Review Filem Krasue: Inhuman Kiss


Filem:
Krasue: Inhuman Kiss

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Sittisiri Mongkolsiri

Genre:
Romantik & Ngeri

Pelakon:
 Oabnithi Wiwattanawarang, Phantira Pipityakorn, Sapol Assawamunkong, Surasak Wongthai & Etc.

Tarikh Tayangan:
13 Jun 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang seorang gadis yang tinggal di sebuah perkampungan terpencil dan mendapati dirinya telah mewarisi sumpahan Krasue. Kerana sumpahan itu, setiap malam kepalanya akan bercerai dari tubuhnya dan dia mula memburu darah dan daging. Apabila ternakan di kampungnya banyak mati, ini telah menyebabkan orang kampung berang dan mula memburu Krasue. Saksikan filem yang lain dari kebiasaan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 13 Jun 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Thailand berjudul Krasue: Inhuman Kiss di MMcineplexes, eCurve Mutiara Damansara pada 18 Jun 2019 yang lepas. Terkenal dengan panggilan penanggal, kisah makhluk yang menyeramkan ini berjaya diolah kepada sisi lain iaitu romantik dan ngeri dimana kami merasakan naratif penceritaan filem ini agak menarik bermula pada pertengahan filem sehingga pengakhirannya walaupun masih terdapat beberapa kelompongan cerita yang sedikit stereotaip pada beberapa bahagian.


Filem Krasue: Inhuman Kiss ini dimulakan dengan penceritaan yang klise, kurang meyakinkan dan mengikut jejak langkah filem-filem seram Thailand yang lain dimana pada awalnya ia kelihatan terlalu mencuba untuk mewujudkan elemen seram berbanding memberi penekanan kepada fungsi plot penceritaan awal yang kelihatan sangat kabur. Tujuan kanak-kanak ini bermain aci sembunyi di kawasan rumah hantu tersebut sangat lah tidak jelas dan kuat untuk membuatkan kami sebagai penonton dapat menerimanya dengan hati yang lapang. Namun, perkembangan plot penceritaannya saat watak Sai menginjak dewasa mula menarik apabila ia dimulakan dengan sedikit tompokan darah pada cadar tilamnya yang berjaya menimbulkan tanda tanya kepada kami sebagai penonton dengan cukup baik. Kemunculan Noi menambah baik keseluruhan jalan cerita apabila daripada hal ini dapat dilihat sangat membantu menguatkan konflik cinta tiga segi yang telah digarap dengan cukup baik melalui ketiga-tiga watak utamanya iaitu Sai, Noi dan Jerd yang merupakan sahabat baik sejak kecil lagi. Kami menyukai hal ini kerana elemen cinta tiga segi versi asia tenggara yang penuh kelembutan berjaya diasimilasikan dengan cukup baik. Melihat bagaimana sisi penderitaan yang dialami oleh ketiga-tiga watak ini disampaikan di dalam sebuah penceritaan yang sangat positif juga cukup mengagumkan. Tiada langsung watak-watak ini yang berubah menjadi antagonis dari sudut penjiwaan yang menjadikan ia satu keunikan dan keistimewaan buat naskah ini untuk mewujudkan genre romantik ngeri yang berkualiti.


Namun, tidak dinafikan terdapat kelemahan yang agak ketara tentang keseluruhan isi penceritaan filem ini apabila melihat kepada bab berkaitan penanggal dimana Sai yang pada hakikatnya telah menjadi mangsa Krasue dan sepatutnya telah lama berubah menjadi penanggal sejak kecil namun tidak menyedari hal tersebut sehingga menginjak dewasa sedangkan pada babak pertengahan terdapat seorang kanak-kanak wanita yang berubah menjadi Krasue hanya dalam tempoh yang singkat selepas minum air dari bekas cawan Sai. Begitu juga dengan perkembangan watak Noi selepas mencium Sai yang memberikan satu perkara yang cukup mengelirukan pada visual saat hatinya berasa sakit. Noi tidak berubah menjadi Krahang atau pun hilang semangat keberaniannya selepas itu. Ini adalah satu perkara yang cukup memeningkan kami apabila melihat dari sudut ini sedangkan pada penceritaan awalnya telah mencanangkan kepada penonton tentang sebab musabab dan akibat apabila seorang lelaki dicium oleh Krasue.


Menyentuh tentang imej janaan komputer iaitu CGI yang digunakan di dalam filem Krasue: Inhuman Kiss ini pula, ia bukan lah yang terbaik tetapi tidak juga terlalu mengecewakan untuk melihat Krasue atau penanggal ini terapung-apung di udara sambil bahagian jantung dan hatinya bercahaya merah. Namun, sebaliknya untuk imej Krahang dimana kami merasakan hasil CGI untuk watak ini agak boleh untuk dibanggakan kerana kejelasan serta kelancaran perubahannya pada visual dilihat sangat cantik terutama sewaktu pertukaran daripada manusia kepada Krahang. Cuma ia sedikit menjengkelkan apabila melihat makluk Krahan ini seakan-akan serigala jadian dan bagaimana makhluk ini mampu terbang membuatkan kami percaya pihak produksi ini terutama pengarah dan penulisnya terlalu terpengaruh dengan filem-filem dari Barat sehingga menghilangkan kisah rakyat Asia yang tidak mempunyai elemen sedemikian. Manakala untuk teknik solekan ngeri yang diaplikasikan di dalam babak-babak filem ini pula bagi kami berjaya dijayakan dengan cukup berkualiti dan meyakinkan. 


Lakonan para pelakonnya juga wajar diberi pujian kerana mereka berjaya menyelami karakter serta jiwa watak masing-masing dengan cukup bagus. Tetapi, apa yang menjadikan filem Krasue: Inhuman Kiss ini lain dari yang lain disebabkan jalan ceritanya yang penuh dengan mesej yang menarik disamping berjaya mengangkat kisah misteri rakyat Thailand dengan cukup baik sekali. Kisah cinta tiga seginya bukan sebuah kisah yang klise seperti biasa walaupun pada awalnya kami agak skeptikal tentang hal ini. Ia membawa penonton untuk melihat sisi-sisi lain di dalam kisah cinta tiga segi watak-watak utama filem ini yang cukup menyayat hati. Elemen kekeluargaan yang diterapkan di dalam filem ini boleh dilihat dengan cukup jelas dan ianya satu perkara menarik untuk melihat bagaimana setiap keluarga ini menerima, meratapi dan melindungi keluarga mereka denagn pelbagai fahaman yang mereka yakini. Kekuatan penceritaan filem ini pada suku kedua penceritaan membawa kepada pengakhiran filem ini telah memberi satu cahaya baru buat filem bergenre romantik yang dimasukkan elemen seram dan ngeri untuk menyinar dan memberi pilihan buat penonton yang inginkan sesuatu yang baru dan segar.


Jadi, selamat menonton filem Krasue: Inhuman Kiss di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 13 Jun 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Minggu Ini Ada Beberapa Filem Menarik Yang Menjengah Pawagam Seperti Toy Story 4 Dan Child's Play! Filem Yang Manakah Yang Bakal Kami Tonton? Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Terima kasih Hans kerana sempat memberi ulasan film ni. Saya satu je yg buat mcm potong stim, part Kharang yg rupa nya mcm werewolf berkepak ala Batman, bole terbang la pulak, kuat mcm Hulk, saya nak gelak dah tapi tahan je. Tapi pd keseluruhannya OK juga cuma penanggal versi Thai ni rupa nya tak seram sangat kalau dibandingkan dgn versi kita yg lagi mengerikan, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      yups...ala2 warewolf tapi cgi Werewolf dia agak gempak lah
      tak nampak buruk
      memang filem nih sebenarnya bukan genre seram
      dia romantik ngeri sahaja

      Padam