Review Filem 27 Steps of May (MIFFEST)


Filem:
27 Steps of May

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Ravi L. Bharwani

Genre:
Drama

Pelakon:
Raihaanun, Lukman Sardi, Ario Bayu, Verdi Solaiman & Etc.

Pengedar:
Film Festival Organizer

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan May yang menjauhkan diri dari dunia luar selepas berdepan trauma dirogol semasa kanak-kanak. Dia cuba melupakan kisah lampau namun kesan trauma yang dihadapinya menyebabkan dia sering kali tertekan dan ketakutan. Namun, kehidupannya berubah selepas seorang ahli magik yang berpindah di sebelah rumahnya, membawa keajaiban kepadanya. Saksikan filem yang cukup menarik ini untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem dari Indonesia berjudul 27 Steps of May bertempat di TGV Cinemas Sunway Velocity pada 18 Julai 2019 yang lepas sempena MIFFEST yang berlangsung pada bulan Julai ini. Kami percaya filem ini mungkin bukan pilihan sebahagian besar majoriti penonton di Malaysia berikutan ianya sebuah filem yang terlalu berseni dan anda mampu membilang hanya beberapa belas dialog sahaja yang kedengaran di dalam filem ini. Selebihnya ia banyak bermain dengan pergerakan tubuh, reaksi wajah, permainan emosi serta props dan pencahayaan yang memenuhi 90 peratus adegan filem ini. Namun, bagi kami ia adalah sebuah filem yang sangat berkualiti dan berjaya menarik perhatian kami untuk memberikan penilaian yang tinggi terhadap filem dari negara seberang ini.


Filem ini sebenarnya mengangkat sebuah tema yang sangat berat dan universal iaitu berkaitan trauma terhadap kesan seksual yang dialami oleh seorang wanita bernama May yang menjadi mangsa rogol oleh sekumpulan lelaki asing yang tidak dikenalinya ketika remaja yang riang ini baru berusia 14 tahun. Jadi, pada permulaan filem ini sahaja sudah cukup menunjukkan sisi berbeza yang dialami oleh May daripada seorang gadis yang gembira sewaktu berada di pesta ria Funfair dan bertukar kepada seorang gadis yang terus menjauhi dirinya daripada dunia luar sambil diselubungi ketakutan yang sangat dasyat. Ianya menjadi sangat menarik apabila melihat May tetap tidak mahu keluar daripada rumah walaupun rumahnya berkemungkinan besar terbakar dan dia semestinya akan mati rentung. Ini membantu penonton untuk merasai sendiri betapa sakit dan terseksanya gadis ini selepas kejadian tersebut.


Kami menyukai filem 27 Steps of May apabila kisahnya bijak menimbulkan persoalan-persoalan misteri berkaitan May terhadap penonton. Kami sendiri pada mulanya tertanya-tanya tentang kekerapan May menggores bahagian tangannya saat dia betul-betul tertekan atau ketakutan. Kemudian, kami tertarik untuk melihat makanan-makanan yang dimakan May dimana ia sama sekali berbeza dengan ayahnya. Hal ini menarik kerana makanan May segalanya berwarna putih iaitu nasi, tauhu, taugeh dan telur rebus. Perkara ini kemudian seperti berhubung kait dengan pakaian May sendiri dimana warna-warna yang dipilihnya semua adalah warna yang lembut dan cerah. Begitu juga tentang bahagian rambutnya dimana kami telah dipertontonkan dengan rambut May yang diikat pada bahagian atas serta rambut May yang dilepaskan dimana kedua-dua perkara ini sebenarnya ada hubung kait dengan emosi dirinya. Semua persoalan ini sebenarnya sangat menarik dan anda akan mendapat jawapannya pada babak-babak akhir filem ini.


Mencipta watak Bapa sebagai satu-satunya watak yang dekat dengan May di dalam filem ini juga adalah satu keputusan yang bijak. Kami yakin ramai mengetahui bahawa majoriti insan bernama bapa adalah sukar untuk meluahkan emosi mereka secara berdepan dengan anak tetapi ia bukan bermaksud mereka tidak menyayangi atau mengasihi anak. Hal ini dilihat menarik apabila babak-babak di meja makan berlangsung dalam keadaan yang sangat sunyi tanpa sebarang komunikasi lisan yang berlaku melainkan bunyi sudu yang berlaga dengan pinggan. Secara tidak langsung, hal ini menunjukkan dengan jelas betapa bapa May berasa bersalah kerana dia percaya sebagai seorang bapa dia gagal melindungi May daripada mengecapi hidup yang sempurna lalu melepaskan rasa bersalah, marah, geram dan kecewanya itu di gelanggang tinju. Menarik untuk melihat bagaimana perbezaan bapa May sewaktu di rumah dan juga di gelanggang tinju. Lebih mengujakan apabila babak-babak di gelanggang tinju juga sentiasa berakhir dalam keadaan yang tidak dijangka sama ada bapa May menjadi betul-betul gila membelasah musuh atau menjadi lembik saat bahagia melihat perubahan May yang ke arah positif walau sedikit. Permainan emosi dan psikologi di dalam filem ini bagi kami cukup hebat dan ia sampai kepada jiwa kami saat menonton filem ini.


Menjadi filem ini bertambah misteri dan berseni apabila wujudnya ahli silap mata yang tinggal bersebelahan dengan bilik May. Pada awalnya, ia membuatkan kami tertanya-tanya adakah ini cuma sekadar imaginasi May namun ada beberapa babak yang akhirnya membantu kami untuk menyatakan bahawa ahli silap mata tersebut sememangnya wujud dan betul-betul membantu May untuk keluar daripada sinar kegelapan yang menyelubunginya selama 8 tahun. Satu perkara menarik tentang watak ahli silap mata ini ialah kami dipertontonkan tentang ahli silap mata yang membuat pelbagai helak magik namun menggunakan teknik-teknik tertentu. Secara logiknya ialah ahli silap mata sebenarnya menipu dengan helah-helah bagi memperdaya penonton untuk terpesona dengan penipuan mereka. Namun, dari satu segi ahli silap mata ini akhirya telah berjaya mencipta magis yang asli apabila lelaki tersebut berjaya menyedarkan May tentang kehidupan yang sepatutnya dilalui tanpa perlu lagi ada rasa bimbang dan takut pada diri. Menarik untuk melihat bagaimana permainan kamera yang bermain di sebalik lubang besar yang menjadi penghubung antara May dan ahli silap mata tersebut. Secara keseluruhannya, 27 Steps of May merupakan sebuah filem yang perlu disaksikan oleh pencinta filem seni kerana kehebatannya di dalam menyampaikan kesan trauma yang dialami oleh mangsa rogol dan bagaimana mangsa menghadapinya keseorangan sebelum berjaya keluar daripada kegelapan dengan jayanya.


Jadi, selamat menonton filem 27 Steps of May dan sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Animasi Yang Dinanti Ramai Iaitu The Lion King! Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan