Filem:
Ad Astra

Penilaian:
6/10

Pengarah:
James Gray

Genre:
Pengembaraan & Fiksyen Sains

Pelakon:
Brad Pitt, Tommy Lee Jones, Ruth Negga, Liv Tyler, Donald Sutherland& Etc.

Tarikh Tayangan:
19 September 2019

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang angkawasan bernama Roy yang bertugas sebagai jurutera Korps Tentera. Pada dua puluh tahun yang lalu, bapa Roy iaitu McBride telah hilang di dalam satu misi ke Neptune. Roy kemudian ditugaskan untuk mengembara ke angkasa lepas dan mencari bapanya yang disyaki masih berada disana dan merupakan dalang kepada kejadian aneh di bumi. Roy diminta untuk memujuk bapanya agar menghentikan serangan tersebut. Berjayakah Roy? Benarkah bapanya McBride masih hidup? Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 19 September 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem fiksyen sains berjudul Ad Astra di MMcineplesex eCurve pada 19 September 2019 yang lepas. Ad Astra atau ungkapan penuhnya 'per aspera ad astra' berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud 'to the star'. Jika anda peminat filem seperti Interstellar atau Gravity yang berkisar tentang dunia angkasa yang penuh misteri maka anda pasti akan menyukai filem Ad Astra lakonan Brad Pitt ini.


Brad Pitt sebagai teraju utama filem yang memaparkan satu momentum penceritaan yang agak perlahan dilihat berjaya membangunkan wataknya dengan cukup baik. Kami sangat menyukai bagaimana karakter Roy yang dilakonkannya ini bijak di dalam bermain dengan permainan emosi dimana watak Roy berjaya menyembunyikan rasa gundah gulana, ketakutan, kesunyian dan segala-gala yang bersifat negatif dengan memalsukannya menjadi satu perkara positif sehingga tidak dapat diketahui mahu pun dikesan oleh sesiapa pun. Hal ini disokong melalui pergerakan tubuh, caranya mereaksikan wajah dengan emosi yang tabah serta lontara dialog yang cukup tenang membuatkan sisi emosi sebenar watak Roy ini berjaya dimanipulasikan dengan cukup baik di dalam penceritaan filem Ad Astra. Jadi, apabila kami mula memahami apa sebenarnya yang dirasai oleh watak Roy ini pada pertengahan filem maka kami berasa cukup kagum ditambah lagi dengan pelbagai perubahan plot yang tidak disangka menjadikan penceritaan watak Roy yang penuh dengan cabaran serta pengkhianatan ini menjadi begitu menarik.


Filem Ad Astra juga tidak terkecuali di dalam menawarkan beberapa elemen baru yang kelihatan segar dan sangat mengagumkan untuk sebuah filem fiksyen sains berkisarkan dunia angkasa yang misteri. Kami sangat menyukai konsep filem ini yang bercerita tentang masa hadapan dimana kaum manusia bukan sahaja boleh mendarat di bulan tetapi sudah boleh menetap di bulan mahu pun planet Marikh dan berevolusi dengan keadaan di planet tersebut. Hal ini disokong lagi dengan adegan menarik yang anda turut boleh tonton di trailer filem ini berkaitan dengan serangan tembak menembak yang berlaku di bulan dimana ia melibatkan pasukan Roy serta pencuri yang cuba merompak mereka dibulan. Jadi, setiap adegan ini sama ada sewaktu aksi tembak menembak, kenderaan bergerak, kegelapan dan kesunyian angkasa serta pengcahayaan warna merah di planet Marikh berjaya disampaikan dengan cukup hebat hasil dari sinematografi serta pergerakan kamera yang cukup mengagumkan. Serius kekuatan filem Ad Astra sememangnya terletak pada elemen-elemen yang kami nyatakan ini.


Namun, kami sangat menyarankan anda untuk menonton filem Ad Astra di dalam keadaan yang sangat bertenaga dan mempunyai tidur yang cukup kerana momentum penceritaan filem ini sememangnya sangat perlahan. Perlahan yang sebenarnya berjaya di dalam memberi olahan kepada penceritaannya yang sedikit kompleks untuk memudahkan anda sebagai penonton memahami apa yang cuba disampaikan. Selain itu, kami juga mencadangkan anda untuk menonton filem ini di dalam pawagam seperti IMAX atau seangkatan dengannya kerana ianya lebih berbaloi dan membantu anda untuk lebih merasai suasana angkasa yang berjaya dipaparkan dengan cukup baik di dalam filem ini. Secara keseluruhannya, filem Ad Astra merupakan salah sebuah filem pengembaraan angkasa yang boleh dikatakan menarik tetapi ianya memerlukan sepenuh perhatian daripada anda untuk memahami keseluruhan jalan penceritaannya dengan sebaik mungkin.


Jadi, selamat menonton filem Ad Astra di pawagam terpilih bermula pada 19 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Akan Kami Ulas? Nantikan Ulasannya!