Pelancaran Filem Coast Guard

Baru-baru ini portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak Arie Zaharie Production untuk menghadiri majlis pelancaran filem Coast Guard yang bakal diarahkan oleh Pitt Hanif dan Hashim Rejab.


Filem Coast Guard merupakan terbitan Arie Zaharie Production dan Flying Ideal Sdn Bhd bersama Maritim Malaysia dimana kerjasama ini untuk memastikan hasil dan kualiti filem ini berada di tahap yang tersendiri kerana pihak produksi sentiasa mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan barisan kepimpinannya untuk babak-babak yang melibatkan agensi tersebut.




Pelakon:
Saharul Ridzwan, Emma Maembong, Julia Farhan, Fauzi Nawawi, Sabri Yunus,
Aziz M.Osman, Black Hanifah, Hazama, Mustaqim Mohamed, Iman Zulkarnain,
Wanna Ali, Laila Nasir, Akmal Ahmad, Hushairi Husain.


Sinopsis:
Filem Coast Guard ini memaparkan kisah kehidupan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) iaitu Hafiz yang ingin memulakan kehidupan baharu di sebuah pulau kerana mengalami Gangguan Stress Pasca Trauma (PTSD) setelah kehilangan rakan setugasnya dalam sebuah misi menyelamat. Hafiz juga membawa tunangnya, Nurul untuk tinggal bersamanya setelah memutuskan untuk berkahwin dengannya. Namun, ketika majlis sambutan pertunangan Hafiz dan Nurul, sekumpulan penjenayah telah menyerang mereka dan menculik Hafiz, Nurul dan ibu bapanya serta beberapa orang tetamu lain termasuk beberapa anggota maritim lain untuk dijadikan tebusan. Melati, seorang anggota maritim telah ditugaskan untuk menyelesaikan krisis dan menumpaskan kumpulan penjenayah tersebut telah menemui dan menyelamatkan Hafiz dan bapa Nurul. Berdendam dengan penjenayah tersebut, Hafiz berganding bahu dengan Melati demi menyelamatkan buah hatinya dan tebusan-tebusan lain.


Info Menarik Tentang Coast Guard:

Ditubuhkan pada April 2005, Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia (PTK) adalah sebuah pasukan elit maritim di bawah Maritim Malaysia. Pasukan ini diwujudkan bagi mengawal sebarang situasi kecemasan yang melibatkan keganasan bersenjata, serta melindungi dan menyelamatkan nyawa dan harta benda di laut.


Peranan pasukan ini adalah untuk memberikan respon pantas dalam aktiviti menyelamat dan misi taktikal menerusi udara dan di bawah air, menyelamat mangsa kemalangan di laut, menyelamat tebusan, Kawalan VVIP, menjejaki kapal atau bot yang melakukan jenayah. Taktikal VBSS ( Visit, board, search, and seizure), melumpuhkan kegiatan perlanunan, rompakan bersenjata, sebarang elemen yang berkaitan dengan jenayah berprofil tinggi dan keganasan serta pelbagai lagi ancaman keselamatan di Zon Maritim Malaysia.


Pasukan ini juga berpengalaman mengendalikan pelbagai operasi ini termasuk:

- Operasi Daulat
- Kawalan keselamatan ESSCOM
- Menumpaskan perompak kapal MT Orkim Harmony
- Kawalan keselamatan proses Ekstradisi perompak MT Orkim Harmony dari Vietnam ke Malaysia
- Menumpaskan perompak kapal MT MGT 1
- Menumpaskan perompak kapal MT Lee Bo
- Munumpaskan perompak kapal MT Sun Birdie
- SAR kru kapal USS John S McCain
- SAR pemandu SUV di Jambatan Pulau Pinang

Catat Ulasan

0 Ulasan