Review Filem Line Walker 2: Invisible Spy


Filem:
Line Walker 2: Invisible Spy

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Jazz Boon

Genre:
Aksi

Pelakon:
Louis Koo, Nick Cheung, Francis Ng & Etc.

Tarikh Tayangan:
8 Ogos 2019

Pengedar:
Lotus Five Star

Sinopsis:
Filem ini adalah sekuel kepada filem "Line Walker" 2016. Ia berkisar mengenai sekumpulan anggota polis yang terperangkap dalam konspirasi tentang sebuah triad yang telah mengupah perisik rahsia dalam kalangan anggota polis tersebut. Saksikan filem penuh aksi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 8 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan untuk menghadiri tayangan media filem Line Walker 2: Invisible Spy bertempat di GSC Pavilion pada Ogos 2019 yang lepas. Kami tidak pernah menonton filem pertama jadi kami tidak pasti tentang kisah asal filem ini. Cuma apa yang kami dapat tahu filem kali ini masih bertemakan persaudaraan, kesetiaan dan juga permainan identiti yang berjaya mengekalkan pelakon-pelakon asal seperti Nick Cheung, Louis Koo dan Francis Ng. Apa yang kami dapat lihat, plot penceritaan pada filem ini agak menarik, penuh drama dan mendebarkan.


Filem ini dimulakan dengan adegan yang cukup menarik dimana ia bermula dengan babak seorang lelaki berjawatan tinggi yang membawa kereta selaju mungkin dan kemudian dengan sengaja melanggar orang awam yang lalu-lalang sebelum mengambil keputusan membunuh diri dengan mengelar lehernya sendiri. Daripada perkara ini kemudian terbongkar satu demi satu kisah jenayah yang memberi fokus kepada kisah pemerdagangan manusia dimana mangsa-mangsanya terdiri daripada kanak-kanak yang kemudiaannya dididik dan dilatih untuk menjadi ejen pihak pengganas bagi menyusup masuk ke dalam organisasi polis di seluruh dunia termasuk negara Hong Kong. Apa yang menjadikan kisahnya lebih menarik ialah apabila filem ini berjaya menimbulkan persoalan serta pelbagai andaian apabila pembayang diberikan berkenaan salah seorang daripada tiga watak utama filem ini iaitu Yip, Cheng dan Ching merupakan salah seorang yang telah diculik dan dibesarkan oleh pihak pengganas pada zaman kecilnya.


Filem Line Walker 2: Invisible Spy ini juga dilihat berjaya membawa elemen persahabatan serta persaudaraan dengan cukup baik kerana hal ini telah diberikan penekanan dengan cukup hebat melalui penggunaan mainan Rubik Cube sebagai simbolik kepada perkara ini. Simbolik ini berjaya dimanfaatkan dengan baik di dalam kebanyakkan adegan yang menjadikan watak-watak utama yang terpisah mampu mengenali kembali antara satu sama lain. Selain itu, kami melihat pembinaan kisah setiap karakter utama juga adalah cemerlang dimana tidak ada watak yang kehilangan punca pada sepanjang penceritaan ini. Salah satu lagi perkara yang boleh dikatakan sangat cemerlang yang kami dapati pada filem Line Walker 2: Invisible Spy ini ialah elemen aksi serta koreografer yang memang memukau pandangan mata. Bermula pada awal babak filem ini lagi sebelum ianya lebih mengasyikkan pada babak-babak aksi tembak menembak, kejar mengejar dan berlawan yang berlaku di dua buah bandar besar iaitu di Myanmar dan Sepanyol. Hal ini telah memberi satu bentuk kepuasan buat sesiapa yang meminati elemen aksi yang bukan sahaja sangat padat tetapi ianya berjaya dilihat berlaku di dalam keadaan yang cukup semula jadi dan begitu meyakinkan di layar perak.


Cuma apa yang membuatkan kami rasa sedikit terganggu berkenaan filem ini ialah pada pengakhiran kisahnya yang terlalu mempertaruhkan penggunaan imej janaan komputer atau CGI yang berlebihan serta elemen aksi yang terlebih dramatik. Kami melihat hal ini sangat menganggu klimaks kisah yang sebenarnya boleh menjadi lebih baik tanpa perlu terlalu berlebih-lebihan terhadap dua perkara tersebut. Anda akan memahami maksud kami selepas menonton filem ini nanti. Namun, secara keseluruhan filem ini masih berjaya menghiburkan kami dengan beberapa perubahan plot yang boleh dikatakan agak menarik serta elemen aksi yang cukup memukau terutamanya apabila ia melibatkan kawasan-kawasan bandar yang sibuk dengan manusia dan kenderaan lain. Selain daripada itu, kami melihat elemen persahabatan dan kekeluargaan di dalam filem ini juga berjaya diterapkan dan disampaikan dengan baik untuk menjadikan filem Line Walker 2: Invisible Spy kali ini sebagai sebuah filem komersial yang punyai nilai menarik untuk dipertaruhkan kepada para penonton.


Jadi, selamat menonton filem Line Walker 2: Invisible Spy di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 8 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Melayu Tempatan Berjudul Warkah. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan