7/08/19

Review Filem Parasite


Filem:
Parasite

Penilaian:
10/10

Pengarah:
BONG Joon Ho

Genre:
Drama & Thriller

Pelakon:
SONG Kang Ho, LEE Sun Kyun, CHO Yeo Jeong, CHOI Woo Shik,
PARK So Dam, LEE Jung Eun, CHANG Hyae Jin & Etc.

Tarikh Tayangan:
15 Ogos 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki muda bernama Ki-taek serta ahli keluarganya yang semuanya sedang menganggur dan bergelut untuk meneruskan kehidupan. Pada suatu hari, seorang rakan Ki-taek telah membantu beliau untuk mendapatkan kerja sebagai seorang tenaga pengajar terhadap keluarga Park yang kaya raya dan terkenal. Kejayaan Ki-taek memperoleh pekerjaan dengan keluarga Park telah mendorong ahli keluarganya yang lain untuk mula menumpukan perhatian bagi mendapatkan pekerjaan yang berpotensi di dalam kehidupan keluarga tersebut. Akhirnya, satu kejadian aneh, tidak diingini dan sukar dijangka telah melanda Ki-taek dan ahli keluarganya sehingga merubah kehidupan mereka sekeluarga. Apa sebenarnya yang berlaku? Saksikan filem wajib tonton pada tahun 2019 ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 15 Ogos 2019 untuk mengetahui jawapan serta keseluruhan kisah mereka.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak GSC Cinemas dan GSC Movies untuk menghadiri GSC Underground Screening bertempat di GSC @ 3 Damansara, Petaling Jaya pada Ogos 2019 yang lepas. Menariknya ialah filem yang ditayangkan kepada kami merupakan filem Parasite iaitu sebuah filem dari Korea Selatan yang merupakan filem pertama dari negara tersebut telah memenangi anugerah Palme d'Or pada Festival Filem Cannes 2019.


Filem Parasite ini sangat menarik perhatian kerana ia membawakan sebuah mesej yang sangat menarik dimana secara mudahnya ia memberitahu penonton maksud sebenar ayat 'Matlamat Tidak Menghalalkan Cara'. Sewaktu ramai penonton sedang ketawa melihat bagaimana ahli keluarga Ha-Teik menipu dan memperalatkan keluarga kaya yang terlalu mudah percaya dengan mereka yang akhirnya membuatkan mereka berjaya menyingkirkan seorang demi seorang pekerja orang kaya tersebut, kami sebenarnya merasai emosi kesakitan watak-watak yang teraniaya tanpa melakukan sebarang kesalahan tersebut. Ternyata filem ini berjaya mengusik dan menyindir jiwa-jiwa yang sakit akibat ketawa tadi untuk kembali tersentap dengan mesej yang cuba disampaikan di dalam filem ini.


Salah satu perkara yang sangat menarik di dalam filem ini ialah ia membicarakan tentang kitaran kehidupan dan bagaimana setiap manusia itu sanggup melakukan sebarang cara sama ada halal atau haram mahu pun baik atau buruk demi meneruskan kelangsungan hidup. Kami melihat filem ini sangat ikhlas dan bersifat lutsinar di dalam membicarakan perihal jiwa-jiwa manusia yang tersepit antara kepentingan, kemahuan dan ketamakan. Jadi, apabila filem ini berjaya menampilkan gabungan penipuan yang sangat cemerlang dan kekal berada di atas garisan logik filem maka kami melihat ianya sebagai sebuah karya yang sangat unik dan kreatif. 


Sebuah filem yang hebat dan gah dapat dilihat apabila ia tidak pernah sesekali untuk cuba menyalahkan atau menghakimi sesuatu watak tersebut. Inilah yang kami lihat wujud di dalam filem Parasite ini dimana setiap watak tersebut walaupun ada sisi putih dan sisi gelapnya namun setiap tindakan yang diambil atau dilakukan dilihat mengikut aturan persekitaran yang akhirnya berjaya membuatkan kami bersikap neutral dan menerima kehendak dan penamat setiap watak-watak yang wujud di dalam filem yang hebat ini. 


Salah satu subteks yang membawa kepada simbolik filem ini ialah berkaitan dengan batu hidup. Batu hidup ini diperoleh oleh Ki-taek atas pemberian hadiah daripada rakannya dimana ia dipercayai membawa tuah dan kekayaan kepada mana-mana keluarga yang memiliki dan menyimpannya di rumah. Menarik untuk melihat objek batu hidup ini muncul di dalam dua atau tiga adegan yang cuba menyampaikan subteks tersebut tetapi di dalam keadaan yang sangat bertentangan. Ia menarik untuk diulas kerana batu hidup ini seakan-akan satu sumpahan buat keluarga yang memilikinya tetapi tersilap langkah di dalam mengatur pilihan kehidupan yang ada di depan mata. 


Selain itu, kami juga tertarik dengan elemen kekeluargaan serta pendidikan keibubapaan yang dipaparkan di dalam filem ini. Tidak mengira status, pangkat mahu pun harta malahan ianya sangat bijak mengkritik kedua-dua kategori keluarga ini di dalam hal mendidik anak dan membahagikan kasih sayang. Ianya satu perkara yang sangat menyentuh rasa apabila anda menontonnya pada bahagian kedua filem ini. Ini akan kami jelaskan di dalam ulasan ini pada masa akan datang jika ada kelapangan. 


Semestinya selain lakonan para pelakonnya yang bijak dan penuh dengan penjiwaan serta persembahan yang bernyawa, filem ini bertambah berseri disebabkan permainan plot twistnya yang bukan sekadar diadakan-adakan demi mengagumkan pemikiran penonton semata-mata. Namun ia boleh dilihat dan dinilai dari pelbagai sudut yang pada akhirnya berjaya mengusik emosi anda ke satu tahap yang anda sendiri sukar jangkakan. Kami secara peribadi sangat menyukai permainan plot sebegini. Walaupun ada sebahagiannya yang kami sudah jangkakan namun secara keseluruhan kami sangat kagum dengan hasil idea yang diterjemahkan di dalam bentuk visual ini. Pujian harus diberikan kepada penulis skrip serta pihak produksi filem ini yang mampu menjayakan filem Parasite ini dengan satu hasil karya yang segar dan meyakinkan. 


Jadi, selamat menonton filem Parasite di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 15 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


P/S : Apakah Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas? Nantikan!

6 ulasan:

  1. Aku xbaca ulasan lagi ni..saje komen dulu sbb tgk rating 10/10..teruja skjap..

    Divine fury smlm okey gak la..nk tggu brpa rating drpd ko..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe
      ulasan pun tak ada spoiler
      Divine Fury around 7 kut...best juga semalam...
      ala-ala Munafik versi Korea..hahaha

      Padam
  2. Baru pulang dari tonton film ni selepas membaca yg Hans bg perfect 10/10. Yes, memang layak dpt ulasan seperti itu dan layak memenangi anugerah tertinggi Cannes. Tak perlu budget besar dan efx hebat, yg penting plot creative dan jalan cerita tersusun. Moral yg saya dpt, kalau buat jahat, teruskan kejahatan tu, tak perlu nak jadi baik dan bersimpati, ianya memakan diri, heheh. Terima kasih Hans kerana rekemen film ini, amat puas ati...

    BalasPadam
    Balasan
    1. uishhhh lain macam moral yang awak dapat
      ngeri pula baca komen nih
      hahahaha

      Padam