Review Filem Super 30


Filem:
Super 30

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Vikas Bahl

Genre:
Biografi & Drama

Pelakon:
Hrithik Roshan, Mrunal Thakur, Pankaj Tripathi, Virendra Saxena & Etc.

Tarikh Tayangan:
12 Julai 2019

Pengedar:
DMY Creation Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini berdasarkan kisah kehidupan seorang pakar Matematik, Anand Kumar dan program Super 30 di mana setiap tahun dia akan memilih 30 orang pelajar berbakat dan pintar dari keluarga tidak berkemampuan dan melatih mereka untuk menduduki peperiksaan kemasukan ke Institut Teknologi India. Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula 12 Julai 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.


Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood berjudul Super 30 bertempat di TGV Cinemas Jaya pada 16 Julai 2019 yang lepas. Berkisarkan tentang kisah seorang warga pendidik yang ditunjukkan perubahan sisi dalam 360 darjah adalah salah satu elemen jujur yang amat kami sukai di dalam filem ini. 


Ianya dimulakan melalui ucapan seorang lelaki bernama Fugga yang bercerita tentang jasa besar seorang lelaki bernama Anand Kumar di dalam kehidupannya. Ia kemudiannya mula membawa para penonton ke masa lampau melalui babak imbas kembali yang berlatar belakang tahun 1996. Pemilihan kisah hidup watak Anand Kumar berjaya disatukan dengan cukup baik apabila melihat terhadap anugerah yang diterima, hubungan antara medal dan buku hasil tulisan pengarang luar negara, hak menerima pendidikan yang setara, hubungan kasta, pendidikan dan kejayaan masa akan datang serta perbezaan darjat dan kesannya terhadap memenuhi impian atau merebut cinta. Ianya menarik untuk melihat bagaimana transisi perubahan manusia bernama Anand kehilangan cita-citanya sebelum mula ditenggelami dengan kemewahan yang membuatkan Anand berubah menjadi insan yang pernah menghalang cita-citanya sebelum ini. Namun kembalinya Anand ke pangkal jalan tanpa menoleh semula ke belakang merupakan salah satu perkara paling terindah yang anda boleh lihat pada jiwa murni insan yang cekal ini. 


Filem Super 30 sama seperti mana filem-filem Bollywood lain yang tidak dapat lari daripada memainkan pengaruh unsur komersial di dalam keseluruhan kisahnya. Elemen-elemen yang memanipulasi emosi ini akan berjaya membuatkan tersentuh, terharu, tergamam, ketawa, menangis dan bersemangat. Disebabkan hal ini, ada beberapa bahagian ceritanya yang kelihatan lemah dan kurang mencengkam kerana kami melihat ia hanya bermain di dasar tanpa menggali lebih untuk diberikan kepada para penonton. Bukan ianya tidak berjaya tetapi ia lebih cantik jika isu-isu yang cuba dimainkan seperti pendidikan adalah wang, penindasan disebabkan perbezaan kasta dan salah guna kuasa politik berjaya ditekankan dengan lebih mendalam untuk memberi impak paling maksimum terhadap kesan tontonan kami yang melihat dan menyelami kisah ini. 


Pelakon utama iaitu Hritik Roshan sekali lagi berjaya memberikan satu persembahan memukau sebagai Anand di dalam filem Super 30 ini. Kami dapat melihat satu sisi baru tentang lakonan Hritik dimana ia bukannya satu kerja mudah untuk menghidupkan watak manusia hebat bernama Anand yang penuh dengan emosi dan tindakan misteri yang tidak terjangkau pada awalnya. Bagaimana setiap adegan watak ini berjaya mengekalkan prestasi gerak tubuhnya disamping kekuatan dialog yang kadang-kadang dilihat bermetafora membuatkan watak ini kelihatan kuat dan menjadi teras kepada penceritaan filem ini. 


Namun, kami harus akui bahawa pemilihan pelakon kanak-kanak Super 30 sebenarnya yang membantu filem ini meneruskan kesinambungan kecemerlangannya selepas pertengahan filem ini kelihatan sedikit lemah disebabkan elemen-elemen kaedah formula pengiraan seperti kehilangan sudah hilang arah tujuannya. Barisan pelakon kanak-kanak yang membawakan kepelbagaian karakter ini telah mencuri sinar Hritik Roshan terutama di dalam babak mahal anak-anak ini memecahkan tembok ketakutan mereka dengan membuat persembahan di dalam bahasa Inggeris. Babak tersebut adalah antara babak yang cukup memberi kesan dan memacu momentum filem ini untuk sentiasa kekal berada di atas sehingga penamat. Kami melihat babak tersebut sangat hebat kerana ia menyampaikan suara golongan bawahan dengan cara yang cukup kreatif dan menyentap jiwa-jiwa kapitalis di negara India tanpa sebarang rasa takut. 


Secara keseluruhan, walaupun filem Super 30 agak lemah di dalam mengekalkan tempo kekuatan ilmu formula matematik yang dipunyai oleh Anand Kumar namun ia masih berjaya memberi tumpuan kepada tujuan utamanya tentang perlumbaan cita-cita anak-anak kasta rendah yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah andai mereka diberi peluang sama rata dengan anak-anak daripada golongan kasta tinggi. Selain tidak lupa untuk sekali lagi menjentik golongan ahli politik murahan yang sentiasa dibodohkan oleh kertas bercetak yang mempunyai kuasa membeli, filem ini juga secara tidak langsung berjaya memaparkan nilai sebenar yang perlu ada dalam jiwa seorang pendidik sejati. 


Jadi, selamat menonton filem Super 30 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 12 Julai 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Seram Dari Rusia Berjudul Guest! Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Ulasan filem yg ditunggu2. Terima kasih Hans, tak sangka dpt ulasan yg tinggi juga. Setuju dgn Hans, H.Roshan berjaya membawa watak Anand dan kata2 semangat kpd anak muridnya utk berjaya walaupon di dalam pelbagai keadaan yg susah amat memberi inspirasi kpd saya. Kita yg hidop selesa, dpt mcm2 subsidi dan bantuan pon malas belajar. Org di sana makan pon tak cukop, hidop susah tapi semangat kental utk mengubah nasib dgn mementingkan pelajaran...

    BalasPadam
    Balasan
    1. yups
      cuma kekurangan bagi saya yang kurang digemari berkaitan dengan ilmu matematik yang dilihat terlalu mudah dipaparkan dan digambarkan. Nampak macam nak cepat dan nak senang. hahaha!

      Padam