Review Filem Guests


Filem:
Guests

Penilaian:
3/10

Pengarah:
Evgeniy Abyzov

Genre:
Drama, Seram & Ngeri

Pelakon:
Yuri Chursin, Angelina Strechina, Mikhail Meshcheryakov, Anastasiya Ukolova & Etc.

Tarikh Tayangan:
18 Julai 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang wanita bernama Katya yang bertemu dengan sekumpulan orang muda yang gemar membuat parti di rumah kosong. Katya membawa mereka ke sebuah rumah di pesisiran pantai yang sudah lama ditinggalkan oleh tuan rumah itu. Keadaan rumah yang lembap dan gelap itu sedikit pun tidak menakutkan mereka. Dalam masa mereka sibuk berparti, muncul seseorang yang tidak dijangka oleh Katya iaitu lelaki yang pernah dicintainya dan merupakan pemilik rumah tersebut. Lelaki itu kelihatan seperti telah dirasuk oleh sesuatu di dalam rumah itu. Saksikan filem seram dari Rusia ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 18 Julai 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisah ceritanya..


Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak GSC Movies untuk menghadiri tayangan filem Guests bertempat di GSC Paradigm Mall, Petaling Jaya pada 16 Julai 2019 yang lepas. Filem Guests ini merupakan sebuah filem seram dari Rusia dan ia mengingatkan kami kepada sebuah filem seram dari Jerman berjudul Heilstätten dimana kedua-dua filem ini mempunyai satu persamaan ketara iaitu tentang peralihan bahasa. Kedua-duanya hadir di pawagam Malaysia dengan pertukaran bahasa Inggeris dan kami akui perkara ini sangat mengganggu serta merosakkan suasana tontonan gara-gara gagal merasai emosi serta intonasi suara yang asli. 


Kami yakin peralihan bahasa ini sebenarnya tidak perlu kerana rakyat Malaysia sudah bijak untuk menilai dan menerima mana-mana bahasa sekali pun. Ini disebabkan kepuasan untuk menonton sudah terhakis dek kerana kekaburan yang melanda apabila melihat suara yang keluar langsung tidak selari dengan gerak bibir. Ditambah pula dengan intonasi serta emosi yang terlalu melebih-lebih sedikit sebanyak mencacatkan filem yang dialih bahasa ini. Serius, kami sangat merasakan peralihan bahasa kepada bahasa Inggeris ini sangat tidak perlu!


Filem Guests bermula dengan baik pada pandangan kami apabila memaparkan tentang kepercayaan masyarakat Rusia terhadap syaitan dan jembalang. Memandangkan tema seram bersifat universal dimana ia mudah diterima oleh mana-mana manusia pun di dunia ini maka dapat dilihat tema serta intipati kisah yang dipaparkan di dalam Guests ini berjaya menarik perhatian kami pada awalnya. Namun, sayang sekali apabila kisah penceritaannya mula terkeluar daripada landasan sebenar dan terperangkap di dalam sebuah kisah yang terlalu klise serta stereotaip. Ia hanya sebuah kisah seram yang kita kerap kali tonton sama ada di dalam filem tempatan mahu pun di dalam filem-filem seram luar negara yang lain dimana premisnya mudah iaitu tentang remaja-remaja nakal atau degil yang diganggu mahu pun dibunuh hantu akibat kesilapan dan keangkuhan diri sendiri. Tiada yang terlalu unik atau istimewa yang kami dapat peroleh daripada filem ini kerana kisahnya terlalu biasa dan mudah diramal.


Salah satu elemen yang berjaya menarik perhatian kami tentang filem ini ialah kualiti visual serta sinematografi yang kami sifatkan agak cantik dan menarik untuk ditonton. Boleh dikatakan keseluruhan filemnya berjaya bermain dengan pencahayaan yang cantik dan setiap adegan juga dapat dipaparkan dengan jelas. Penggunaan teknik jump scare sedikit sebanyak berjaya menyelamatkan filem ini yang bergerak terlalu perlahan tanpa ada momen-momen yang hebat untuk diingati. Kami melihat penggunaan jump scare yang tepat pada waktunya telah berjaya memberikan kejutan yang tidak disangka buat penonton. Secara tidak langsung, ia berjaya juga membuatkan penonton berasa sedikit tercabar dengan elemen seram yang cuba ditimbulkan di dalam filem ini.


Secara keseluruhan, plot penceritaan filem ini agak lemah dimana perkembangan watak-wataknya dilihat agak mengelirukan. Kami tidak pasti jika ada babak-babak yang dipotong namun kami melihat hubungan watak-watak utamanya yang bergerak pantas dan berlaku secara tiba-tiba kelihatan sangat janggal dan tidak meyakinkan. Jalan ceritanya pun biasa-biasa sahaja. Kepada peminat filem seram, anda disarankan untuk menonton bagi membuktikan bahawa kata-kata kami ini adalah benar dan layak dipersetujui oleh semua penggemar filem seram sebegini.


Jadi, selamat menonton filem Guests di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 18 Julai 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah  Sebuah Filem Korea Selatan Yang Diterbitkan Pada Tahun 2003 Iaitu Memories of Murder Sempena MIFFEST & MGGA. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. Dgn itu kita bole skip film ni ye, heheh. Ulasan Kuntilanak 2 akan keluar ke Hans? Kami tunggu Hans je... kalau best kami confirm tonton, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaahhaa
      Kuntilanak 2 akan ditonton esok jika tiada aral melintang
      In Sha Allah akan dikongsi secepat mungkin

      Padam
  2. Alhamdulillah, terima kasih Hans

    BalasPadam