8/08/19

Review Filem Warkah


Filem:
Warkah

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Opie Zami

Genre:
Drama

Pelakon:
Namron, Syazwan Zulkifli, Isyariana, Mohd Wafiy, Puteri Rayyana Rayqa & Etc.

Tarikh Tayangan:
15 Ogos 2019

Pengedar:
Empire Film Solution

Sinopsis:

Filem ini merupakan sebuah adaptasi kisah benar mengenai seorang remaja yang mengirimkan surat kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO). Ikmal seorang pelajar cemerlang yang berdepan dilema antara melanjutkan pelajaran dan membantu keluarganya selepas bapanya lumpuh akibat kemalangan. Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 15 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak Empire Film Solution untuk menghadiri tayangan media filem Warkah bertempat di MMcineplexes eCurve, Mutiara Damansara pada Ogos 2019 yang lepas. Untuk pengetahuan anda semua, filem ini merupakan sebuah adaptasi kisah benar yang bermula daripada kiriman sepucuk surat oleh seorang remaja bernama Ikmal kepada Ketua Eksekutif PERKESO, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Bin Dato’ Aziz Mohammed yang menzahirkan rasa syukur serta berterima kasih atas bantuan dan jasa baik PERKESO di dalam membantu kehidupan keluarganya sehingga dia berjaya memperoleh kejayaan dalam pelajarannya apabila dapat belajar dan menetap di asrama sebuah sekolah elit.


Filem Warkah dibintangi oleh nama-nama pelakon yang hebat dan dikenali ramai iaitu Namron, Syazwan Zulkifli, Isyariana, Mohd Wafiy dan Puteri Rayyana Rayqa. Melihat kemunculan Namron sahaja sudah memberikan bayangan buat sesiapa sahaja yang menonton termasuk kami bahawa naskah ini pasti ada sesuatu yang menarik dan unik untuk diperkatakan. Jika dilihat kepada persembahan lakonan dan penjiwaan watak para pelakonnya, tidak dinafikan mereka semua berjaya memberikan persembahan yang cukup hidup, punya jiwa, meyakinkan dan kelihatan bersahaja untuk membuatkan kami sebagai penonton merasa dekat dengan setiap watak-watak ini.


Namun, satu kelemahan yang ketara kami lihat dan rasai sendiri sewaktu menonton filem ini ialah berkaitan momentum penceritaannya yang agak perlahan. Walaupun motif utama berkaitan mesej atau nilai-nilai murni yang cuba diketengahkan ini sampai kepada kami yang menonton tetapi ianya berlangsung di dalam keadaan yang lambat atau bahasa mudahnya draggy. Hal ini begitu ketara dirasai pada separuh pertama bahagian filem ini berlangsung. Kami memahami filem Warkah ini bergenre drama dan tidak salah jika momentum penceritaanya perlahan namun ia sepatutnya perlu diperkuatkan dengan pemilihan rakaman-rakaman pemandangan, objek atau apa yang menarik dan mampu mencetuskan subteks tersendiri agar ianya tidak kelihatan seperti terlalu membazir masa dan nampak sia-sia.


Menyentuh berkaitan sinematografi filem ini pula, kami sangat menyukai beberapa babak yang memaparkan tentang keadaan alam semula jadi yang pada kami begitu indah dan menawan. Pemilihan visual-visual laut dan pantai dilihat berjaya menyambung emosi para watak yang terlibat pada beberapa filem ini sehinggakan kami merasai sendiri rasa kepedihan, kesunyian mahu pun kesedihan melalui warna jingga sang mentari mahu pun limpahan air laut di kawasan pantai. Elemen ini dilihat sangat bertepatan dengan penceritaan filem Warkah ini sendiri.


Filem Warkah ini sebenarnya berpotensi besar untuk menjadi lebih menarik dan memberi impak kepada penonton. Namun satu perkara yang kami sedar menjadi beban kepada filem ini ialah kisah-kisah setiap wataknya yang disumbat di dalam satu naskah yang kesempitan ruang dan waktu sehingga menjadikan segala-galanya kelihatan seperti sebuah kisah yang mendatar tanpa ada sebarang galian untuk melihat ke lubuk paling dalam sekali. Kisah-kisah ini juga menyebabkan kami sendiri kurang pasti apakah kisah utama yang filem ini cuba sampaikan kepada penonton. Kami melihat hal ini sebagai satu isu utama kerana pada awalnya kami diyakinkan bahawa kisah utama filem ini ialah memberi fokus kepada kanak-kanak lelaki yang menulis warkah ini iaitu Ikmal. Kemudian, kami dipertontonkan dengan hubungan Ikmal bersama ayah dan adiknya sebelum filem ini kelihatan mula beralih arah memberi penekanan kepada hubungan watak Sufi dan Cikgu Nur. Jadi, kami melihat hal ini sangat caca merba kerana tidak ada jawapan yang khusus pada visual filem ini untuk memberikan sebab dan jawapan terhadap perkembangan watak Ikmal ini terutama berkaitan dengan punca dan sebab meyakinkan untuk warkah tersebut ditulis, dihantar dan dikongsikan bersama pihak yang lain.


Kami akui filem Warkah banyak menyampaikan mesej-mesej menarik serta nilai-nilai murni buat para penonton dimana selain berkaitan dengan elemen kekeluargaan serta pendidikan, masalah seperti sistem MLM, budak bawah umur bekerja serta kepentingan caruman PERKESO juga berjaya dipaparkan untuk membuka mata penonton. Walaupun ianya disampaikan secara dasar tetapi sedikit sebanyak hal ini berjaya menjadikan filem ini sebagai satu medium penyampaian nasihat yang bijak. Kami mengakui pihak PERKESO merupakan pihak utama yang menaja pembikinan filem Warkah ini namun adegan-adegan komersial yang melibatkan pihak PERKESO di dalam filem ini kelihatan terlalu mengikut skrip dan terlalu mencuba. Ia menyebabkan adegan-adegan melibatkan pihak PERKESO seolah-olah sebuah iklan PSA yang sedikit membantutkan penceritaan filem Warkah ini. Namun, secara keseluruhannya filem Warkah ini berjaya membawa satu pembaharuan dari segi isi kandungan ceritanya buat industri perfilemen Malaysia dan masih berbaloi untuk ditonton.


Jadi, selamat menonton filem Warkah di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 15 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Dari Korea Selatan Berjudul The Divine Fury. Nantikan Ulasannya!

2 ulasan: