Review Filem Exit


Filem:
Exit

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Lee Sang-Geun

Genre:
Aksi & Komedi

Pelakon:
Cho Jung-Seok, Lim Yoona, Go Doo-Shim, Park In-Hwan, Kim Ji-Young & Etc.

Tarikh Tayangan:
5 September 2019

Pengedar:
ATriNaga Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Yong Nam yang merupakan seorang jaguh sukan `rock climbing` semasa zaman kolejnya. Namun nasib tidak menyebelahi Yong Nam di alam pekerjaan. Dengan tiada harapan untuk masa depan, dia terpaksa bergantung kepada kedua ibu bapanya kerana sering gagal mendapat kerja dan pasangan selepas tamat belajar. Suatu hari, dia telah bertemu dengan Eui Joo yang merupakan seorang gadis yang pernah disukainya ketika mengadakan majlis sambutan hari lahir ibunya yang ke-70. Tiba-tiba sebuah malapetaka berlaku dimana bandar Seoul diliputi oleh gas putih misteri yang bertoksik dan berbahaya. Menggunakan kepakarannya dalam `rock climbing`, Yong-nam perlu menyelamatkan dirinya, Eui Joo serta ahli keluarganya. Saksikan filem aksi yang cukup menarik dan melucukan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 5 September 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Exit bertempat di TGV One Utama pada 31 Ogos 2019 yang lepas. Selepas filem Parasite, filem Exit pula tampil untuk menyajikan sebuah kisah yang menarik dan sentiasa berjaya membina ketegangan kepada penonton namun ianya berjaya diseimbangkan dengan baik melalui elemen aksi, komedi serta kekeluargaan untuk menjadikan kisah penceritaan filem ini lebih ringan dan tidak terlalu kompleks.


Filem ini dimulakan dengan pengenalan watak Yong-nam yang dipaparkan sebagai seorang lelaki menganggur yang seperti sudah hilang arah tujuan hidup dan hanya menghabiskan masanya dengan bersenam melalui permainan bar. Semua ahli keluarga memandang Yong-nam sebagai seorang lelaki yang gagal namun ibu dan kakaknya dilihat masih memberikan semangat positif kepada Yong-nam melalui cara mereka sendiri. Permulaan filem ini dilihat menarik disebabkan dialog-dialog yang diungkapkan lebih berbentuk komedi yang spontan dan humornya menjadi. Namun, segala-galanya menjadi lebih menarik apabila tibanya babak seorang lelaki misteri yang memandu lori berisi tangki yang membawa gas beracun yang cukup berbahaya dimana ia akan membuatkan sesiapa yang terhidunya sesak nafas dan kulit serta mata mereka boleh terbakar. Konflik mula berlaku apabila gas beracun ini dilepaskan ke seluruh kawasan bandar dan bermulalah kisah sebenar yang cuba disampaikan oleh filem Exit ini kepada penontonnya.


Bagi kami, plot penceritaan filem Exit ini berjaya disusun dengan baik dan jalan ceritanya walaupun di dalam kategori sederhana namun ianya mudah difahami dan diikuti. Kisahnya sangat ringan dan ringkas dimana ia sebenarnya cuba memaparkan bagaimana watak Yong-nam ini yang dianggap tidak berguna di dalam keluarganya akhirnya menjadi wira dengan menyelamatkan para keluarganya daripada kematian akibat gas beracun tersebut. Tidak dinafikan filem ini ada memberikan sedikit penjelasan tentang sebab musabab lelaki misteri yang melepaskan gas beracun di bandar namun ianya tidak kuat gara-gara filem ini sememangnya memberi fokus istimewa dan utama kepada watak Yong-nam. Cuma filem ini dilihat terlalu cepat memberikan jawapan kepada permasalahan yang wujud di dalam filem ini dan ia secara tidak langsung telah banyak kali memotong rasa teruja kami saat menonton beberapa plot yang sepatutnya boleh memberikan impak yang lebih tinggi lagi berbanding apa yang sudah ditonton oleh kami di layar.


Tidak dinafikan kekuatan utama filem ini ialah elemen komedi yang terdapat di dalam skrip dialog para pelakonnya sejak dari awal filem ini bermula sehingga lah pengakhirannya. Para pelakon filem Exit sememangnya wajar dipuji kerana telah memberikan persembahan lakonan yang penuh jiwa sama ada dari sudut emosi, fizikal mahu pun nada suara untuk menjadikan beberapa adegan memberi kesan dan menyentuh hati serta jiwa kami yang sedang menonton terutama dari sudut hubungan kekeluargaan yang melatari sebahagian besar filem ini. Keserasian yang wujud antara dua pelakon utama filem ini iaitu Cho Jung-Seok dan Lim Yoona juga sememangnya begitu meyakinkan kami untuk mempercayai hubungan antara dua watak utama di dalam filem Exit ini. Selain itu, kami melihat mesej-mesej berkaitan kekeluargaan, kehidupan serta keyakinan diri turut menjadi fokus utama di dalam filem ini untuk disampaikan kepada para penontonnya. Selain itu, filem ini turut cemerlang di dalam sudut sinematografinya yang pada kami cukup menarik, cantik dan agak memukau pandangan. 


Namun, kami harus akui filem Exit tidak terlalu berjaya dari sudut permainan perubahan plot dimana ia dilihat cuba merancang untuk mengelirukan atau memberi kejutan kepada penonton. Namun pada kami ianya kurang menjadi dan setiap kesudahannya terlalu mudah untuk diramal. Tetapi, secara keseluruhannya kami bersetuju untuk menyatakan bahawa filem Exit sememangnya sebuah filem yang penuh dengan aksi serta unsur humor yang sentiasa konsisten dan berbaloi untuk anda yang ingin menonton sebuah filem ringan komersial seperti ini di pawagam.


Jadi, selamat menonton filem Exit di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 5 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini? Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Berjaya tonton selepas membaca review Hans. Yes, film ni menarik, lawak dan ringan. Siapa sangka penggangur yg makan tido tapi tetiba jadi hero, heheh... layan

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe
      sebenarnya dia okay jer cuma inspirasi atau arah tujuan hidup jer kabur selepas dia kecewa kena reject dan xdapat kerja

      Padam