Review Filem Bharat


Filem:
Bharat

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Ali Abbas Zafar

Genre:
Drama

Pelakon:
Salman Khan, Katrina Kaif, Tabu, Disha Patani, Sunil Grover, Jackie Shroff & Etc.

Tarikh Tayangan:
5 Jun 2019

Pengedar:
Suraya Filem

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Bharat yang berkongsi kisah hidupnya sejk awal zaman kemerdekaan India di mana dia lahir daripada sebuah keluarga yang terpaksa memulakan perjalanan mengecapi kebebasan yang penuh liku-liku. Bharat yang baru berusia lapan tahun pada ketika itu telah berjanji kepada bapanya yang dia akan melakukan apa sahaja demi menyatukan kembali seluruh keluarga mereka. Selepas 60 tahun, Bharat masih berpegang pada janjinya untuk mencari ayah serta adik perempuannya yang terpisah walaupun harapan Bharat itu kelihatan terlalu mustahil untuk dicapai. Adakah Bharat akan berjaya menjumpai semula ayah serta adik perempuannya yang secara tidak langsung akan menunaikan janji yang dibuatkan sewaktu dia berusia 8 tahun? Saksikan filem yang cukup menarik ni di pawagam berhampiran anda bermula pada 5 Jun 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood berjudul Bharat di MMcineplexes, eCurve Mutiara Damansara pada 16 Jun 2019 yang lepas. Untuk pengetahuan sama, filem Bharat merupakan sebuah filem yang di adaptasi dari sebuah filem Korea Selatan berjudul Ode To My Father yang telah diterbitkan pada tahun 2014. Filem tersebut menceritakan mengenai janji seorang anak kepada bapanya sewaktu terjadinya Perang Korea manakala untuk versi Bollywood pula, filem Bharat tampil menceritakan perihal yang sama tetapi ia telah diubah suai dengan mengambil latar tentang peristiwa yang berlaku sewaktu era perang India dan Pakistan. Diterbitkan oleh Salmah Khan sendiri melalui syarikat produksinya iaitu Salman Khan Films, pelakon hebat ini tampil dengan lima penampilan yang berbeza mengikut peredaran umur wataknya sebagai Bharat yang boleh ditonton pada keseluruhan cerita filem ini.


Memandangkan kami tidak pernah menonton filem Ode To My Father, jadi kami dapat menonton filem Bharat tanpa perlu membandingkan antara satu sama lain. Jika anda sedia maklum, Salman Khan cukup gemar memasukkan elemen hubungan negara antara India dan Pakistan di dalam penceritaan filemnya seperti salah sebuah filem yang cukup memberi impak kepada penonton iaitu Bajrangi Bhaijaan yang ditayangkan sekitar tahun 2015. Untuk filem Bharat, bagaimana permulaan filem ini dipaparkan pada kami agak menarik, menyedihkan dan menakutkan walaupun babak berkaitan rusuhan dan pembunuhan pada era peperangan India dan Pakistan di tahun 1947 itu hanya berlangsung di dalam jangka masa yang cukup singkat. Babak yang cukup menakutkan ialah bagaimana keseluruhan penumpang di dalam keretapi yang tiba ke stesen didapati telah pun dibunuh oleh kejam adalah antara momen-momen menarik yang cukup untuk diingati serta bagaimana Bharat terlepas tangan adik perempuannya sewaktu rusuhan di landasan keretapi berlaku. Bermula daripada itu, para penonton akan dibawa melihat kehidupan Bharat yang penuh dengan liku-liku cabaran dengan melakukan pelbagai pekerjaan sejak kecil sehingga sewaktu melangkaui usia emas.


Filem Bharat dapat dilihat begitu bercita-cita tinggi di dalam memberikan sesuatu yang baru dan menarik kepada sesiapa yang menonton filem ini. Namun dek kerana terlalu cuba memberikan sesuatu yang kelihatan baru, ia semakin lama dilihat terlalu membebankan jalan cerita filem ini dan adakalanya membuatkan kami menonton sedikit bosan pada beberapa plot penceritaan terutama pada pertengahan filem. Sebagai penonton Bharat, anda akan dibawa melihat kehidupan Bharat sewaktu lelaki ini berusia 8 tahun dan kemudiannya bekerja di jalanan sebagai pengilap kasut sebelum berubah karier kepada bidang sarkas. Seterusnya pula, Bharat akan membawakan anda melihat dunia perlombongan minyak dan gas sehingga akhirnya Bharat akan membawa anda melihat keindahan dan gelora lautan melalui pekerjaannya di atas kapal kontena. Pada akhirnya, anda akan ditunjukkan tentang usaha Bharat untuk mengekalkan kedai runcit yang dibelinya hasil titik peluh bekerja di atas kapal disebabkan janji dia kepada ayahnya untuk bertemu di kedai runcit tersebut bersama adiknya pada suatu hari nanti. Hal ini sedikit sebanyak agak memualkan apabila memikirkan usia Bharat yang sudah mengjangkau 70 tahun namun masih mengharapkan satu perkara yang sememangnya terlalu mustahil untuk dicapai. 



Salah satu elemen yang kurang memuaskan kami untuk filem ini ialah tentang bagaimana rupa, penampilan serta fizikal Salman Khan dipaparkan untuk watak Bharat pada usia muda serta di era usia 70-an yang bagi kami kurang meyakinkan. Memainkan peranan Bharat di usia 20-an sewaktu muda dan bekerja di sarkas sememangnya kurang meyakinkan apabila dilihat pada raut wajahnya yang terbukti tua terutama pada bahagian mata. Ia sangat berbeza jika dilihat pada rakannya iaitu Aamir Khan yang berjaya tampil dengan begitu meyakinkan sewaktu usia muda, pertengahan dan tua di dalam filem Dangal. Salman Khan juga dilihat terlalu 'kebal' sewaktu memainkan peranan Bharat di era usia 70-an dimana satu babak yang dipaparkan ketika lelaki tua ini diserang 4 orang pemuda dengan motosikal. Di usia sebegitu rupa, adalah sesuatu yang langsung tidak meyakinkan untuk mempotretkan lelaki bernama Bharat ini mempunyai fizikal berotot dan tegap yang masih sama seperti mana ketika watak ini berumur di dalam lingkungan 30-an atau 40-an walaupun filem ini cuba mengambil jalan mudah dengan memaparkan bahawa Bharat ini masih lagi bersenam untuk mengekalkan staminanya disamping berbekal satu frasa dialog yang berbunyi, "Walaupun Harimau sudah berumur tetapi ia tidak pernah terlupa bagaimana untuk memburu!"Setiap jenis urutan kehidupan Bharat ini pasti akan membuatkan anda tertanya-tanya tentang usia sebenar Bharat yang cukup mengelirukan dan tidak selari dengan kekuatan individu tersebut.



Walaupun begitu, kami tidak nafikan Salman Khan telah memberikan sebuah persembahan lakonan yang cukup baik dan menghiburkan. Namun, pujian harus diberikan kepada pelakon Katrina Kaif kerana berjaya mewujudkan keserasian yang cukup baik antara watak yang dimainkannya iaitu Kumud dengan watak Bharat. Sayangnya kemunculan Katrina terlalu sedikit walaupun pelakon ini berjaya memberikan satu warna yang menarik kepada filem Bharat ini. Wataknya sebagai Kumud dilihat mempunyai personaliti dan aura yang cukup kuat terutamanya sewaktu babak bagaimana wanita ini meluahkan rasa cintanya kepada Bharat di hadapan ramai orang serta melamarnya di hadapan keluarga Bharat sewaktu majlis perkahwinan adik Bharat. Boleh dikatakan prestasi lakonan yang diberikan oleh Katrina untuk watak Kumud ini adalah cukup menyerlah dan mengagumkan. Begitu juga dengan pelakon Sunil Grover yang memegang watak sebagai Vilayanti iaitu kawan baik kepada Bharat pula dilihat berjaya menyinar dengan cukup baik dan menyamai kehebatan watak utamanya iaitu Bharat. Melalui watak Vilayanti ini, anda yang menonton pasti akan dapat melihat tentang bagaimana peranan sahabat karib yang sebenarnya memainkan fungsinya di dalam kehidupan seorang lelaki bernama Bharat. Ia adalah antara elemen yang cukup manis dapat dilihat di dalam filem ini. Namun, kemunculan Tabu walaupun hanya seketika tetapi sudah cukup untuk memacu babak klimaks filem ini untuk mencapai puncak tertingginya berbekalkan satu babak yang penuh dengan emosi kesedihan, kekecewaan dan keceriaan yang berjaya disampaikan dengan cukup hebat. Kami mengakui babak melibatkan Salman Khan dan Tabu antara babak yang sangat diingati sehingga menyebabkan kami mengalir air mata kerana kesedihan yang telah dipendam puluhan tahun oleh kedua-dua watak ini berjaya disampaikan dengan penuh ikhlas sambil dibalut dengan emosi-emosi yang sangat jitu dan mampat.


Secara keseluruhannya, filem Bharat mempunyai pelbagai perkara yang cuba disampaikan sehingga menyebabkan filem ini kelihatan terlalu dengan babak-babak penceritaan yang kami rasakan ada sebahagiannya yang tidak perlu pun diwujudkan. Ini kerana pada satu ketika ia membuatkan anda sebagai penonton berasa sangat keletihan berikutan perlu menghadam terlalu banyak perkara dalam waktu yang sama walaupun ia cuba diringankan dengan beberapa elemen humor. Ada babak lucunya yang menjadi dan ada juga beberapa adegan komedinya yang kelihatan terlalu mencuba tetapi gagal seperti cubaan rampasan kapal oleh lanun Somalia di Teluk Aden. Bagi kami, adegan itu adalah antara adegan yang cukup gagal dan teruk yang wujud di dalam filem Bharat ini. Masih berbaloi untuk ditonton kerana ia penuh dengan elemen kekeluargaan yang cukup menarik tetapi cukup jauh untuk filem Bharat ini diangkat sebagai sebuah filem terbaik kerana kelemahan-kelemahannya yang dilihat cukup ketara untuk naskah terbaru daripada syarikat produksi milik Salman Khan kali ini.


Jadi, selamat menonton filem Bharat di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 5 Jun 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Lagi Filem Tamil Yang Cukup Menarik Berjudul Kolaigaran! Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan