Filem:
Dora And The Lost City Of Gold
Penilaian:
6/10
Pengarah:
James Bobin
Genre:
Komedi & Keluarga
Pelakon:
Isabela Moner, Eugenio Derbez, Michael Pena, Eva Longoria, Danny Trejo & Etc.
Tarikh Tayangan:
8 Ogos 2019
Pengedar:
United International Pictures
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang anak gadis bernama Dora yang sudah biasa meneroka hutan. Tetapi, kini dia perlu berdepan dengan persekitaran baru iaitu sekolah tinggi. Dia kemudian mendapat rakan baru yang kebanyakkan daripada mereka sukar untuk menerima sikap Dora yang dirasakan terlalu aneh. Pada suatu hari, Dora serta sepupunya Diego dan dua orang rakan mereka telah diculik oleh sekumpulan penjahat yang sedang mencari harta karun di sebuah kawasan tersembunyi Parapatha yang merupakan lokasi tamadun Inca. Jadi, mereka memerlukan Dora untuk menjejak ibu bapanya sekali gus menjumpai kawasan harta karun tersebut. Apakah nasib Dora, Diego dan rakan-rakannya selepas itu? Mampukah misteri kehilangan tamadun Inca diselesaikan oleh mereka? Saksikan filem yang menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 8 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.
Ulasan:
Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Dora And The Lost City Of Gold bertempat di Amerin Cineplex, Seri Kembangan pada 8 Ogos 2019 yang lepas. Kami sememangnya menanti-nantikan filem ini memandangkan kami sebelum ini membesar dengan menonton siri animasi Dora The Explorer yang telah dialih bahasa dan ditayangkan di sebuah saluran televisyen swasta Malaysia sejak tahun 2000 lagi. Jadi semestinya nama-nama watak seperti Dora, Diego, Boots dan Swiper sentiasa bermain di ingatan kami. Maka persoalan utama kami sebelum menonton filem ini ialah adakah pihak produksi masih akan mengekalkan daya tarikan yang ada pada siri animasinya atau betul-betul mengubah plot cerita untuk disesuaikan dengan layar perak.
Apabila permulaan filem Dora And The Lost City Of Gold ini dimulakan dengan babak animasi serta lagu tema sirinya yang memaparkan hubungan rapat antara Dora dan Diego, kami melihat ia sebagai satu tindakan yang bijak untuk mendekatkan dan mengingatkan penonton dengan watak animasi ini sekali gus berjaya membuatkan kami tersenyum sendiri mengimbau kembali nostalgia sewaktu kecil. Secara mudahnya, filem ini berkisarkan tentang pengembaraan watak Dora yang menghadapi tiga konflik utama. Pertamanya ialah bagaimana Dora perlu menyesuaikan diri di dalam suasana sekolah dari segi cara pergaulan, tindakan dan komunikasi yang betul. Kami tertarik dengan satu adegan antara Dora dan neneknya dimana Dora menyatakan dia rasa sunyi walaupun dikelilingi ramai orang di sekolah tetapi tidak merasa sedemikian sewaktu berada di hutan sewaktu bersama dengan monyetnya bernama Boots. Konflik kedua ialah apabila Dora gagal berhubung dengan ibu bapanya yang membuatkan dirinya risau tentang status keluarganya itu sebelum ianya beralih kepada penculikan Dora dan rakan-rakannya oleh sekumpulan penjahat yang ingin mencari harta karun di kawasan Parapata. Konflik ketiga semestinya ialah pengembaraan sebenar Dora bersama sepupu, rakan-rakan serta monyetnya yang berhadapan dengan pelbagai caraban yang tidak diduga.
Kami melihat filem Dora And The Lost City Of Gold ini ada pasang surutnya dari sudut momentum penceritaan. Adakalanya ia bergerak pantas namun adakalanya ia berubah menjadi terlalu perlahan serta meleret. Walaupun kami akui plot penceritaan serta jalan cerita yang dipaparkan terlalu ringkas dan mudah difahami, namun gelagat watak Boots dan Swiper sememangnya berjaya mencuri perhatian kami. Selain itu, gaya wajib Dora iaitu menyanyi dan berinteraksi dengan penonton turut dikekalkan pada beberapa adegan yang membuatkan sedikit sebanyak kami cukup terhibur dengan gaya penceritaan yang digunakan di dalam filem ini.
Kelemahan ketara yang kami lihat jelas terserlah di dalam filem Dora And The Lost City Of Gold ini ialah kualiti animasi yang agak rendah pada watak Boots dan Swiper. Kami melihat hasil grafik kedua-dua watak ini kelihatan terlalu bersifat animasi dan tidak dapat menyatu dengan baik bersama watak-watak manusia yang berada bersama dengan mereka dalam beberapa adegan. Selain itu, persembahan lakonan yang diberikan oleh para pelakon utamanya juga adakala dilihat terlalu mencuba untuk kelihatan selamba dan menyamai watak siri animasi sehingga menyebabkan ada beberapa adegan yang kelihatan kurang memuaskan dan nampak pelik. Babak akhir yang memaparkan kemunculan beberapa watak yang merupakan masyarakat tamadun Inca juga dilihat seperti terlalu tergesa-gesa tanpa memberi pembayang kepada penonton untuk mengetahui hujung pangkal puak tersebut sehingga akhirnya menyebabkan kelompongan kepada pengakhiran penceritaan filem ini.
Secara keseluruhannya, filem Dora And The Lost City Of Gold ini bukan lah sebuah karya yang benar-benar memberi kepuasan tontonan seperti yang kami harapkan. Namun, kekuatan utama yang berjaya menarik perhatian kami untuk merasa terhibur dengan naskah ini adalah kerana ia berjaya menerapkan elemen-elemen siri animasinya untuk membuatkan kami menonton filem ini sambil bernostalgia tentang kisah kehidupan lampau yang indah. Sebuah filem yang bagi kami biasa-biasa sahaja tetapi cukup untuk membuatkan kami terhibur sepanjang keseluruhan menonton filem komedi kekeluargaan ini.
Jadi, selamat menonton filem Dora And The Lost City Of Gold di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 8 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Tamil Yang Cukup Menarik Berjudul Nerkonda Paarvai. Nantikan Ulasannya!
0 Ulasan