Filem:
Nerkonda Paarvai
Penilaian:
9/10
Pengarah:
H. Vinoth
Genre:
Jenayah & Ngeri
Pelakon:
Ajith Kumar, Shraddha Srinath, Vidya Balan & Etc.
Tarikh Tayangan:
8 Ogos 2019
Pengedar:
MSK Film Production Sdn Bhd
Sinopsis:
Filem ini merupakan sebuah filem yang dihasilkan semula berdasarkan sebuah filem Bollywood berjudul Pink lakonan Amitabh Bachchan. Filem ini mengisahkan seorang pesara peguam yang cuba membersihkan nama tiga orang wanita muda selepas mereka didakwa terbabit dengan sebuah kes jenayah oleh sekumpulan lelaki berpengaruh. Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 8 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.
Ulasan:
Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Nerkonda Paarvai bertempat di Amerin Cineplex, Seri Kembangan pada 8 Ogos 2019 yang lepas. Nerkonda Paarvai merupakan sebuah filem yang dibikin semula daripada filem Bollywood berjudul Pink. Kami tidak pernah menonton filem tersebut jadi kami tidak tahu adakah filem ini mempunyai persamaan yang ketara atau sebaliknya. Namun, apa kami yakin dan percaya ialah filem Nerkonda Paarvai ini berjaya menawarkan kami satu pengalaman menarik saat menonton jalan ceritanya yang menampilkan susunan frasa dialog yang sungguh bijak dan berfalsafah.
Filem Nerkonda Paarvai ini cukup menarik pada kami apabila ia berani menyentuh soal hierarki serta patriaki yang berlaku di India dengan gaya yang cukup bijak dan memberi impak yang besar kepada kemajuan filem ini. Kami kagum melihat bagaimana perbandingan antara lelaki dan wanita yang disebut di dalam filem ini yang menempelak dengan rakusnya pemikiran sebahagian besar masyarakat disana dan juga masyarakat dunia secara amnya. Sebagai contoh, filem ini membicarakan tentang beberapa perkara yang jarang disentuh, tidak berani disentuh atau tergolong di dalam perkara yang taboo seperti kenapa golongan wanita dinilai dan dihakimi berdasarkan cara pemakaian, sejarah hubungan kelamin, waktu diri mereka pulang ke rumah serta cara mereka memberi reaksi kepada orang lain melalui senyuman.
Gaya penceritaan filem Nerkonda Paarvai ini juga sangat menarik buat kami dimana pada bahagian pertama filem ini, ia dimulakan dengan adegan-adegan yang terpotong dan tidak bersambung antara satu sama lain yang berjaya membuatkan penonton pada awalnya berasa tertanya-tanya sehingga sentiasa menimbulkan rasa ketegangan yang betul-betul mendebarkan. Kemudian, elemen-elemen emosi mula disuntik masuk untuk membuatkan kami sebagai penonton berasa risau melihat pelbagai ancaman yang terpaksa dihadapi oleh tiga orang gadis yang dituduh cuba mencederakan dan membunuh seorang lelaki yang berprofil tinggi. Kemudian suntikan emosi seterusnya yang berjaya membuatkan anda tergamam, terkejut dan berasa geram dengan watak-watak lain yang berada berdekatan dengan tiga watak utama ini juga menarik untuk dikupas. Sebagai contoh bagaimana sikap polis lelaki yang tidak mempedulikan laporan gadis-gadis ini dan ianya menjadi lebih menarik apabila polis wanita juga tidak bersikap melindungi kaum sejenisnya sendiri. Hal ini berjaya dipaparkan dengan cukup baik selepas itu apabila ianya dibentangkan di dalam mahkamah yang membuatkan anda berasa puas tentang perdebatan berkaitan hal ini. Lebih menarik juga untuk melihat bagaimana filem ini bijak mempotretkan pemikiran dan pandangan masyarakat biasa yang lebih suka menghukum tanpa usul periksa berbanding dengan berdiam diri. Hal ini pun berjaya disentuh dengan baik dan membuatkan filem ini kelihatan begitu gah di dalam mengkritik hati-hati hitam manusia yang sentiasa bersangka buruk.
Filem Nerkonda Paarvai bertambah mengagumkan apabila tiba pada bahagian kedua yang lebih banyak bermain di dalam latar mahkamah dimana dapat dilihat bagaimana sesi pertikaman lidah antara peguam, saksi, tertuduh dan si penuduh telah berjaya memacu filem ini ke hadapan tanpa langsung menoleh ke belakang. Setiap urutan adegan di dalam mahkamah ini berjaya dihasilkan dengan cemerlang dan tunjang kekuatannya dapat dilihat kepada kekuatan skrip para pelakonnya yang cukup seimbang, ada gaya dan identiti tersendiri serta paling penting ianya sangat hidup dan punya jiwa untuk membuatkan anda menerima dan mempercayainya dengan sepenuh hati. Menarik untuk melihat bagaimana peguam si pendakwa yang cuba sehabis mungkin untuk menjadikan tiga orang gadis ini bakal dipandang hina oleh orang awam dan bagaimana peguam pembela iaitu Bharat yang mempunyai masalah bipolar dengan gaya tersendiri dan menggunakan sepenuh kebijaksanaannya untuk melindungi dan menyelamatkan wanita-wanita tersebut daripada terus dimalukan dan diaibkan. Satu perkara yang sehingga kini sangat menarik perhatian kami apabila watak Bharat memberikan penerangan tentang maksud serta kebenaran sebenar apabila wanita mengatakan tidak apabila diajak untuk melakukan hubungan seksual yang tidak sah taraf. Hujah-hujah yang diutarakan sebenarnya mudah tetapi sangat kukuh sehingga membuatkan kami sesekali terasa ingin bersorak menunjukkan sokongan kami kepada setiap fakta yang dihujah oleh watak Bharat lakonan Ajith Kumar ini.
Lakonan yang diberikan oleh setiap pelakon yang terlibat di dalam Nerkonda Paarvai sememangnya membanggakan dan mantap. Ajith Kumar berjaya memberikan pesona tersendiri kepada watak Bharat, seorang peguam bipolar yang penuh dengan pelbagai emosi dan reaksi yang menyesakkan jiwa. Begitu juga dengan tiga pelakon wanita yang merupakan bintang utama kisah ini iaitu Shraddha Srinath, Abhirami Venkatachalam dan Andrea Tariang yang berjaya memberikan persembahan serta prestasi lakonan yang cukup mengagumkan. Setiap adegan yang memerlukan mereka untuk memberikan reaksi segera sama ada dari segi gerak tubuh, emosi mahu pun lontaran suara berjaya dilakukan dengan baik sehinggakan ianya memberi kesan yang cukup baik buat kami sebagai penonton untuk mempercayai setiap kesakitan, kecelaruan, ketegangan dan ketakutan ketiga-tiga watak ini. Belum lagi dilihat kepada watak-watak antagonisnya yang berjaya membuatkan kami rasa begitu geram dengan hujah-hujah mereka yang menjengkelkan. Secara keseluruhan, sememangnya setiap pelakon sama ada pelakon utama, pembantu mahu pun sokongan berjaya memberikan jiwa dan roh kepada watak-watak yang dipegang mereka untuk menjadikan filem Nerkonda Paarvai sebagai satu naskah yang sangat gah dan hidup.
Cuma jika disentuh tentang kelemahan, ada satu perkara yang pada kami kurang jelas iaitu tentang keperluan untuk mewujudkan babak romantis sebagai jawapan timbal balas kepada punca watak Bharat menghidap bipolar dimana kami merasakan ia adalah babak paling lemah yang dapat ditemukan di dalam filem ini sehingga kami merasakan babak ini sepatutnya tidak perlu diwujudkan kerana ia tidak memberi impak seperti yang diharapkan. Namun, secara keseluruhannya filem Nerkonda Paarvai ini telah membuktikan bahawa ia adalah sebuah filem pembikinan semula yang sangat baik dimana ianya sentiasa konsisten di dalam mengekalkan elemen-elemen penting yang sentiasa berjaya memberikan debaran dan mencengkam perhatian penonton sepanjang filem ini berlangsung. Antara filem Tamil yang wajib anda tonton pada bulan Ogos ini!
Jadi, selamat menonton filem Nerkonda Paarvai di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 8 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Apa Pula Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini? Nantikan!
0 Ulasan