Review Filem Angel Has Fallen


Filem:
Angel Has Fallen

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Ric Roman Waugh

Genre:
Aksi

Pelakon:
Gerard Butler, Morgan Freeman, Jada Pinkett-Smith, Lance Reddick,
Tim Blake Nelson, Piper Perabo, Nick Nolte& Etc.

Tarikh Tayangan:
22 Ogos 2019

Pengedar:
Oneworld Alliance Film Sdn. Bhd.

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan dua tahun selepas sejak serangan besar-besaran pengganas di London, Mike Banning kini mendapati dirinya berdepan dengan ancaman baru. Dia dalam pelarian dari agensinya sendiri dan FBI selepas diperangkap untuk satu cubaan membunuh Presiden. Bukan itu sahaja, dia juga membongkar ancaman baru pengganas yang mensasarkan Air Force One. Saksikan filem aksi yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 22 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan untuk menghadiri tayangan filem Angel Has Fallen bertempat di GSC Mid Valley pada 20 Ogos 2019 yang lepas. Memandangkan kami sememangnya telah menonton dua siri filem ini yang terdahulu iaitu Olympus Has Fallen dan London Has Fallen, semestinya filem ketiga yang merupakan trilogi penamat filem ini amat kami nanti-nantikan untuk melihat bagaimana kisah Mike Banning ditamatkan. Pada kami, filem aksi ini sememangnya memuaskan hati menerusi aksi-aksi yang dipaparkan dimana filem Angel Has Fallen sangat padat dengan elemen-elemen tersebut.


Jika dipandang daripada sudut jalan ceritanya, jangan mengharapkan sesuatu yang lebih kerana kisahnya sememangnya klise dan sudah boleh diramal kesudahannya dengan mudah. Seperti mana kisah Mike Banning pada siri filem-filem sebelum ini, filem ini juga tidak lari daripada memaparkan beberapa perkara yang sama. Cuma sedikit kelainan ialah Mike Banning kini dijadikan sebagai kambing hitam dengan tuduhan cuba membunuh presiden Amerika Syarikat. Jadi, filem Angel Has Fallen ini sebenarnya lebih kepada mempertaruhkan babak-babak aksi yang sememangnya dihasilkan dengan cantik dan memukau untuk memuaskan hati peminat setia trilogi filem ini yang sememangnya menyukai, menggilai dan menantikan aksi-aksi padu daripada pelakon utamanya iaitu Gerard Butler.


Sekali lagi kami nyatakan, kekuatan utama filem Angel Has Fallen ialah babak-babak aksinya yang sangat menarik perhatian pada kali ini. Seperti mana yang anda dapat lihat di dalam trailer filem ini sendiri, babak serangan menggunakan ratusan dron yang dikawal secara kamikaze adalah salah satu babak yang sememangnya cukup menambat hati kami kerana ianya adalah sesuatu yang baru serta berjaya menimbulkan rasa cemas dan ngeri kepada kami yang menonton apabila terbayangkan jika benar adanya serangan menggunakan dron sebegini rupa. Selain itu, babak-babak tembakan, tikam menikam serta letupan juga boleh dikatakan berjaya dihasilkan dengan baik dimana setiap adegan yang memaparkan visual-visual ini benar-benar meyakinkan dan menghiburkan untuk ditonton oleh kami yang meminati filem bergenre aksi sebegini. Jika anda inginkan babak-babak aksi yang maksimum, filem ini adalah salah satu pilihan yang tepat untuk anda tonton pada minggu ini.


Namun, satu perkara yang agat mengejutkan kami apabila melihat kepada beberapa adegan yang menggunakan kesan khas CGI. Sebagai sebuah filem dari Hollywood yang dibarisi oleh barisan pelakon hebat, ia adalah satu kejutan serta kegagalan yang memalukan apabila melihat babak-babak letupan serta kehancuran bangunan yang dihasilkan seperti beberapa filem Melayu yang berbaget rendah. Kesannya nampak sangat tidak kemas dan adakala melucukan kerana ia langsung tidak kelihatan realistik. Syukur kerana adegan tersebut berlangsung secepat yang mungkin dan kelemahan ketara ini berjaya ditutupi oleh elemen-elemen aksi yang menarik dan berkualiti. Agak merugikan sebenarnya apabila melihat dua siri filem ini yang terdahulu lebih menarik teknik CGI nya berbanding filem ketiga ini.


Menyentuh tentang keseluruhan filem ini, momentum penceritaannya ada turun naik dimana pada babak awal ia kelihatan sedikit meleret namun kemudian ia berubah kepada pergerakan konflik yang lebih pantas seperti yang dijangka. Kisah ceritanya biasa-biasa sahaja. Ada mesej-mesej menarik berkaitan kesetiaan, patriotik, kekeluargaan dan tidak lupa juga elemen-elemen propaganda yang merupakan kebiasaan di dalam filem-filem Amerika apabila melibatkan Rumah Putih dan Presiden mereka. Walaupun tidak dinafikan filem ini sememangnya menampilkan jalan cerita yang klise tetapi elemen aksi merupakan penyelamat besar yang membuatkan filem ini menghiburkan untuk ditonton daripada awal sehingga akhir filem. Sebuah filem aksi yang menarik untuk anda tonton pada minggu dan juga sebagai pelengkap buat anda yang telah mengikuti filem Olympus Has Fallen dan London Has Fallen.


Jadi, selamat menonton filem Angel Has Fallen di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 22 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini? Nantikan!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Yaaaa apa yang Hans cerita tu sama apa yang Sis rasa bila dapat nengok citenya semalam tghri ..suka sound effect dia, lebih-lebih Sis nengok dalam panggung baru tu hehehe.
    Cuma nak menulis tentang review moview ni tak pandai, so nanti Sis copy link entri ni untuk rujukan ke blog Hans ya..Sis nak update nanti pasal Emperor Cinemas tu ..

    BalasPadam