Etc.

Tarikh Tayangan:
20 Jun 2019

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Sheriff Woody dan Buzz Lightyear yang kini menjadi milik seorang kanak-kanak perempuan bernama Bonnie selepas diberikan oleh pemilik mereka yang terdahulu iaitu Andy. Mereka berdua kemudian diperkenalkan dengan Forky yang sebenarnya merupakan garfu yang dijumpai di dalam tong sampah dan ditukar menjadi barang permainan oleh Bonnie hasil bantuan Woody. Untuk menunjukkan kepada Forky bagaimana untuk menjadi permainan, Woody dan Buzz membawa Forky dalam satu pengembaraan yang akhirnya memberikan Woody sebuah gambaran baru tentang kehidupan serta kepentingan alat mainan kepada kanak-kanak. Saksikan filem animasi yang cukup menghiburkan dan berkualiti ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 20 Jun 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula sebenarnya berpeluang menonton filem Toy Story 4 bertempat di MMcineplexes, eCurve Mutiara Damansara pada 20 Jun 2019 selepas selesai majlis pelancaran minuman penuh fantasi terbaharu daripada syarikat Coolblog Malaysia iaitu UNICOOL. Alhamdulillah memang ini satu kejutan dan juga rezeki terpijak buat kami kerana dapat menonton filem animasi ini lebih awal daripada perancangan asal. Apa yang lebih mengejutkan kami ialah kehebatan francais filem keempat Toy Story ini yang bagi kami berjaya menyampaikan falsafahnya yang tersendiri di sebalik makna-maknanya yang begitu mendalam. Dengan yakinnya kami boleh katakan filem Toy Story 4 ini merupakan naskah yang paling baik antara keempat-empat filem Toy Story ini.


Filem Toy Story 4 bukan sekadar sebuah filem yang sangat menyeronokkan tetapi penuh dengan eleman yang cukup mendebarkan dan bijak memanipulasikan pemikiran penonton dengan elemen lucu serta kekuatan emosi yang bertindak sebagai serampang dua mata dimana ia sebenarnya cuba memberi satu refleksi timbal balik saat kita menyaksikan beberapa persoalan bijak yang ditimbulkan di dalam filem ini untuk mengingatkan diri kita sendiri tentang senarai mainan yang pernah wujud di dalam kehidupan kanak-kanak kita sebelum ini. Ditambah pula dengan pelbagai jenis falsafah yang sangat bijak di dalam francais kali ini menjadikan filem Toy Story bukan sekadar sebuah filem animasi yang menghiburkan kanak-kanak tetapi juga turut sama menghiburkan penonton dewasa dengan komedinya yang matang.


Pada asalnya, kami agak skeptikal dengan kemampuan filem Toy Story 4 ini untuk bergemerlapan seperti mana siri trilogi filemnya sebelum ini yang sentiasa menerima pujian ramai. Agak merisaukan jika filem keempat ini gagal mencapai tahap seperti mana ketiga-tiga filem terdahulu yang secara tidak langsung bakal memburukkan kecemerlangan yang dipegang sebelum ini. Namun, sambungan kisah yang dipaparkan kepada kali ini bukan sahaja memberi seribu satu kemanisan kepada setiap penonton tetapi ia juga berjaya membawa kita melihat sendiri tentang pandangan kita terhadap kehidupan terutamanya tentang nilai sebenar kegembiraan itu sendiri melalui barang mainan. Dapat dilihat disini bagaimana Woody begitu berpegang kepada kepercayaan yang diyakininya selama ini untuk cuba menggembirakan pemilik asalnya iaitu Andy dengan apa cara sekali pun tanpa memikirkan tentang tahap umur serta pemikiran tuannya kerana Woody percaya tugas barang mainan hanyalah untuk menggembirakan tuannya yang asal. Namun, pada kali ini pemikiran Woody dibawa menjelajah kepada perkara yang jauh lebih matang iaitu menggembirakan kanak-kanak yang memerlukan barang mainan dan berani untuk bersama pemilik baharu yang jauh lebih menghargai mereka demi sebuah memori manis sepanjang kehidupan kanak-kanak tersebut.


Filem Toy Story 4 dimulakan dengan babak imbas kembali sembilan tahun lepas dimana Woody masih bersama Andy serta bagaimana misi Woody dan rakan-rakannya menyelamatkan sebuah kereta main. Ia menjadi sedikit dramatik apabila Woody berpisah dengan Bo Peep dimana Bo Peep menyatakan dia bukannya barang mainan Andy memandangkan Bo Peep merupakan sebuah patung wanita. Kejadian ini akhirnya terjadi sendiri kepada Woody apabila dia menjadi barang mainan kepada kanak-kanak perempuan bernama Bonnie yang pada akhirnya menyisihkan Woody dan lebih gemar bermain denngan Jessie yang diangggap koboi serta sherif yang layak di dalam dunia imaginasinya. Hal ini dilihat menarik kerana ia membawa logik kehidupan dunia kanak-kanak itu sendiri dimana kanak-kanak lelaki seperti Andy gemar bermain permainan yang lasak dan bersifat maskulin manakala kanak-kanak perempuan sepeti Bonnie pula lebih menyukai permainan yang berbentuk feminin. Jadi, kisah kali ini memaparkan bagaimana Woody sebenarnya rasa terasing, terdesak dan pada masa yang sama mencuba berhabis-habisan agar dirinya diingati dan dipilih oleh Bonnie sebagai alat mainan utamanya seharian.


Namun satu perkara yang sangat menarik dan melucukan untuk diberi perhatian di dalam Toy Story 4 ini ialah tentang watak Forky. Ia terhasil tanpa sengaja melalui bantuan Woody yang terlalu ingin melihat kebahagiaan Bonnie sebagai tuan barunya sentiasa berpanjangan. Forky sebenar-benarnya bukannya sebuah benda yang layak digelar barang mainan tetapi ia dianggap oleh Bonnie sebagai mainan selepas hasil ciptaannya itu diberi pujian oleh guru tadikanya yang pada hakikatnya memberi galakan kepada kreativiti Bonnie. Jadi, ia sangat menarik apabila anda sebagai penonton dibawa untuk melihat lebih dekat tentang bagaimana kanak-kanak itu berfikir dan secara tidak langsung membawa anda kembali mengimbau kisah hidup anda sendiri suatu ketika dahulu yang taksub terhadap barang mainan itu sendiri. Semestinya Forky yang dihasilkan daripada barang-barang yang terdapat di dalam tong sampah ini merupakan satu konsep permainan buruk tetapi ia adalah realiti buat kanak-kanak yang sebenarnya bukannya dapat menghasilkan mainan terbaik seperti yang dijual di pasaran. Jadi, terdapat beberapa perkara menarik dapat dilihat disini terutamanya tentang sikap dan layan Bonnie terhadap Forky. 


Menariknya bagaimana watak Forky ini menilaikan dirinya sebagai sampah dan sentiasa bersemangat untuk kembali mengabadikan dirinya di dalam tong sampah sedangkan mainan-mainan yang lain mempunyai keinginan untuk menjadi rebutan kanak-kanak agar memilih mereka sebagai permainan. Disini sahaja kita dapat melihat pelbagai subteks menarik yang boleh ditemukan dan betapa bijaknya ia dimanfaatkan di dalam karya kali ini. Pertamanya, kehidupan menawarkan banyak pilihan yang kita sendiri pada hakikatnya tidak merasakan pilihan tersebut sebagai satu perkara yang bernilai tetapi sebaliknya buat insan lain yang memandang diri kita sangat bertuah kerana meraih pilihan tersebut. Kedua ialah tentang peluang dimana watak Forky ini sendiri sebenarnya menerangkan dengan jelas tentang sebuah plastik yang digunakan sekali sebelum ia berubah menjadi sampah. Namun, jelas disini ia membicarakan tentang peluang kedua dimana Forky telah dikitar semula menjadi sebuah mainan dan sebenarnya mendapat layanan yang lebih berbaloi dan berharga berbanding peluang pertamanya. Lihat sahaja bagaimana pengakhiran Forky pada awalnya di dalam tong sampah sebelum peluang keduanya dimana ia berada di atas tilam yang empuk sambil dipeluk oleh Bonnie dengan penuh kasih sayang. Dua situasi berbeza tetapi memberi impak yang cukup mendalam dari segi subteksnya yang indah.


Watak Forky di dalam filem Toy Story 4 adalah teras kejayaan buat filem animasi ini dimana ia berjaya membentuk pemikiran Woody untuk melihat dengan lebih jauh tentang maksud kehidupan sebenar. Banyak adegan melibatkan Forky yang sangat melucukan tetapi ia bukan sekadar sebuah komedi kosong tetapi berisi dengan maksud tersirat yang mendalam. Lihat sahaja bagaimana watak Forky ini berulang kali cuba mengambil nyawanya sendiri dengan cuba meletakkan jasadnya di dalam tong sampah kerana dia merasakan dirinya ialah sampah dan tidak berguna untuk hidup. Walaupun melucukan untuk melihat Woody berulang kali menyelamatkan dan menggagalkan cubaan Forky untuk masuk ke dalam tong sampah namun pada waktu sama kita dapat melihat satu perkara positif iaitu tentang kejujuran Woody menghargai nilai hebat kebahagiaan disaat dia sendiri sedang kehilangan perkara tersebut. Ia bertambah menarik apabila melihat babak Woody berjalan dengan Forky di dalam kegelapan malam di atas jalan raya yang hening sambil Woody cuba membantu Forky untuk melihat kepada kehidupan barunya. Untuk kisah animasi, ia kelihatan biasa-biasa sahaja buat tontonan kanak-kanak tetapi buat kami yang dewasa, adegan ini sebenarnya sangat indah kerana kami berjaya melihat bagaimana watak Woody ini telah melihat tentang kehidupan serta tujuan kita hidup di muka bumi ini. Ini adalah salah satu kecemerlangan yang sangat mengagumkan untuk dilihat pada sebuah filem animasi yang berjaya menyampaikan falsafah kehidupan secara total di dalam keseluruhan penceritaannya dengan cukup gemilang.


Sebenarnya terlalu banyak perkara yang menarik dapat diperoleh hasil tontonan daripada filem Toy Story 4 ini. Bukan sekadar pandangan kehidupan dapat dilihat kepada watak Woody dan Forky tetapi juga anda bakal menemukannya dengan lebih lagi melalui dua watak menarik iaitu Bo Peep dan Gabby Gabby yang bakal menjentik emosi anda sepanjang filem ini berlangsung. Namun, kami tinggalkan selebihnya untuk anda sendiri menilai. Selain plot penceritaan, penggunaan falsafah serta mesej-mesej yang cukup menarik di dalam naskah kali ini, anda juga pasti berpuas hati dengan kualiti sinematografi serta pergerakan kameranya yang cukup memukau terutama pada babak-babak malam yang kelihatan sangat cantik dan realistik. Ditambah dengan paduan suara daripada para pelakon yang cukup hebat seperti Tom Hanks, Tim Allen, Annie Potts, Tony Hale, Keegan-Michael Key, Maddie McGraw, Christina Hendricks, Jordan Peele dan Keanu Reeves semestinya menjanjikan anda satu pengalaman tontonan yang pastinya akan diingati untuk tahun 2019. Kami merasakan filem Toy Story 4 merupakan sebuah filem animasi yang paling terbaik untuk tahun 2019 buat masa ini. Sangat berbaloi untuk anda laburkan wang bagi menonton filem yang sangat berkualiti dari segala sudut aspek ini di pawagam bersama anak-anak anda.


Jadi, selamat menonton filem animasi hebat Toy Story 4 ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 20 Jun 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Yang Pernah Membawa Fenomena Tersendiri Sekitar Tahun 90-an Iaitu Child's Play! Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan