Review Filem 7 Hari Kisah Cinta Langkawi


Filem:
7 Hari Kisah Cinta Langkawi

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Anwardi Jamil

Genre:
Komedi & Romantik

Pelakon:
Chi Azim, Mark Adam, Josiah Hogan, Peter Davis, 
Sharifah Shahira, Amai Kamarudin, Shaharudin Thamby & Etc.

Pengedar:
Early Bird Productions Sdn Bhd

Tarikh Tayangan:
31 Oktober 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Adira yang merupakan seorang vlogger popular. Dia dikenali sebagai Diva Asmara yang sering memberikan nasihat tentang permasalahn cinta. Apabila Adira menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘Cara Memikat Hati Lelaki Dalam 7 Hari’, seorang lelaki bernama Joe di Langkawi telah mencabar Adira untuk membuktikan teorinya itu adalah benar. Adira telah dicabar untuk memikat hati kawan Joe bernama Ben. Kawan Joe bernama Nik pula sering mengganggu pelan Joe. Pada masa yang sama, ayah Adira iaitu Datuk Rahim pula memaksa anak rakan niaganya Zul untuk ke Langkawi bagi memikat hati Adira. Berjayakah Adira membuktikan teorinya itu? Saksikan filem komedi romantik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 31 Oktober 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Point Film Studios untuk menonton sebuah filem tempatan berjudul 7 Hari Kisah Cinta Langkawi bertempat di MMCineplex e-Curve bersempena malam gala filem ini pada 15 Oktober 2019 yang lepas. Alhamdulillah filem yang berdurasi selama 2 jam ini tidak terlalu mengecewakan dan begitu menghiburkan untuk ditonton. Terdapat beberapa faktor menarik yang membuatkan kami agak menyukai karya pengarah Anwardi Jamil ini.


Perkara pertama yang kami suka tentang filem 7 Hari Kisah Cinta Langkawi ialah keberanian pihak produksi untuk mempertaruhkan muka-muka baru sebagai pelakon utama mahu pun pelakon pembantu. Menariknya walaupun mereka ini merupakan pendatang baru dalam industri filem tempatan tetapi lakonan sulung mereka tidak kelihatan kekok atau 'kayu' langsung malahan terasa cukup segar untuk ditonton. Ini adalah satu perkara yang wajar diberi pujian kerana pemilihan pelakon yang punya kualiti tersendiri. Ini adalah penampilan pertama Chi Azim yang memainkan watak Adira di dalam filem sulung lakonannya. Begitu juga dengan Mark Adam dimana ini merupakan filem pertama lakonannya namun selepas dua tahun baru ianya berpeluang untuk menemui khalayak di pawagam seluruh Malaysia pada bulan Oktober 2019 ini. Menyentuh tentang lakonan Chi Azim yang merupakan pelakon teater, apa yang kami boleh katakan pelakon ini mempunyai keistimewaan serta kekuatannya tersendiri di dalam menghidupkan watak Adira. Kami boleh katakan pelakon ini mampu mengikut jejak langkah pelakon wanita yang hebat seperti Ellie Suriaty Omar misalnya jika diberi peluang yang lebih lagi pada masa akan datang. Cuma jika dinilai dari segi rupa paras, perkara ini adalah sangat subjektif sementelah majoriti filem-filem Malaysia suka mempertaruhkan pelakon wanita yang memiliki wajah pan asia. Jadi, perkara ini kemungkinan besar akan menjadi perbandingan buat majoriti penonton selepas selesai menonton filem ini nanti. Cuma pada kami ianya tiada masalah kerana kami melihat bakat Chi Azim ini mempunyai kualiti yang tersendiri dan sangat meyakinkan seperti mana watak yang dipegangkan sebagai Adira di dalam filem ini.


Kemunculan Mark Adam sebagai Nik di dalam filem 7 Hari Kisah Cinta Langkawi ini sememangnya sangat mencuit hati. Satu kelebihan Mark Adam ialah beliau mempunyai wajah yang polos. Jadi, walaupun ada adegan yang sebenarnya tidak lah berniat untuk membuatkan penonton ketawa tetapi ianya tetap akan menggeletek hati penonton. Tambahan pula apabila mendengar lontaran vokal serta lenggok percakapan Mark Adam yang sememangnya melucukan. Namun, satu perkara yang menarik tentang watak Nik di dalam filem ini ialah reaksi wajahnya yang nakal dimana anda pasti akan ketawa besar melihat keletah Mark Adam di dalam filem ini nanti. Selain itu, kemunculan Sharifah Shahirah sebagai Mokcik dengan berloghat utara sememangnya menggamatkan suasana panggung dengan dialog serta mimik mukanya yang begitu lucu dan menjadi. Pada kami, Mark Adam dan Sharifah Shahirah merupakan kekuatan utama filem ini jika dilihat dari sudut komedi.


Selain itu, faktor lain yang membuatkan filem 7 Hari Kisah Cinta Langkawi ini menarik pada pandangan kami ialah jalan penceritaannya yang bijak untuk lari daripada perkara-perkara yang klise atau mudah diramal. Kami tidak nyatakan kesemuanya kerana masih ada beberapa adegan klise mahu pun stereotaip yang boleh diteka. Namun hampir separuhnya kelihatan melawan arus dan ianya begitu menarik untuk pengalaman menonton filem komedi romantik ini. Seperti contoh watak Ben lakonan Peter Davis yang sememangnya membawa ciri-ciri lelaki Eropah atau Inggeris yang bersifat jantan di dalam meluahkan rasa cinta kepada wanita yang mereka sukai. Selain itu, watak Joe lakonan Josiah Hogan juga mempunyai identiti tersendiri yang sememangnya berjaya memberi perbezaan antara watak Ben dan Nik. Kami juga turut menyukai strategi awal filem ini yang menampilkan elemen cabar mencabar antara lelaki dan wanita yang dilihat berjaya membentuk rangka awal filem ini untuk menarik perhatian kami sebagai penonton. Selain itu, kritikan membina terhadap vlogger-vlogger yang cuba disampaikan di dalam filem ini juga pada kami agak menarik kerana ia disampaikan dengan gaya yang ringan tetapi mampu menghiris kalbu buat sesiapa yang mempunyai persamaan dengan kisah yang terdapat di dalam filem ini. Selain itu, filem ini juga bijak di dalam memperkenalkan tempat-tempat pelancongan menarik yang terdapat di Pulau Langkawi tanpa kelihatan terlalu menjual atau orang Inggeris sebut sebagai 'hard sell'. Jadi, ini adalah antara faktor menarik yang boleh diberi pujian buat filem ini.


Namun, terdapat beberapa kelemahan yang kami lihat wujud di dalam filem 7 Hari Kisah Cinta Langkawi ini. Pertama ialah dari sudut rakaman visual dron dimana kebanyakan filem tempatan pada tahun 2019 ini mempunyai masalah yang sama. Visual dari dron serta kamera tidak mempunyai kualiti yang sama dan ia kelihatan terlalu jelas perbezaannya di skrin saat pertukaran antara satu adegan ke satu adegan yang lain. Kedua ialah pengolahan serta perkembangan jalan ceritanya yang pada kami sebenarnya sudah menarik pada awalnya tetapi kemudian menimbulkan beberapa kelompongan pada bahagian pertengahan. Ianya dapat dilihat pada hubungan tiga sahabat iaitu Nik, Joe dan Ben serta hubungan antara Adira dan pembantunya Eli yang agak mengelirukan. Selain itu, pertengahan filem ini juga sedikit ketinggalan untuk menekankan identiti serta imej yang dibawa oleh Joe dan Adira sebagai seorang vlogger pada bahagian pertengahan filem dimana ia menjadikan karakter mereka dua sebagai vlogger agak tenggelam di dalam filem ini. Ketiga ialah kelemahan beberapa babak terutama pada peringkat awal yang agak meleret dengan penggunaan dialog yang panjang tanpa mengubah visual kamera yang menjadikan babak tersebut terasa seperti sangat lama. Hal ini kerap terjadi di dalam adegan antara Adira dan bapanya Dato Rahim. Secara keseluruhannya, filem ini menghiburkan, lucu dan berbaloi sebenarnya untuk anda tonton di pawagam kerana ianya merupakan sebuah filem komedi romantik yang ringan tetapi sekali-sekala cuba melawan arus filem komedi romantik klise yang pernah ada. Pada kami, filem ini masih berjaya ke arah perkara tersebut walaupun tidak secara keseluruhan. Satu cubaan yang menarik dan kami yakin anda pasti terhibur menonton filem ini nanti.


Jadi, selamat menonton filem 7 Hari Kisah Cinta Langkawi di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 31 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah  Sebuah Seram Berjudul Sadako. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan