1/09/19

Review Filem Saaho


Filem:
Saaho

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Sujeeth

Genre:
Aksi & Ngeri

Pelakon:
Prabhas, Shraddha Kapoor, Jackie Shroff, Neil Nitin Mukesh,
Vennela Kishore, Murali Sharma, Arun Vijay & Etc.

Tarikh Tayangan:
30 Ogos 2019

Pengedar:
Nusantara Seni Karya Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang anggota polis yang mengumpulkan semua senjata yang dia ada dan perlu berjuang sepenuh tenaganya untuk menyelamatkan bandar serta mendapatkannya semula daripada sekumpulan penjenayah bersenjata yang telah menyebabkan kacau bilau dan membahayakan keselamatan penduduk. Saksikan filem penuh aksi yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 30 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada pihak Horizon Film untuk menghadiri tayangan istimewa filem Saaho bertempat di TGV KLCC pada 30 Ogos 2019 yang lepas. Filem Saaho sememangnya merupakan sebuah filem aksi India yang dicanang-canangkan sebagai filem aksi terbaik pada tahun 2019 dan ini membuatkan kami yang sudah lama menanti ini tidak sabar-sabar untuk melihat sendiri adakah benar ini terbaik dan menarik seperti yang diperkatakan ramai. Namun, satu perkara yang harus diakui tentang filem Saaho ini ialah ia memiliki kekuatan dari segi para pelakon yang hebat, popular dan ternama.


Filem Saaho merupakan sebuah filem yang memaparkan kisah seorang pegawai polis yang menyamar untuk menyiasat kes jenayah rompakan terbesar di Mumbai yang berjumlah Rs2000 crore. Jadi, permulaan filem ini sahaja sudah terang-terangan memaparkan tentang pertemuan kumpulan-kumpulan gangster yang diketuai oleh Roy (Jackie Shroff) yang sedang berhadapan dengan pengumuman undang-undang akan dikuatkuasakan oleh kerajaan India untuk membasmi kumpulan-kumpulan ini. Kemudian, setiap kronologi filem ini cuba membuatkan penonton untuk meneka siapakah sebenarnya pegawai polis yang menyamar serta apakah tujuan utamanya berbuat demikian. Jadi, penonton mula dihidangkan dengan urutan aksi-aksi pertarungan serta pergaduhan yang kembali bermain dengan konsep hiperbola di dalam menarik perhatian para penonton dimana ia boleh dilihat di dalam babak-babak yang melibatkan pelakon Prabhas dan Neil Nitin Mukesh.


Tidak dinafikan babak-babak aksi di dalam filem Saaho yang menelan kos perbelanjaan yang sangat tinggi berjaya menaikkan adrenalin kami yang menonton kerana ianya dipaparkan dalam tindakan yang sangat baik hasil daripada koreografi cemerlang daripada pengarah aksi antarabangsa yang hebat iaitu Peng Zhang serta jurutenik terbaik Kenny Bates. Diakui pelaburan yang besar untuk persembahan elemen aksi ini sememangnya memberikan hasil yang sangat berbaloi dimana rupa visualnya berjaya membuatkan penonton berasa sangat teruja dan terhibur yang secara tidak langsung telah mengimbangi serta menyembunyikan kelemahan yang ada di dalam filem Saaho ini yang mana jalan ceritanya kurang penjiwaan dan sedikit meletihkan. Secara mudahnya, Saaho lebih menjual elemen aksi berbanding memberi penekanan kepada jalan ceritanya. 


Filem Saaho pada dasarnya punya kisah yang menarik namun kami merasakan percubaan perubahan plotnya atau twist plot yang cuba dihidangkan pada kali ini sangat mudah untuk diramal. Selain itu, terdapat beberapa babak sama ada melibatkan perkembangan watak Saaho, Amritha dan Ashok pada bahagian pertama filem ini yang kelihatan lemah pada pengolahan ceritanya seperti motif tindakan serta susunannya sehingga dilihat seperti terlalu mencuba untuk menipu pemikiran penonton. Ini menyebabkan bahagian kedua filem ini sedikit tercemar dari sudut naratifnya walaupun momentum penceritaannya bergerak dengan pantas sehingga kami merasakan ianya hanya sekadar sebuah penceritaan yang biasa-biasa sahaja. Sekali lagi babak-babak aksi menjadi penyelamat kepada filem Saaho kerana ianya berjaya dimanfaatkan secara maksimum untuk memastikan penonton tertawan dengan elemen ini dan melupakan kelemahan terhadap pengolahan cerita terhadap barisan pelakon utamanya yang kami rasakan kurang menjadi.



Menyentuh tentang elemen CGI, SFX, teknik solekan ngeri dan yang seangkatan dengannya yang digunakan secara meluas di dalam filem Saaho ini, kami boleh nyatakan hasil yang dilihat melalui visual filem adalah seimbang. Ada sebahagian yang mempunyai faktor daya tarikan yang tinggi atas hasil yang sangat cemerlang terutama pada bahagian pertarungan serta beberapa latar tempat. Namun ada juga yang kelihatan kurang realistik namun pada kami ianya masih boleh diterima, dilihat dan kelihatan tidak terlalu janggal pada bahagian-bahagian filem yang terlibat. Sekali lagi, elemen aksi melalui koreografer yang terbaik berjaya bergabung dengan elemen-elemen suntingan ini untuk menutup kelemahan filem Saaho ini dengan cemerlang. Kami pasti anda akan menyukai dan terhibur dengan setiap aksi-aksi yang ditawarkan di dalam filem ini walaupun ada sebahagian besarnya bersifat hiperbola atau melebih-lebih, namun ia telah berjaya mengubati kerinduan penonton kepada identiti filem aksi Tamil sebegini.



Filem Saaho ini memaparkan banyak watak yang menarik dan mempunyai pesona tersendiri. Pelakon Prabhas berjaya menghilangkan ingatan penonton terhadap wataknya sebagai Raja Baahubali dengan tampil sebagai watak seorang 'bad boy' dengan cukup baik. Kemunculan Arun Vijay juga berjaya memberikan satu karisma yang cukup baik. Tidak dilupakan dua watak bunga di dalam filem ini iaitu Shraddha Kapoor serta Mandira Bedi yang turut mempunyai aura tersendiri. Namun, watak antagonis yang paling mencuri tumpuan di dalam filem Saaho ini ialah watak Devraj yang dilakonkan oleh Chunky Pandey yang boleh dikatakan sangat menonjol dan begitu meyakinkan. Tidak dinafikan para pelakon memberikan persembahan yang terbalik namun pengolahan kisah watak-watak ini yang dilihat kurang teliti dan gagal memberi impak setinggi yang boleh. Elemen humor yang cuba disuntik di dalam filem ini pula pada kami berada di dalam kategori yang sederhana dimana ianya sebagai penyeri pada beberapa bahagian walaupun ada yang kurang memberi impak. Menyentuh berkaitan lagu-lagu yang melatari filem ini pula, boleh dikatanya melodi nyanyiannya sangat merdu di dengar. Secara keseluruhannya, filem Saaho merupakan sebuah filem yang menarik dari sudut aksinya bagi sesiapa yang menggemari elemen aksi yang dibuat secara ekstrim dan berlebihan seperti kami yang sememangnya merindui identiti filem-filem Kollywood sebeigini. Namun, dari sudut pengolahan ceritanya pula pada kami agak kurang memberangsangkan dan kelihatan pada pengakhiran filem Saaho ini seperti memberi bayangan akan ada sambungan atau sekuel untuk filem keduanya. Jika iannya menjadi kenyataan maka kami mengharapkan agar kisan untuk filem sekuel Sahoo ditulis dengan lebih baik lagi berbanding filem ini. 


Jadi, selamat menonton filem Saaho di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 30 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Dari Korea Berjudul Exit. Nantikan Ulasannya!

2 ulasan:

  1. mantap ni filmnya. harus nonton! *jangan lupa mampir ke blog aku ya AORLIN(.)com

    BalasPadam