8/08/19

Review Filem The Divine Fury


Filem:
The Divine Fury

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Kim Joo-Hwan

Genre:
Aksi & Seram

Pelakon:
Park Seo-Joon, Ahn Sung-Ki, Woo Do-Hwan & Etc.

Tarikh Tayangan:
15 Ogos 2019

Pengedar:
ATriNaga Sdn Bhd

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Yong-Hoo yang telah kehilangan ayahnya akibat kematian dalam sebuah kemalangan semasa zaman kanak-kanaknya. Ini menyebabkan Yong-Hoo hilang kepercayaan terhadap orang lain. Dia membesar menjadi seorang juara seni mempertahankan diri dan apabila dia bertemu Sami An, dia menerima kuasa luar biasa bagi menentang kuasa kejahatan yang kuat. Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 15 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak ATriNaga Sdn Bhd untuk menghadiri tayangan filem The Divine Fury bertempat di TGV Cinemas Sunway Pyramid pada Ogos 2019 yang lepas. Ini adalah filem ketiga yang kami tonton pada hari yang sama dimana sebelum itu kami telah selesai menonton filem Warkah dan Line Walker 2: Invisible Spy pada sebelah pagi dan petangnya. Alhamdulillah filem The Divine Fury merupakan sebuah naskah yang tidak mengecewakan sebaliknya berjaya membawa kami melihat sendiri berkaitan kisah mistik serta kepercayaan, pandangan serta identiti kisah seram masyarakat Korea Selatan sendiri.


Filem The Divine Fury ini memaparkan kisah Yong-Hoo yang tidak mempercayai Tuhan setelah kehilangan ayahnya selepas puas dirinya berdoa meminta agar ayahnya diselamatkan daripada kematian. Jadi, sekali pandang filem ini mengingatkan kami kepada karya tempatan berjudul Munafik dimana ia bermain dengan kisah keagamaan yang diselangi dengan elemen seram. Namun, jangan risau kerana filem ini sama sekali tidak seiras atau mempunyai plot penceritaan yang sama seperti filem Munafik bahkan kisahnya tentang kepercayaan kepada Tuhan itu amat menarik perhatian kami untuk menontonnya sehingga ke akhir kisah. 


Walaupun ada beberapa bahagian di dalam filem The Divine Fury ini kelihatan longgar dan berlubang namun ia telah diselamatkan oleh beberapa elemen lain yang tampak begitu cemerlang dan wujud di dalam filem aksi seram ini. Salah satunya yang kami lihat amat meyakinkan adalah sinematografi filem ini yang cukup mempesonakan dimana babak-babak yang memaparkan kegelapan sentiasa tampil membantu memberikan kesan emosi tambahan buat kami untuk merasai sendiri rasa serta elemen seram dan kepedihan yang dialami sendiri oleh watak utama filem ini iaitu Yong-Hoo. Babak-babak bayang-bayang syaitan yang terpantul di dinding sambil merobek jasad dalaman Yong-Hoo adalah salah satu adegan yang kami sangat suka kerana ia dipaparkan di dalam visual yang jelas tetapi masih berjaya meneruskan kelangsungan rasa seram filem ini pada satu tahap yang cemerlang.


Filem The Divine Fury ini menjadi bertambah menarik apabila skor bunyi yang digunakan di dalam filem ini juga kelihatan tepat kemunculannya terutama pada waktu-waktu keperluan yang menjadikan adegan-adegan cemas atau seram berjaya disampaikan dengan cukup baik sementelah teknik solekan ngeri yang diaplikasikan di dalam filem ini juga dilihat sangat memberi impak dan kelihatan sangat hidup untuk dilihat pada pandangan kami sebagai seorang penonton biasa.


Ketegangan filem The Divine Fury ini yang dibina kemas dan cantik sememangnya dilihat merupakan salah satu kekuatan utama filem ini. Namun, ianya berjaya diselaraskan dengan gabugan elemen humor yang cukup baik dimana ianya dipelopori oleh dua watak utama filem ini iaitu Yong-Hoo dan Paderi Ahn. Kami melihat walaupun unsur komedi yang dipaparkan tidak terlampau banyak tetapi ianya sudah cukup untuk membuatkan penonton tertawa setelah letih menikmati adegan-adegan gelap yang menyeramkan.


Cuma kami melihat filem The Divine Fury ini sebenarnya tidak terlalu berani untuk bermain dengan mesej yang cuba diketengahkannya secara mendalam walaupun sebenarnya karya ini boleh berbuat demikian. Mungkin disebabkan soal keagamaan sememangnya satu perkara yang sensitif maka ia lebih gemar bermain di dasar sahaja walaupun sesekali dilihat ia cuba menggali lebih dalam untuk memberi sesuatu yang lebih gelap buat penonton. Jadi, ada beberapa babak yang sepatutnya boleh memberi impak kelihatan terbazir begitu sahaja dimana salah satu contoh yang boleh dilihat ialah pada babak Yong-Hoo bertemu bomoh yang sepatutnya mampu melangkah lebih jauh daripada apa yang dipaparkan di dalam filem ini.


Tetapi, apabila berbicara tentang elemen seram, filem The Divine Fury ini dilihat begitu cemerlang pada sudut ini. Kami sangat terpegun melihat babak seorang kanak-kanak yang dirasuk serta bagaimana barisan rahib yang berada di dalam bilik gelap cuba memulihkan kanak-kanak tersebut. Ia adalah satu adegan yang cukup menarik di dalam filem ini yang mampu membuatkan bulu roma anda meremang buat seketika. Selain itu, elemen seram ini dapat dilihat di dalam banyak adegan lain yang pada hemat kami ianya sangat berbaloi untuk tontonan para peminat filem seram diluar sana. Secara keseluruhan, filem The Divine Fury merupakan sebuah filem aksi seram yang pada kami menarik, penuh adegan cemas dan sesekali ia cuba mengusik tentang kepercayaan terhadap agama dan Tuhan walaupun tidak menyampaikannya terlampau dalam.


Jadi, selamat menonton filem The Divine Fury di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 15 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Dora And The Lost City Of Gold. Nantikan Ulasannya!

2 ulasan:

  1. Aku setuju dgn 7/10 tu..

    Ada masa2 tertentu, nampak hero ni iras2 Kang Gary pun ada..hahaha

    Ada part2 yg kelakar..tp aku geram betul dgn segelintir penonton yg dok bantai gelak wpun tak ada apa2 benda yg lawak..haishhh..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha
      hero nih hensem berganda-ganda dari Kang Gary lah
      adoi...asal ada penonton ketawa tu? dia faham bahasa korea kut

      Padam