28/08/19

Review Filem My Stupid Boss 2


Filem:
My Stupid Boss 2

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Upi Avianto

Genre:
Komedi

Pelakon:
Bunga Citra Lestari, Reza Rahadian, Chew Kin Wah, Iedil Putra, Atikah Suhaimie & Etc.

Tarikh Tayangan:
29 Ogos 2019

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:
Filem ini merupakan sebuah sekuel kepada filem "My Stupid Boss" 2016 yang berkisar mengenai pekerja yang tidak tahan dengan karenah majikan mereka, Bossman. Dalam sekuel ini, Bossman, Diana, Mr. Kho dan Adrian berangkat ke Vietnam demi mencari pereka fesyen baru. Namun masalah demi masalah mula timbul seperti Bossman melanggar perjanjian gaji pekerja Vietnam dan ditahan di balai polis. Sementara itu, Norahsikin dan Azahari di Kuala Lumpur perlu berdepan gangster yang mahu mengutip hutang Bossman. Saksikan filem komedi yang cukup melucukan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 29 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada pihak TGV Pictures untuk menghadiri tayangan media filem My Stupid Boss 2 bertempat di TGV One Utama pada 27 Ogos 2019 yang lepas. Kami tidak pernah menonton filemnya yang pertama namun usah khuatir kepada sesiapa yang ingin menonton filem sekuel ini kerana jalan ceritanya mudah difahami, jelas dan akan memastikan anda mengenali setiap watak ini dengan cepat dan tepat.



Filem My Stupid Boss 2 meneruskan lagi kesinambungan watak seorang bos yang digelar Bossman dimana lelaki ini mempunyai karakter aneh, pelik, sombong, hati kering dan tingkah lakunya yang mengjengkelkan adakalanya melucukan. Sememangnya kekuatan utama filem ini datangnya daripada watak utama yang dilakonkan oleh pelakon kacak Reza Rahadian yang berjaya menghiburkan penonton dengan gelagatnya yang penuh dengan unsur humor serta aneka lawak sama ada lawak bodoh, lawak slapstik atau lawak cemerlang sepanjang filem ini berlangsung. Keserasiannya Reza Rahadian dan Bunga Citra Lestari yang memegang watak sebagai Cik Kerani juga dilihat sangat berjaya dan menjadikan filem ini sangat menarik apabila melibatkan adegan-adegan di antara mereka berdua.


Filem My Stupid Boss 2 pada kami bermula dengan  momentum yang sederhana tetapi masih cemerlang di dalam menghiburkan penonton. Graf lucu ini semakin meningkat pada babak pertengahan apabila melihat pengalaman kembara mereka di bumi Vietnam yang penuh dengan pelbagai kejadian menarik yang melucukan sebelum filem ini mula dilanda dengan masalah yang tidak disangka iaitu pada babak gangster-gangster yang datang ke pejabat Bossman untuk mengutip hutang. Pada kami adegan-adegan tarian antara dua kumpulan gangster tersebut sangat mengganggu, tidak lucu dan menganggu graf filem ini yang sebelumnya cemerlang. Terdapat juga beberapa adegan yang pada kami seperti mengeksploitasikan keagamaan serta isu homeseksual namun ia masih berada di peringkat yang tidak terlalu berlebihan. Namun syukur kerana babak-babak menarik di bilik mayat kembali menyelamatkan kembali filem ini untuk ditamatkan di dalam suasana yang cukup menarik dan semestinya menghiburkan kami yang menonton filem My Stupid Boss 2 ini.


Filem My Stupid Boss 2 bukan sahaja cemerlang dari sudut lakonan para pelakon utamanya serta elemen humornya sahaja. Tetapi, kami melihat filem ini juga cemerlang dari sudut sinematografinya yang cantik. Filem ini mengingatkan kami kepada sebuah lagi filem Indonesia berjudul Milly & Mamet dimana tona warna filemnya begitu cantik dan menawan walaupun setiap latar babak-babak ini berbeza. Ia boleh dilihat di mana-mana adegan sama ada bandar, sawah padi, gua mahu pun kawasan tempat tinggal dimana visual untuk setiap babak ini adalah kemas dan sekata. Begitu juga dengan busana para pelakonnya yang walaupun aneh tetapi ia kelihatan berjaya menarik perhatian para penonton untuk bersetuju menerimanya tanpa rasa janggal. Selain itu, penggunaan lagu latar yang kebanyakannya mengambil lagu-lagu nyanyian penyanyi Malaysia seperti Dato Sri Siti Nurhaliza, Zamani serta lagu-lagu Bollywood yang digemari ramai turut memberi pengaruh besar terhadap penonton untuk menerima filem ini dengan mudah.


Kesimpulannya, walaupun filem My Stupid Boss 2 berada di dalam kategori popcorn filem pada pandangan peribadi kami namun ianya adalah sebuah filem yang sememangnya berjaya menghiburkan kami tanpa perlu disangkal lagi. Melalui elemen-elemen, perbuatan serta dialog pelik yang sukar dijangka, ianya membuatkan anda tidak bosan menonton filem ini yang telah berjaya memberi variasi dengan mengubah lawak-lawak hambar yang kami selalu lihat dan dengar kepada perkara yang sukar untuk kami jangka. Pada akhirnya, kami ketawa sepuas hati melihat telatah para pelakonnya yang mewakili orang Malaysia, Indonesia dan Singapura. Sebuah filem komedi yang berbaloi untuk sesiapa yang sukakan gabungan komedi gaya Indonesia dan Malaysia.


Jadi, selamat menonton filem My Stupid Boss 2 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 29 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Yang Dinanti Ramai Iaitu Sangkar. Nantikan Ulasannya!

4 ulasan:

  1. Suka dengan watak BCL, menghidupkan kembali cerita ni. Bossman pon sama kelakar.

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahahaha
      watak Bossman tu best dan kelakar walaupun annoying tahap langit ketujuh

      Padam
  2. Terima kasih atas ulasan anda selama ini..cuma sy sbg pengikut blog ni nk saran kpd tuan supaya menonton filem yg mempunyai sekual spt ini(ulasan sebelum ini siri siccin, angry bird dll)..baru kami sbg pembaca dpt nilaikan yg mana lebih terbaik. kipidap and dongibab.

    BalasPadam
    Balasan
    1. terima kasih kerana mengikuti blog ini.

      berkenaan cadangan anda supaya kami menonton filem-filem awal untuk sekuel, rasanya tidak perlu kerana kami tidam mempunyai banyak masa untuk menonton filem-filem terdahulu.

      lagi pun kami mengulas berkenaan filem tersebut dimana jika kami memahami sekuelnya walaupun tidak menonton filem pertama maka kami akan berkongsi pada ulasan yang ditulis.

      sekian.

      Padam